29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Angkuh, ego, ‘besar kepala’ mampu gugat kesepakatan MN, PN

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

APABILA UMNO dan Pas membuat keputusan untuk bekerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Bersatu bagi menubuhkan kerajaan, Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja ‘meroyan’ malah mereka juga gelisah apabila melihat tiga parti orang Melayu itu bersatu.

Sebelum itu, mereka cukup gementar apabila UMNO dan Pas menamatkan ‘perang saudara’ sejak berpuluh-puluh tahun apabila memeterai piagam Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

Permuafakatan itu dianggap ‘satu ancaman’ politik yang mampu menguburkan impian PH untuk kembali memerintah.

Mereka sentiasa berusaha mengganggu gugat kesepakatan tersebut kerana memahami kekuatan yang bakal terbentuk hasil gabungan kedua-dua parti berkenaan.

Dalam keadaan tidak ada modal bagi menggugat kerjasama tersebut, mereka awal-awal lagi membangkitkan persepsi bahawa ketiga-tiga parti berkenaan akan berhadapan dengan konflik dari segi pembahagian kerusi apabila gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dibuka.

Dan kini sama ada suka atau tidak, impian mereka mampu menjadi kenyataan jika pemimpin UMNO, Pas dan Bersatu tidak berhati-hati dalam menjaga hubungan sesama mereka khususnya melibatkan isu pembahagian kerusi tersebut.

Kenyataan demi kenyataan pemimpin UMNO dan Bersatu berkaitan isu kerjasama antara mereka sejak kebelakangan ini termasuk terbaru di Sabah, meresahkan orang Melayu yang sebelum ini cukup gembira dan bersyukur dengan penyatuan tiga parti Melayu ini.

Momentum sokongan orang Melayu yang kini menjuruskan kepada MN dan PN tidak harus dijejaskan dengan sikap sombong, angkuh, ego atau ‘besar kepala’ mana-mana pemimpin tidak kira di peringkat apa sekali pun.

Penulis memahami dalam keadaan momentum yang dikatakan akan menyebelahi MN dan PN pada PRU-15 nanti, sudah pastilah masing-masing parti mahu mempertahankan kedudukan atau kerusi dimiliki atau dikuasai mereka.

Tetapi janganlah sampai kenyataan atau tindak tanduk yang dipamerkan akan mewujudkan kebencian rakyat khususnya orang Melayu.

Penulis sentiasa berpendapat bahawa apapun masalah atau isu yang berbangkit perlu diselesaikan atas semangat perpaduan Melayu dan persaudaraan Islam di samping mengajak bersama parti-parti lain yang sealiran berunding.

Janganlah terlalu ghairah berbalas-balas kenyataan antara satu sama lain sehingga menyebabkan ia memberikan kesempatan dan membuka ruang kepada pemimpin PH menebarkan propaganda seperti mana kata seorang pemimpin pembangkang, “belum apa-apa lagi dah retak, demi kuasa dan jawatan.”

Itulah yang berlaku dan terus berlaku jika ada pemimpin dalam MN dan PN tidak berhati-hati bercakap atau lebih tepat lagi ‘tidak tahu jaga mulut’.

Fakta politik perlu diakui bahawa di peringkat Pusat ketiga-tiga parti itu tidak akan mampu menubuhkan kerajaan jika bersendirian, tidak kiralah UMNO, Pas mahupun Bersatu.

Sebaliknya ketiga-tiga parti itu memerlukan antara satu lain jika mahu mengekalkan kuasa pemerintahan dengan disokong oleh parti dari Sabah dan Sarawak.

Ketika ini PN memerintah dalam keadaan ibarat ‘bernafas dalam lumpur’ dan dengan menguasai hanya 113 kerusi perikatan itu berkuasa pada kedudukan ‘cukup-cukup makan’ sahaja.

Namun situasi ini boleh berubah dan tidak mustahil, gabungan PN mampu menguasai PRU-15 nanti.

Bagaimanapun sama ada ia akan berjaya atau tidak atau sekadar menjadi ‘mimpi indah pada siang hari’ segala-galanya bergantung kepada sikap dan tindak-tanduk pemimpin ketiga-tiga parti itu.

Setiap seorang pemimpin dalam MN atau PN bertanggungjawab untuk memperkukuhkan permuafakatan dan kerjasama berkenaan.

Permuafakatan antara UMNO dan Pas yang termeterai pada 14 September 2019 menamatkan ‘perang saudara’ antara kedua-dua parti itu sejak sekian lama.

Memetik kata-kata Tan Sri Annuar Musa, “dalam permuafakatan apa sekalipun, semua pihak ada peranan dan semuanya penting kerana dalam arithmatik politik, 1+1 jawapannya tidak semestinya 2, justeru hargailah permuafakatan tidak perlu sombong.”

Oleh itu berunding dan bermusyawarahlah, bukannya ‘berperang’ dalam media yang akhirnya membuka jalan kepada situasi ‘yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu’.

Lebih buruk lagi terjebak dalam situasi, “antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang.”

Penulis percaya pucuk pimpinan ketiga-tiga parti iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (UMNO) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kebijaksanaan dalam mengelakkan konflik berlaku.

Seharusnya semua barisan kepemimpinan, ahli dan penyokong ketiga-tiga parti memberi kepercayaan kepada ketiga-tiga pemimpin itu untuk mencari penyelesaian terbaik.

Janganlah ada antara mereka terutamanya bertaraf pemimpin mahu bersikap seperti ‘batu api’ atau melakukan ‘kerja-kerja bodoh’ yang boleh menjejaskan kesepakatan yang sudah terjalin.

Perlu diingat orang Melayu amat berharap kepada ketiga-tiga parti itu untuk mengembalikan kuasa politik Melayu yang hilang dalam pilihan raya umum lalu.

Mereka tidak mahu lagi berada di bawah PH, itulah reaksi dan harapan yang dapat kita saksikan sama ada secara di lapangan mahupun dalam media-media sosial.

Persoalannya, adakah harapan itu akan tercapai, jika pembahagian kerusi bagaikan mula memercikkan ‘api dalam serkam’ dalam permuafakatan antara ketiga-tiga parti Melayu itu?

Formula untuk mengelakkan ia berlaku tidak sukar jika semua pihak terlibat berlapang dada dan mahu bertolak ansur kerana misi utama ialah mengembalikan kekuatan ummah, memperkasakan kuasa politik orang Melayu dan mensejahterakan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Dalam soal ini, penulis teringat catatan dalam satu grup Telegram. Beliau yang juga seorang pemimpin dalam MN mencoretkan;

“Muafakat bermakna berbincang secara matang dan penuh hikmah. Bersifat terbuka, berjiwa besar dan bertolak ansur. Matlamat akhir membela nasib agama, bangsa dan negara serta mempertahankannya demi mengelakkan bumi dipijak menjadi milik orang.

“Kiranya culas, tamak, angkuh dan besar kepala, akhirnya tiada lagi muafakat tetapi yang tinggal cumalah laknat Allah dan kebencian pengundi. Semoga pimpinan tertinggi sentiasa dalam lindungan dan bimbingan Allah SWT.”

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan