25.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

MN perlu terus fokus bela rakyat, bantu kerajaan pulihkan ekonomi

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI

TANGGAL 31 Ogos bakal menjelma tidak lama lagi menandakan negara ini akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya ke-63.

Sudah 63 tahun negara ini merdeka dan generasi yang memperjuangkan kemerdekaan pun saya anggarkan hanya tinggal beberapa orang sahaja masih hidup.

Pastinya sambutan kemerdekaan kali ini sangat berbeza dari tahun-tahun sebelum ini akibat wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Sambutan kemerdekaan norma baharu tahun ini bukan sekadar mengimbas perjuangan perwira negara melawan musuh dan penjajah, tetapi masa yang tepat menyemai semangat perjuangan kepada rakyat sebagai wira negara bersama frontliners dalam memerangi Covid-19.

Peperangan melawan wabak dan melindungi rakyat daripada jangkitan virus merupakan peperangan baharu buat rakyat Malaysia dan seluruh dunia amnya.

Bahkan, saya kira sehingga ke hari ini rata-rata rakyat tidak merasai keghairahan untuk menyambut bulan kemerdekaan sebagaimana biasa. Bukan kerana lupa kepada sejarah tetapi kerana semangat #KitaJagaKita.

Pelbagai inisiatif diperkenalkan seperti PRIHATIN, PENJANA, moratorium, subsidi elektrik dan ePenjana RM50 amat membantu meringankan beban kewangan rakyat. Inisiatif-inisiatif ini berjaya menguruskan tekanan hidup rakyat dengan berkesan.

Justeru kita dapat lihat rakyat tetap patuh dengan arahan kerajaan walaupun pelbagai sekatan dikenakan. Negara-negara membangun dan negara maju yang lain berdepan pelbagai rintangan menguatkuasakan undang-undang sekatan pergerakan.

Ia kerana terdapat protes dan demonstrasi dalam kalangan rakyatnya tanpa ada bantuan bagi meringankan bebanan kewangan yang dirasai.

  • Teruskan usaha cari formula terbaik pulihkan ekonomi

Bagaimanapun, kerajaan perlu meneruskan usaha mencari formula terbaik dan mengkaji inisiatif-inisiatif baharu bagi memulihkan ekonomi dengan kadar segera bagi mengembalikan keyakinan komuniti peniaga, pemodal serta rakyat keseluruhannya berurusan seperti sedia kala.

Kerajaan tentu sedar kesan pasca moratorium. Dianggarkan seramai 7.7 juta rakyat negara ini menggunakan kemudahan moratorium yang diperkenalkan Kerajaan dan akan tamat pada bulan September ini.

Pasca moratorium akan menyaksikan peminjam akan menghadapi kekurangan kecairan tunai seterusnya akan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Advertisements

Kesan penggandaan (multiplier effect) ini akan lebih dramatik apabila kumpulan B40 semakin meningkat, peluang pekerjaan terhad dan pertumbuhan ekonomi dijangka merosot sehingga paras di bawah sifar.

  • Pembahagian kek ekonomi secara saksama, adil untuk semua

Saya menyarankan supaya kerajaan membentangkan ‘Tawaran Baharu’ atau New Deal sebagaimana Pakej Prihatin Rakyat dan Penjana supaya hala tuju dan pelan yang lebih komprehensif termasuk langkah-langkah penjimatan untuk tempoh 2 hingga 3 tahun diperkenalkan.

Memandangkan belum ada tanda-tanda wabak Covid-19 akan tamat dalam tempoh 2 hingga 3 tahun ini, perancangan yang teliti, kreatif dan inovatif perlulah diusahakan dengan lebih agresif dengan mengoptimumkan semua tenaga-tenaga pakar, syarikat berteraskan penyelidikan dalam negara selain kerjasama dengan negara-negara luar.

Kerajaan perlu berdisiplin meminimumkan kos dan menghasilkan impak terbaik melalui perkongsian sumber ini.

Selain itu, sebarang dasar dan polisi ekonomi yang bakal dibuat kelak hendaklah juga memiliki sifat adil kepada semua pihak, baik kepada komuniti pekerja, majikan, pemilik perniagaan, badan korporat sehinggalah para petani di luar bandar.

Pembahagian kek ekonomi yang saksama atau Equitable Wealth Distribution sangat mustahak bagi memastikan tiada pihak rasa dipinggirkan dalam negara ini.

Sepanjang tempoh wabak covid-19 ini melanda seluruh dunia dan di sebalik kita menyaksikan laporan berkaitan penutupan perniagaan, kebankrapan beberapa syarikat gergasi, pembuangan pekerja dan sebagainya, tetapi masih ada beberapa industri yang mengaut untung berlipat kali ganda daripada kebiasaan terutama Industri yang berkaitan dengan kesihatan.

  • Kaji semula dasar yang menghimpit IKS

Kerajaan perlu menyemak semula dasar-dasar sedia ada supaya tidak menghimpit industri kecil dan sederhana (SME) untuk membina semula perniagaan di tengah-tengah kesan domino keruntuhan ekonomi dunia.

Segala usaha dan perancangan yang dibuat untuk memastikan masa depan rakyat dan negara lebih terjamin, hanya boleh dicapai sekiranya rakyat sendiri berusaha ke arah itu.

Allah SWT berfirman “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka (surah Ar-Rad : 11)”.

Meminjam kata-kata sahabat saya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Pas baru-baru ini di dalam facebooknya “Sukan memanah mengajar kita fokus kepada matlamat yang ingin dicapai dan tidak mudah terganggu dengan anasir luar”.

Maka, Muafakat Nasional dan kerajaan hendaklah terus fokus membela nasib rakyat dan membantu kerajaan memulihkan ekonomi dengan kadar segera.

#UMNOJagaRakyat

  • Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi adalah Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk. Tulisan ini dipetik dari Facebook beliau.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan