29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Tiada lagi kuarantin wajib 14 hari di rumah

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Gara-gara segelintir individu mengingkari peraturan kuarantin wajib 14 hari di rumah setibanya dari luar negara, kerajaan memutuskan menarik balik ‘keistimewaan’ itu dan mengarahkan mereka menjalani proses tersebut di pusat yang ditetapkan bermula Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas beliau, keputusan itudibuat susulan terdapat segelintir individu yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan kuarantin wajib di rumah setibanya dari luar negara.

“Kes baharu Covid-19 di seluruh dunia dilapor melebihi angka 200,000 sehari sejak tiga hari lalu.

“Perkembangan itu turut menyumbang kepada peningkatan jumlah kes di Malaysia apabila rakyat kita pulang dari luar negara.

“Malah, kerajaan mendapati masih terdapat individu yang melanggar SOP dan peraturan kuarantin wajib di rumah dan sikap degil mereka ini mengundang risiko penularan tempatan,” katanya hari ini.

Buat masa ini, individu yang diuji negatif semasa tiba di lapangan terbang dibolehkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah.

Ismail Sabri berkata, kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin rumah yang telah menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

Ujar beliau, mereka yang dikuarantin di stesen kuarantin perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin di pusat pemantauan itu sama ada di Institut Latihan Awam (ILA) atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenal pasti serta mewartakan ILA atau hotel yang bersesuaian sebagai Stesen Kuarantin,” katanya.

Berikutan keputusan itu, Ismail menjelaskan, rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air tidak lagi diwajibkan menjalani ujian swab Covid-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan, namun warga asing tetap perlu menjalani ujian berkenaan.

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun RM1,000 ataupun hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan kepada mana-mana individu yang didapati mengingkari SOP.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan