30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Vaksin Covid-19 hampir jadi kenyataan, sukarelawan tunjuk tanda imuniti terhadap jangkitan

Mesti Baca

LONDON – Harapan masyarakat global kepada penemuan vaksin atau ubat yang mampu merawat pandemik Covid-19 hampir menjadi kenyataan selepas ujian percubaan ke atas sukarelawan menunjukkan tanda imuniti terhadap penyakit tersebut.

Mail Online melaporkan, dua projek masing-masing di Britain dan Amerika Syarikat (AS) melaporkan sukarelawan yang disuntik dengan ubat yang masih di peringkat eksperimen itu membentuk imuniti terhadap jangkitan Covid-19.

Pasukan dari Universiti Oxford dan syarikat farmasi AS, Moderna sedang menjayakan eksperimen secara berasingan sejak beberapa bulan lalu dalam usaha melindungi penduduk dunia daripada coronavirus pada masa hadapan.

Saintis Oxford berkata, mereka 80 peratus yakin ubat coronavirus mereka boleh digunakan pada September ini.

Sukarelawan yang diberikan vaksin Oxford berjaya membentuk antibodi dan sel darah putih digelar ‘T sel’ yang membantu badan mereka melawan virus itu jika dijangkiti.

“Setiap orang memberi tumpuan kepada antibodi namun terdapat bukti yang mengandaikan tindak balas T sel penting sebagai pertahanan terhadap coronavirus,” kata pasukan itu.

Fasa ketiga percubaan Oxford melibatkan 8,000 sukarelawan di Britain dan 6,000 lagi di Brazil dan Afrika Selatan.

Vaksin itu dibangunkan oleh AstraZeneca yang beribupejabat di Cambridge, England dan jutaan dos telah ditempah oleh kerajaan dengan harapan ia berjaya.

Sementara itu, Moderna melaporkan vaksin percubaan mereka berjaya melangkaui jangkaan awal dan kini merancang kepada ujian yang lebih besar.

Penyelidik syarikat itu semalam mengumumkan 45 sukarelawan pada peringkat awal berjaya membentuk tindak balas imuniti selepas diberikan vaksin tersebut.

Mereka juga mendapati penawar itu selamat dan tiada peserta mengalami kesan sampingan yang serius.

Namun lebih separuh sukarelawan melaporkan reaksi ringan atau sederhana seperti keletihan, sakit kepala, menggigil, sakit otot atau sakit di tempat suntikan.

Saintis mengatakan kesan sampingan adalah ‘harga kecil yang harus dibayar’ untuk perlindungan terhadap Covid-19.

“Tidak kira bagaimana anda memahaminya, ini adalah berita baik,” kata Pakar penyakit berjangkit kerajaan AS, Dr Anthony Fauci.

Moderna dilapor sedang membuat persiapan untuk memulakan ujian terhadap 30,000 orang sukarelawan hujung bulan ini dalam usaha membuktikan ubat itu cukup kuat melindungi daripada penyakit Covid-19.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan