29 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 21, 2023

PH kekal calonkan Anwar, Mahathir mula dipinggirkan?

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Apakah Tun Dr. Mahathir Mohamad mula ditinggalkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah?

Itulah persoalan yang timbul apabila hari ini ketiga-tiga parti itu mengadakan mesyuarat Majlis Presiden PH tanpa kehadiran bekas Perdana Menteri tersebut.

Apa yang menarik perhatian, dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat itu menyatakan, PH komited dengan pendirian asal bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan turut membincangkan cadangan pencalonan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai calon bagi jawatan berkenaan.

Walaupun tidak menyatakan secara terbuka, pendirian PH itu menunjukkan mereka menolak cadangan Mahathir yang sebelum ini mengumumkan Mohd.Shafie sebagai calon Perdana Menteri manakala Anwar dicalonkan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri I bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Anwar, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Pendirian PH itu sudah tentulah tamparan kepada Mahathir yang pada mulanya berhasrat memegang jawatan itu untuk tempoh enam bulan jika PH kembali berkuasa sebelum menyerahkan kepada Anwar, bagaimanapun PKR menentang keras cadangan berkenaan.

Berikutan itu Mahathir mengumumkan nama Mohd.Shafie sebagai calon Perdana Menteri, bagaimanapun pemimpin PH dikatakan tidak senang dengan tindakan ahli politik berusia 95 itu kerana mahu ia dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden terlebih dahulu.

Baca juga:   Muhyiddin doakan Ismail Sabri galas amanah sebaik mungkin
Baca juga:   UMNO tuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, portfolio penting

Walaupun Mahathir menyatakan pencalonan Mohd.Shafie sebagai jalan tengah bagi menyelesaikan kemelut calon Perdana Menteri daripada PH, namun alasan tersebut tidak diterima, apatah lagi Ahli Parlimen Langkawi itu berterusan menyatakan, Anwar tidak mempunyai sokongan majoriti dan ditolak orang Melayu.

Sementara itu, kenyataan tersebut turut menjelaskan, Majlis Presiden telah membincangkan usaha-usaha mengembalikan mandat rakyat dan PH sebagai Kerajaan Persekutuan.

‘’Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.

Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada YB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk YB Dato’ Seri Shafie Apdal bagi menyempurnakan pengembalian mandat tersebut,’’ kata kenyataan berkenaan.

Nama Mahathir langsung tidak dinyatakan sekaligus mengukuhkan lagi dakwaan bahawa PH kini mula meminggirkan bekas Perdana Menteri tersebut yang sebelum ini dilihat ‘menghuru-harakan’ pakatan itu melalui tindakan politiknya.

Untuk rekod, Mahathir dan empat ahli Parlimen Bersatu yang digugurkan keahlian parti menyertai blok pembangkang kerana tidak berpuashati dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan kerajaan bersama UMNO dan Pas.

Dalam kenyataan yang sama, PH menegaskan, pakatan tersebut konsisten dengan pendirian bahawa fokus Kerajaan Persekutuan dan negeri ialah untuk membantu rakyat pasca penularan wabak COVID-19.

‘’Justeru, kami berpandangan sekiranya berlaku pilihanraya umum tergempar sebelum tamat tempoh lima tahun, maka kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan,’’ kata kenyataan itu lagi.

Baca juga:   Muhyiddin dedah bukti Najib minta campur tangan kes mahkamah
Baca juga:   PM umum empat inisiatif baharu sempena Hari Pekerja

Ketika ini PH menguasai tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, pakatan tersebut juga sebulat suara menolak usul Perdana Menteri menggugurkan Tan Sri Ariff Yusuf sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Lambang PN di 4 negeri dikekalkan hadapi PRN

MESYUARAT Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengesahkan kekal menggunakan lambang PN di empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah...

Lagi Artikel Berkaitan