29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Graduan UIA pertaruhan BN, Pejuang dalam PRK Slim

Mesti Baca

DIKEMAS KINI PUKUL 11.45 MALAM:

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dijangka tidak mempunyai halangan besar untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu 29 Ogos ini.

Ini kerana, Mohd Zaidi, 43, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dijangka berdepan dengan calon dari parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditambah pula Mohd Zaidi yang aktif dalam masyarakat setempat adalah anak jati Kampung Slim Village, Slim River.

Malah beliau dijangka mampu meraih majoriti lebih besar berbanding yang diperoleh oleh Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Mohd Talib dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam PRU-14, BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon PH/Bersatu dan Pas yang masing-masing memperoleh 6,144 undi dan 4,103 undi. Khusairi mendapat 8,327 undi.

Kelebihan BN kali ini apabila calonnya itu dijangka akan mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi Pas dan Bersatu, yang kini bekerjasama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, dijangkakan sebahagian daripada pengundi PH/Bersatu dalam PRU-14 lalu pula akan memberi undi kepada calon Pejuang, iaitu parti serpihan Bersatu pro-Mahathir.

Pemimpin DAP Perak, Abdul Aziz Bari sendiri membayangkan kesukaran parti lawan untuk menewaskan BN di Slim.

Memetik laporan Malaysiakini, Aziz berkata, pengundi tempatan khususnya orang Melayu cuma boleh melihat dan memahami isu-isu setempat tanpa membuat penilaian secara keseluruhan.

Mohd Zaidi Aziz (gambar kiri) dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Mohd Zaidi, lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang syariah. Beliau pernah bertugas di Institut Pembangunan Minda Selangor dan Ahli Majlis Daerah Tanjung Malim.

Sementara itu, parti baharu Dr Mahathir, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mempertaruhkan graduan undang-undang juga dari UIA berusia 38 tahun sebagai calon.

Pengumuman pencalonan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi itu dibuat dalam satu majlis di Slim River, malam ini.

Amir Khusyairi merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik. Bapanya, Allahyarham Mohamad Tanusi Maulut merupakan bekas naib kadi Teluk Intan, manakala ibunya seorang pesara guru agama.

PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Khusairi akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Penamaan calon bagi PRK itu akan diadakan pada 15 Ogos. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan