26.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, March 25, 2023

PN miliki majoriti tipis: Perlukah bubar Dewan Rakyat ?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

APABILA pemilihan Speaker Dewan Rakyat selesai, semalam yang menyaksikan pertukaran jawatan itu daripada Tan Sri Ariff Md.Yusof kepada bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Harun ramai yang memperkatakan soal sama ada kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin stabil atau tidak.

Ia memandangkan melalui kaedah pengundian belah bahagian, pertukaran Speaker berlaku selepas 111 Ahli Parlimen bersetuju, 109 tidak bersetuju, 1 tidak hadir (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Maximus Ongkili atas sebab kesihatan) dan 1 tidak mengundi (Timbalan Speaker Datuk Mohd.Rashid Hasnon yang mempengerusikan persidangan).

Secara jelasnya, jumlah 111 undi itu adalah daripada ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) manakala 109 daripada blok pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan blok bebas yang dipimpin oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad.

Berdasarkan kedudukan terkini Dewan Rakyat, PN kini memiliki 113 kerusi berbanding pembangkang 109 kerusi. Pembangkang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) 93 kerusi, Bebas dan Warisan (16 kerusi). Jumlah kerusi dewan tersebut ialah 222 kerusi.

Ia bermakna PN hanya memiliki kelebihan empat sahaja kerusi untuk terus menerajui kerajaan. Tetapi persoalannya adakah wajar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan?

Satu pihak menganggap, ia tidak perlu diadakan kerana memandangkan kerajaan Muhyiddin masih memiliki majoriti walaupun tipis dan satu pihak lagi pula berpendapat, Parlimen wajar dibubarkan.

Baca juga:   Parlimen bersidanglah tapi jangan jadi gelanggang politik

Ketika pelbagai pendapat dilontarkan termasuk daripada segelintir pemimpin UMNO yang menyatakan kerajaan sukar untuk berfungsi dengan kedudukan majoriti tipis itu, apakah mereka pernah bertanya adakah jika PH memerintah dan memiliki majoriti yang sama mereka akan melakukan pembubaran Parlimen?

Baca juga:   Apa 'dosa' Muhyiddin terhadap Mahathir?

Penulis percaya tidak mungkin mereka akan berbuat demikian malah walaupun menyedari Kerajaan PN tidak memiliki majoriti tipis, tidak ada seorang pemimpin pembangkang yang mendesak supaya Parlimen dibubarkan.

Walaupun kebimbangan akan berlaku penolakan usul yang dibawa oleh kerajaan termasuklah pembentangan Bajet 2021 pada November ini, namun ia bukanlah alasan ‘terawal’ untuk membenarkan pembubaran Parlimen dilakukan.

Semua pihak sepatutnya menanti dan melihat perkembangan perjalanan Dewan Rakyat yang berlangsung ketika ini bagi memastikan sama ada Kerajaan PN mampu berfungsi atau tidak, dengan majoriti tipis.

Lagi pula jika semua ahli Parlimen pembangkang bercakap berdegar-degar untuk membela nasib dan berjuang untuk rakyat, mereka perlu ikhlas menyokong usul-usul yang mempunyai kepentingan rakyat.

Tidak perlu mana-mana pihak termasuk dalam PN sendiri begitu teruja mahu menjadikan kedudukan majoriti tipis Dewan Rakyat untuk membuat kenyataan-kenyataan mendesak supaya PRU-15 diadakan.

Negara kini masih ‘berperang’ dengan pandemik Covic-19 dan jutaan rakyat negara ini sedang menderita khususnya yang terjejas pendapatan dan kehilangan pekerjaaan. Tumpuan seharusnya diberikan kepada permasalahan berkenaan, bukannya bercakap soal pilihan raya.

Baca juga:   Elakkan prasangka, buktikan kejujuran, keikhlasan demi ummah

Penulis percaya Muhyiddin sendiri sedang meneliti semua perkembangan ini termasuklah apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam. Namun setakat ini penulis difahamkan, belum ada ‘riak-riak’ untuk membubarkan Parlimen

Mungkin pakatan pembangkang pun tahu bagaimana kedudukan mereka jika PRU-15 diadakan sebab itulah mereka lebih banyak bercakap mahu mendapatkan mandat rakyat tanpa menyatakan bagaimana caranya namun tidak menyebut soal pembubaran Parlimen.

Mereka juga sudah membuat ketetapan seandainya pilihan raya umum diadakan secara mengejut, mereka berpendapat, negeri-negeri di bawah penguasaan mereka tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga genap lima tahun.

Jika semasa Dewan Rakyat bersidang, Kerajaan PN disahkan kehilangan majoriti biarpun dalam keadaan tipis maka ketika itulah pembubaran Parlimen harus dilakukan dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat.

Baca juga:   Parlimen berisiko tinggi, KKM nasihat sidang ditangguh

Buat masa ini biarlah sidang Dewan Rakyat berjalan dengan tenang bagi membolehkan pembentangan usul-usul demi kesejahteraan rakyat dilakukan termasuk pakej rangsangan ekonomi dan Rang Undang-Undang Covid-19 (Langkah Sementara).

Penulis percaya, rakyat sedang mengikuti apa yang berlaku di Dewan Rakyat dan mengkaji segala tindak tanduk kerajaan dalam membela nasib mereka.

Jika ada mana-mana kelompok politik yang cuba terus bermain politik sehingga akhirnya menyeret rakyat ke gelanggang pilihan raya, percayalah kelompok tersebut pasti akan dihukum dalam PRU-15 nanti.

Wartawan

Terkini

Dua gol Mbappe bantu Perancis ratah Belanda

KAPTEN baharu Perancis, Kylian Mbappe meledak dua gol bagi membantu negaranya membelasah Belanda 4-0 dalam aksi kelayakan Euro 2024...

Lagi Artikel Berkaitan