31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Guan Eng mengaku tidak bersalah terima suapan RM3.3 juta

Mesti Baca

GEORGETOWN – Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Memetik laporan Bernama, Guan Eng , 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Pertuduhan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Advertisements

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib, manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Hakim membenarkan jaminan dilaksanakan bersama kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu RM1 juta dan dua orang penjamin bagi pertuduhan tersebut dan pasport antarabangsa serta pasport diplomatik diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan sebutan kes pada 9 September 2020.

Guan Eng juga akan berdepan satu lagi pertuduhan di bawah akta sama bersabit kes lain pada Selasa.

Jumaat lalu, Lim turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu syarikat sama dilantik untuk melaksanakan projek serupa dan beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang mencetuskan kontroversi itu bakal menghubungkan pulau ini dari Persiaran Gurney dengan tanah besar di Bagan Ajam dengan anggaran kos RM6.3 bilion dan ia dijangka bermula pada 2023. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan