31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Virtual Halal School dilancarkan oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Virtual Halal School, inisiatif pembelajaran halal secara maya yang dimiliki dan dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC), organisasi pendidikan yang berpengalaman luas dalam pendidikan tinggi, latihan profesional berkaitan halal dilancarkan secara rasmi hari ini.

Majlis pelancaran Virtual Halal School disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Studio Virtual Halal School, Menara Arina-UNITI, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini.

Zulkifli berkata, inisiatif memperkenalkan Virtual Halal School ketika ini tepat pada masanya memandangkan berikutan pandemik COVID-19, terdapat keraguan dalam masyarakat mengenai keselamatan sesi pembelajaran konvensional atau secara bersemuka.

“Pelancaran sekolah maya ini tepat pada masanya. Selain meraikan kecanggihan teknologi digital, norma baharu (pasca COVID-19) menyukarkan untuk kita berada dalam satu tempat untuk belajar.

“Melalui Virtual Halal School, setidak-tidaknya masyarakat akan mendapat satu jawapan (persoalan mengenai isu halal),” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir pada majlis itu, Presiden Kumpulan UNITI Asia, Datuk Jamal Mohd. Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson yang juga Pengasas Virtual Halal School, Amir Hamzah Md Isa.

virtual
Sebahagian daripada hadirin pada majlis perasmian.

Zulkifli menambah, inisiatif Virtual Halal School diharap akan terus berkembang sekali gus menjadi pemain utama dalam pendidikan berterusan berkaitan halal di negara ini.

“Saya harap Kolej UNITI akan menjadi pemain utama dengan kerjasama dan penglibatan academia yang ada. Kerajaan akan menyokong dan Virtual Halal School boleh berkolaborasi dengan Bahagian Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sinergi ini memungkinkan kita menambah nilai dan menjadikan industri halal ini sesuai dengan perkembangan teknologi digital terkini,” katanya.

Penyertaan Virtual Halal School terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk bukan Muslim yang berhasrat memahami dan mendalami konsep halal melalui pembelajaran secara digital yang mudah, santai, interaktif dengan kos pengajian yang sangat berpatutan.

Menggunakan konsep pembelajaran secara kendiri, pelajar yang mendaftar boleh mengakses kandungan pembelajaran melalui platform digital khas dan boleh mengikuti sesi kuliah mengikut kesesuaian masa dan keselesaan pelajar itu sendiri.

Sebagai pelajar sekolah maya ini, peserta secara automatik layak untuk mengikuti pelbagai program profesional, kursus dan seminar berkaitan halal secara maya yang dilaksanakan sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Buat permulaan, Virtual Halal School sedang menganjurkan Virtual Halal Summer Camp (VHSC) 2020 yang bermula pada 6 Julai sehingga 31 Oktober ini.

VHSC 2020 merupakan program perkongsian ilmu serta percambahan idea oleh pakar-pakar dalam industri halal sama ada dalam kalangan ahli akademik, pengamal industri serta mereka yang berpengalaman dan terlibat langsung dalam pembangunan industri halal negara.

Pembelajaran secara kendiri melalui platform E-Learning ini juga membolehkan peserta mendalami setiap topik yang disusun mengikut kesesuaian masa dan keselesaan peserta.

Sesi-sesi kuliah ini juga akan memperincikan isu dan kepentingan industri halal tempatan dan antarabangsa. Lebih menarik, jika peserta terlepas mana-mana sesi kuliah, mereka boleh mengikuti ulang siar semula sepanjang 24 jam selama 4 bulan atau 120 hari.

Maklumat lanjut mengenai Virtual Halal School dan VHSC 2020 boleh diperolehi melalui Facebook Virtual Halal School atau menghubungi talian 03-4010 8315. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan