Monday, July 20, 2026

Dr Akmal korbankan simpanan haji demi adik Medina

Adik Medina memerlukan dana berjumlah RM180,000 bagi menjalankan pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di China.

Mesti Baca

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Akmal Saleh sanggup mengorban wang simpanannya untuk menunaikan haji demi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak malang.

Menurut Dr Akmal, beliau dan isteri rela melepaskan peluang mereka menunaikan haji tahun hadapan asalkan kanak-kanak tersebut, Medina mendapat rawatan di China.

Dalam satu hantaran video, Ketua Pemuda UMNO itu berkata, mungkin rezekinya itu bukan untuk beliau sebaliknya untuk kanak-kanak malang tersebut.

“Jika kita nak beri sesuatu pada orang, berilah apa yang paling kita sayang.

“Rezeki Medina Allah gerakkan saya kumpulkan duit dalam beberapa tahun ni, ingatkan untuk pergi haji tetapi sebenarnya untuk kos rawatan Medina rupanya.

“Moga Medina dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesihatan yang baik seperti anak-anak yang lain,” kongsi beliau di laman Facebook miliknya.

Dr Akmal Saleh dan isteri ketika mengunjungi kediaman keluarga adik Medina.

Difahamkan, adik Medina memerlukan dana berjumlah RM180,000 bagi menjalankan pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di China.

Bagaimanapun, menurut bapa adik Medina, biarpun kutipan sumbangan sudah dilaksanakan, namun jumlah yang diperlukan masih tidak mencukupi.

“Dari segi dokumen, semua dah lulus. Cuma masalah sekarang dana je lah. Kutipan dana diuruskan oleh Yayasan Nanyang. Kali terakhir kita kemas kini hari tu, baru RM62,000,” jelasnya.

Difahamkan, keluarga kecil itu masih kekurangan sebanyak RM120,000 bagi menjalankan pembedahan berkenaan.

Setelah mengesahkan situasi berkenaan, Dr Akmal dan pasangannya sebulat suara menyerahkan wang yang disimpan bagi menunaikan haji itu kepada adik Medina.

“Saya tak boleh tengok budak-budak macam ni. Saya ni nak bagi tahu encik, saya ni duit tak banyak tapi ada lah saya simpan.

“Sebenarnya saya merancang tahun ni pergi haji tapi macam ni lah. Saya rasa daripada pergi haji dengan selamatkan nyawa ni, nyawa lagi penting.

“Sebenarnya saya nak pergi berdualah dengan orang rumah saya. Kami tak dapat yang ikut… dah tiga empat tahun saya rayu tak dapat. Jadi tahun ni saya punya cadangan nak bayar je lah cik.

“Tahun ni dalam simpanan saya memang betul cukup-cukup RM120,000. Saya tak tipu, cik. RM120,000 tu memang cukup-cukup nak pergi haji.

“Tabung Haji Travel tu memang ada pakej yang RM60,000 tu. Itu yang paling murah antara yang banyak-banyak. Jadi berdua, genaplah RM120,000 tu,” ujar beliau.

Bercakap tentang rezeki, Dr Akmal berpendapat wang yang disimpannya lebih bermakna jika digunakan buat menyelamatkan nyawa adik Medina.

“Mungkin Allah tak panggil saya lagi, duit ni memang untuk Medina la kot saya rasa. Saya rasa, yang lebih penting nyawa dia,” katanya lanjut.

Beliau turut berpesan kepada kedua ibu bapa adik Medina untuk segera menghubungi pihak Yayasan Nanyang bagi memaklumkan mereka sudah mempunyai dana yang cukup.

“Kalau dia kata dalam dua tiga hari nak berlepas, berlepas je. Kalau dia kata dalam beberapa hari, secepat mungkinlah. Sebab apa, dia soal masa.

“Nyawa dia bergantung dengan masa. Memang kita nampak dia tak ada apa-apa, memanjat tapi sebenarnya dia akan lagi… merudum,” jelas beliau sambil menahan sebak.

Menurutnya, beliau juga memahami perasaan kedua ibu bapa yang ingin melihat anaknya kembali sihat.

“Macam anak saya lah, kita faham. Macam mana kita jaga, kalau boleh kita nak dia sihat. Kalau boleh nyawa kita pun kita nak bagi pada dia,” ucapnya.

Melihat riak wajah ibu dan ayah adik Medina, Dr Akmal turut cuba menenangkan mereka.

“Allah bagi tu bukan rezeki saya sebenarnya. Allah bagi saya ni, transit je. Sebenarnya memang rezeki adik Medina. Ibu jangan risau lah ye, yang penting Medina dapat rawatan dia, kita usaha yang terbaik untuk Medina,” katanya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan