27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Hanya 10,000 jemaah tunaikan ibadah haji tahun ini

Mesti Baca


RIYADH — Pemerintah Arab Saudi memutuskan maksimum hanya 10,000 jemaah dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji, tahun ini.

Portal berita Saudi Gazette melaporkan, 70 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada ekspatriat yang bermastautin di Arab Saudi manakala 30 peratus dikhususkan untuk rakyat negara itu.

Proses permohonan untuk ekspatriat yang berhasrat menunaikan rukun Islam kelima itu berakhir Jumaat lalu sejajar dengan keputusan negara tersebut menghadkan jumlah jemaah haji berikutan kebimbangan terhadap penularan baru Covid-19.

Ekspatriat yang mahu melaksanakan ibadah yang dijadualkan bermula 28 Julai ini, diberi tempoh lima hari mulai Isnin lalu untuk membuat pendaftaran secara dalam talian.

Pemohon harus tidak mengidap sebarang penyakit kronik dan menyertakan laporan perubatan yang membuktikan mereka bebas daripada jangkitan Covid-19.

Mereka juga disyaratkan tidak pernah menunaikan ibadah haji, berumur antara 20 hingga 50 tahun dan menandatangani perakuan mematuhi proses kuarantin sebelum dan selepas melaksanakan ibadah tersebut.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menegaskan, kriteria kesihatan menjadi penentu utama pemilihan ke atas mereka yang dibenarkan melaksanakan ibadah haji tahun ini.

Kuota 30 peratus yang ditetapkan kepada jemaah haji Arab Saudi pula dikhaskan kepada pengamal perubatan dan anggota keselamatan yang telah pulih daripada Covid-19.

Mereka akan dipilih melalui pengkalan data pesakit yang pulih sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dengan syarat memenuhi kriteria kesihatan ditetapkan.

Setiap tahun lebih 2 juta umat Islam melaksanakan ibadah haji. Keputusan pemerintah Arab Saudi yang memutuskan untuk mengurangkan jumlah jemaah haji telah mendapat sokongan dunia Arab dan masyarakat antarabangsa.

Institusi serta pertubuhan agama pula sebulat suara menyifatkan ia langkah yang sejajar dengan keperluan undang-undang untuk menjaga kesihatan dan keselamatan jemaah.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan