30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kenapa perlu ‘berantakan’ hanya kerana isu penggantian Speaker?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


ANALISIS

OLEH ZULKIFLEE BAKAR

SUDAH pasti sidang Dewan Rakyat yang bermula esok akan menjadi tumpuan seluruh negara. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melangkah ke bangunan bersejarah itu untuk berhadapan dengan barisan pembangkang diketuai oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan blok bebas yang diterajui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad.

Tumpuan utama ialah penggantian Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang ketika ini disandang oleh Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof dan Nga Kor Ming.

Melalui usul yang tersenarai dalam giliran kedua dan ketiga sidang itu, Muhyiddin akan mengusulkan untuk meminta Mohamad Ariff mengosongkan kerusi Speaker dan digantikan oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan@ Harun.

Bagi jawatan Timbalan Speaker, Muhyiddin akan mengusulkan nama Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menggantikan Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan.

Penggantian bagi kedua-dua jawatan itu dianggap getir dan dijangka menjadi ukuran sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat atau tidak.

Sebelum ini, blok pembangkang yang diketuai Anwar dan blok bebas yang dipimpin oleh Mahathir telah membuat kenyataan menolak usul tersebut.

Jika usul itu ditolak, kerajaan tewas dalam pengundian berkenaan, ia memberi isyarat Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti dan beliau perlu meletakkan jawatan

Menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri tidak lagi mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan, beliau harus meletakkan jawatan.

Yang di-Pertuan Agong kemudiannya boleh memilih untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan atau melantik seorang yang dirasakan memounyai majoriti sokongan sebagai perdana menteri baru.

Namun begitu penulis percaya sebagai seorang yang berpengalaman dalam politik, Muhyiddin sudah pasti berfikir dengan semasak-masaknya sebelum membuat tindakan berani mahu menggantikan Speaker dan Timbalan Speaker dewan berkenaan.

‘’Walaupun dilihat senyap dan tidak mengulas apa-apa isu politik sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri namun Muhyiddin seorang politikus yang penuh strategi.

”Sudah pasti beliau mengetahui sejauh mana tahap sokongan yang dimilikinya sebelum membawa usul yang dianggap ‘tindakan bunuh diri’ jika gagal nanti,’’ kata seorang pemerhati politik.

Seperkara lagi, Muhyiddin bukannya menggantikan Ariff dengan ahli politik sebaliknya mahu meletakkan Azhar yang juga mempunyai latar belakang undang-undang di kedudukan tersebut

Bagi jawatan Timbalan Speaker penggantian melibatkan seorang ahli Parlimen blok kerajaan dengan seorang ahli Parlimen blok pembangkang.

Justeru adalah tidak wajar jika penggantian ini mahu dipolemikkan apatah lagi sehingga mencetuskan perbalahan politik yang boleh mengakibatkan pembubaran Parlimen berlaku.

Jika barisan pembangkang termasuk blok bebas benar-benar mahu memastikan kestabilan politik berlaku, mereka tidak terlalu menjadikan isu penggantian Speaker ini sesuatu yang besar dengan hujah ia tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara dan negara Komanwel.

Hakikatnya banyak lagi agenda besar yang harus diselesaikan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini dan bukannya berkisar soal penggantian Speaker sahaja.

Salah satunya ialah Rang Undang-undang Covid-19 (Langkah Sementara) yang mana Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membayangkan antara lain berkenaan pelepasan sementara kewajiban kontrak terhadap mereka yang terkesan dengan wabak.

Singapura meluluskan undang-undang tersebut pada April. Ia antara lain melarang satu pihak mengambil tindakan perundangan terhadap seorang yang meminta pelepasan sementara.

Langkah kerajaan itu akan menghalang kebanjiran kes bankrap susulan terjejasnya perniagaan akibat Covid-19.

Sepatutnya ini yang harus diberi tumpuan kerana ia melibatkan soal kebajikan rakyat bukannya ‘berantakan’ berikutan Speaker Dewan Rakyat mahu diganti.

Rakyat hakikatnya sudah muak dan bosan dengan mainan politik. Sudah cukup dengan polemik pergelutan mahu menjadi calon Perdana Menteri dalam kalangan pembangkang dan ‘pertikaman lidah’ antara pemimpin UMNO dan Bersatu.

Berilah kedamaian dan ketenangan kepada rakyat untuk melihat ahli-ahli Parlimen yang mereka pilih dalam pilihan raya benar-benar menjalankan tugas membela nasib mereka dan bukannya terus melakukan percaturan politik berebut kuasa dan kedudukan.

Apapun penulis percaya Muhyiddin yang semakin mendapat sokongan rakyat berikutan pelbagai pakej rangsangan ekonomi bagi mengurangkan beban mereka ketika menghadapi wabak Covid-19 akan sentiasa tenang menghadapi cabaran sidang Dewan Rakyat kali ini.

Ketika tunggu apa akan berlaku esok dalam persidangan yang diramalkan akan ‘panas’ itu.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan