28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Malaysia, Singapura positif dapat selesaikan isu-isu tertunggak – Muhyiddin

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia dan Singapura positif dapat menyelesaikan isu-isu yang belum selesai berasaskan kepentingan kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, perkara itu disampaikan beliau ketika menghubungi rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong bagi mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya negara jiran itu yang berlangsung kelmarin.

Berikut kenyataan penuh Perdana Menteri yang dipaparkan dalam akaun Facebooknya hari ini:

Sebentar tadi saya membuat panggilan telefon kepada Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura bagi mengucapkan tahniah selepas Parti pimpinan beliau iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi pilihan raya umum Singapura yang berlangsung kelmarin.

Saya yakin hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara akan terus berkembang di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong sebagai Perdana Menteri.

Sebagai jiran dan rakan kongsi terdekat di ASEAN, kerjasama berterusan antara Malaysia dan Singapura tentunya akan menguntungkan rakyat kedua-dua negara dari segi pertumbuhan ekonomi, keamanan dan kemakmuran.

Berhubung isu-isu dua hala yang belum selesai, kami juga sepakat bahawa kedua-dua negara perlu terus positif dalam mencari penyelesaian dengan berpaksikan kepada kepentingan bersama.

Advertisements

Kami juga menekankan pentingnya setiap masalah dan isu diselesaikan secara damai, malah sepakat bahawa ia akan menjadi asas dan panduan dalam apa juga rundingan yang dilakukan pada masa kini dan akan datang. Ini bagi memelihara hubungan erat dan penting antara Malaysia dan Singapura yang telah sekian lama terjalin.

Saya juga membangkitkan mengenai perbincangan yang berlangsung sebelum ini antara pegawai kedua-dua negara berhubung Laluan Hijau Dua Hala (RGL) dan Aturan Perjalanan Berkala (PCA) antara Malaysia dan Singapura.

Saya menyatakan harapan Malaysia untuk melihat kedua-dua inisiatif yang difahamkan berada diperingkat akhir perbincangan itu dapat dimuktamadkan serta dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Kami juga berbincang tentang Projek Sistem Transit Rapid (RTS) membabitkan Johor Bahru-Singapura dan yakin perbincangan aktif yang sedang berlangsung antara pegawai kedua-dua negara akan dapat memuktamadkan perjanjian dua hala dalam masa terdekat.

Saya juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada Singapura kerana bersetuju melanjutkan tempoh penggantungan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dari 1 Jun hingga 31 Disember 2020 tanpa sebarang kos dan penalti kepada Malaysia. Ini amat signifikan kepada cerminan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Kami akhiri perbualan dengan menyatakan komitmen untuk segera bertemu bagi membincangkan pelbagai perkara sebaik sahaja situasi pandemik COVID-19 bertambah baik di kedua-dua negara. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan