28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

BN kekal sokong kerajaan PN – Ahmad Zahid

Mesti Baca

KUALA LUMPUR- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) tanpa menyertai gabungan tersebut secara rasmi.

Ahmad Zahid berkata, UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai PN sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan Pas dan komponen BN.

“UMNO tidak akan menjadi parti komponen PN jika ia didaftarkan secara rasmi.

“Sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ahmad Zahid pada masa sama berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan ahli Parlimen BN semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat Bersatu untuk menyertai MN.

Ujarnya, hasrat Bersatu itu akan dibincangkan dengan Pas untuk diperhalusi.

“Jawatankuasa Induk MN sebelum ini memutuskan untuk UMNO dan Pas memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada JK Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat Bersatu sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini mencetuskan persoalan mengenai masa depan PN yang disertai parti itu sejak Mac lalu.

Ini selepas beliau menyatakan bahawa UMNO akan mengambil keputusan politik yang besar berikutan keputusan mahkamah mensabitkan hukuman bersalah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata, usaha penubuhan kerajaan baharu di Sabah telah digagalkan selepas Ketua Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Justeru, katanya, BN akan mengadakan perbincangan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.

“Kemelut politik di Sabah harus diselesaikan. Biarpun usaha untuk membentuk kerajaan baru itu telah dinafikan dengan nasihat daripada ketua menteri kepada Yang di-Pertua Negeri (Juhar Mahiruddin).

“Hakikatnya pembubaran ini telah menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat untuk menentukan dalam bentuk mandat baru yang diberikan,” katanya

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan