28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Panggung wayang pandu masuk tarikan baharu di Ipoh

Mesti Baca

SIAPA sangka, orang ramai kini berpeluang menonton filem yang diminati mereka hanya dari dalam kereta tanpa perlu memikirkan bahaya akibat jangkitan Covid-19.

Pawagam berkonsepkan pandu masuk itu terletak di Perak dan membolehkan orang ramai menonton filem bermula dari pukul 8 malam hingga 11 malam.

Menutup operasinya pada Isnin, panggung wayang pandu masuk dikenali sebagai Casuarina Sini-Drive yang terletak di Downtown Meru sudah pun memulakan operasi sejak 18 Julai lalu.

Malah, orang ramai boleh menikmati tayangan filem pelbagai genre termasuk filem aksi dan Bollywood pada skrin berkeluasan 6X18 meter di premis berkenaan.

Panggung wayang pandu masuk itu adalah yang pertama seumpamannya di negara ini dan ia adalah hasil idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Memetik laporan mStar Online, Ahmad Faizal berkata, panggung wayang itu boleh memuatkan sebanyak 70 kenderaan pada satu-satu masa.

“Saya memperoleh ilham untuk mewujudkan panggung wayang pandu masuk ini daripada pengalaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila kita diarahkan mematuhi penjarakan sosial.

“Pengenalan pawagam ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan di Perak yang terkesan teruk ekoran pandemik COVID-19 dan diharapkan dapat menghidupkan lagi aktiviti pelancong yang datang ke Ipoh,” katanya.

Ahmad Faizal menambah, projek itu merupakan inisiatif Perak Corporation Berhad (PCB).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Zainal Iskandar Ismail berkata, orang ramai boleh membuat tempahan tiket tayangan filem secara dalam talian di laman web www.sini-drive.com.my.

Pengunjung menurutnya akan dikenakan bayaran antara RM36 hingga RM42 bagi setiap kenderaan dengan set snek serta minuman.

Ujar beliau, panggung wayang itu hanya beroperasi pada sebelah malam dan ditutup sehari iaitu pada Isnin.

“Satu frekuensi khas akan diberi kepada penonton supaya audio tayangan filem berkenaan dapat didengar terus dari radio kenderaan masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya bercadang untuk membuka panggung wayang pandu masuk ini di tempat lain seperti Kuala Kangsar dan Kampar sekiranya ia mendapat sambutan.

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan