LANGKAH kerajaan negeri Terengganu menguatkuasakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga di pawagam di negeri itu sewajarnya dipuji.
Inisiatif yang mula dikuatkuasakan 1 Julai lalu itu adalah mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Namun, masih terdapat pihak yang tidak senang dengan pelaksanaan peraturan itu.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming misalnya mendakwa perkara tersebut mungkin memberi kesan terhadap kemajmukan budaya di Malaysia.
Beliau juga mendakwa perintah pengasingan itu bakal menggambarkan imej buruk buat Terengganu.
Harus diingat, pengunjung dan pengusaha pawagam di Terengganu juga tertakluk kepada undang-undang negeri.
Ini kerana, pasangan Islam yang didapati berkelakuan tidak sopan di tempat awam terutama dalam panggung wayang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Undang-undang itu memperuntukkan hukuman denda RM1,000 dan penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Malah, pengusaha pawagam juga berdepan berdepan tindakan ditamatkan lesen hiburan serta merta jika gagal mematuhi garis panduan syariah ditetapkan.
Justeru, langkah kerajaan negeri melaksanakan peraturan itu dianggap wajar dalam menegakkan hukum Islam selain mencegah maksiat di negeri itu.
Ini ditambah pula dengan populasi rakyat Terengganu yang lebih 90 peratus penduduknya adalah beragama Islam.
Meskipun masyarakat bukan Islam difahamkan perlu mematuhi peraturan itu, sewajarnya isu terbabit tidak perlu dibangkitkan.
Menurut Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Syaiful Irfan Anang, penduduk bukan Melayu dan bukan beragama Islam di Terengganu sudah lama tinggal bersama dan tidak pernah merungut selain serta bebas menganuti ajaran agama masing masing.
“Kami tidak perlu suara sumbang DAP yang datang dari luar Terengganu yang kononnya cuba untuk menjadi pembela kepada mereka, selagi mereka tidak rasa tertindas dengan isu sebegini,” katanya.
Sementara itu, pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga dilaksanakan oleh Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Square yang dipercayai pertama di Malaysia.
Pengurus LFS Kuala Terengganu, Mohd Zulmajdi Razali berkata, pihaknya bertanggungjawab untuk melakukan pengasingan lelaki dan wanita bukan mahram serta membuat pemantauan di dalam panggung wayang sekiranya berlaku keadaan atau situasi mencurigakan.
Bagi pawagam yang berkeluasan kecil, mereka yang berkeluarga boleh memilih untuk duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan manakala bagi dewan yang agak luas telah dibahagikan tempat duduk bahagian tengah panggung wayang untuk pasangan berkeluarga.
Namun, ia bergantung kepada keadaan semasa yang mana terdapat juga pengunjung lelaki atau wanita ditempatkan di tempat duduk bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan asalkan menjaga batasan antara satu sama lain.
Semoga kejayaan LFS Kuala Terengganu melaksanakan pengasingan tempat duduk berdasarkan jantina dan keluarga itu menjadi contoh dan ikutan kepada negeri-negeri lain khasnya yang mempunyai majoriti umat Islam.
Kelantan yang difahamkan masih belum mempunyai panggung wayangnya sendiri boleh menjadikan Terengganu sebagai contoh kepadapembukaan pawagam patuh syariah di negeri itu.
Namun, pelaksanaan pengasingan itu sewajarnya tidak dilaksanakan secara drastik, sebaliknya setiap kerajaan negeri perlu mempergiatkan kempen kesedaran dan pendidikan kepada setiap lapisan masyarakat. – Edisi 9