32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Terima kasih Mujahid ‘atas doa’, kini Muafakat Nasional semakin kuat

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEJAK Selasa lalu pemimpin Pakatan Harapan (PH) bagaikan berpesta apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atas tujuh pertuduhan dalam kes dana SRC International.

Walaupun masih ada dua lagi proses mahkamah untuk membuat rayuan, namun pemimpin pakatan meraikan keputusan mahkamah itu macam sudah menang PRU-15.

Lanjutan itu dapatlah kita saksikan perangai kebudak-budakkan sesetengah pemimpin PH yang bergambar sambil menjamah ‘Super Ring’. Mungkin itu sahaja tahap kemampuan politik mereka untuk bertindak balas ke atas ketajaman politik bekas Perdana Menteri tersebut yang sering menyindir mereka.

Penulis tertarik dengan artikel Dr. Mujahid Yusof yang disiarkan dalam portal berita Malaysiakini, semalam bertajuk, ‘’Najib bersalah, Melayu bersatulah’’.

Penulis tidak berminat untuk mengulas isi kandungan apa yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar tersebut. Ia memandangkan artikel itu menyerlah kebencian politik beliau kepada UMNO, Pas dan penyokong yang hadir ke mahkamah pada hari tersebut.

Mungkin beliau melihat ini peluang terbaik untuk berbuat demikian. Beliau juga menggesa orang Melayu bersatu selepas Najib didapati bersalah.

Sebenarnya orang Melayu sudah pun bersatu apabila UMNO dan Pas mewujudkan Muafakat Nasional (MN) sebelum ia diperkukuhkan dengan penggabungan dalam Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai oleh sebuah lagi parti Melayu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dan mungkin hari ini ‘doa kekanda’ Mujahid ‘dimakbulkan’ apabila sudah tersebar berita bahawa Bersatu akan bergabung dalam MN. Keputusan itu dikatakan dicapai hasil pertemuan melibatkan Ahli Parlimen UMNO dan Pas dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Langkah Bersatu itu sudah tentu akan memperkukuhkan lagi MN dan memberi harapan untuk mereka mengembalikan kuasa politik Melayu yang terjejas berikutan apa yang berlaku dalam PRU-14 lalu.

Sememangnya orang Melayu mengharapkan penyatuan itu. Atas sebab itulah pemimpin-pemimpin PH resah sejak pembentukan MN. Mereka memahami permuafakatan tersebut akan memperkukuhkan kembali sokongan orang Melayu kepada UMNO dan Pas

Dari semasa ke semasa, mereka melakukan serangan ke atas UMNO dan Pas termasuklah terbaru menyerang pemimpin Pas yang bertemu dengan Najib beberapa jam selepas beliau dijatuhkan hukuman. Inilah perangai buruk pemimpin pembangkang.

Advertisements

Mungkin mereka berharap apabila Najib didapati bersalah, UMNO akan marah kepada Perdana Menteri dan Bersatu manakala Pas akan meninggalkan UMNO tetapi semua itu tidak berlaku.

Sebaliknya UMNO menyatakan komitmen terus bersama Perdana Menteri manakala Pas menzahirkan komitmen bersama UMNO dalam MN di samping terus memperkukuhkan Kerajaan PN.

Ketegasan itu mungkin meresahkan Mujahid, kalau masakan tidak beliau sanggup berkata, ‘’Bayangkan, parti UMNO dan Pas bercakap tentang perpaduan Melayu, bersatu atas nama perompak harta negara.’’

Ternyata perpaduan Melayu antara UMNO dan Pas betul membimbangkan PH sebab itulah mereka kecewa bila kes Najib gagal memecahbelah kedua-dua parti berkenaan. Penulis percaya usaha mereka akan terus gagal kerana orang Melayu akan bersama MN.

Orang Melayu tidak akan kembali kepada PH. Tidak payahlah Mujahid bermimpi bahawa 30 peratus orang Melayu yang menyokong pakatan itu akan berbuat demikian sekali lagi dalam PRU-15. Insha-Allah ia tidak akan berlaku selagi PH terus dilihat didominasikan oleh DAP.

Tambahan pula PH menang PRU-14 melalui propaganda dan membentangkan manifesto yang terbukti akhirnya hanya menipu rakyat kerana ia tidak dilaksanakan atas alasan ‘’bukan kitab suci’’.

Penulis percaya PH termasuk Mujahid dan idola mereka, Tun Dr.Mahathir Mohamad akan terus memainkan sentimen UMNO dan Pas ‘bersekongkol dengan perompak, penyamun dan penyangak’ kerana itu sahaja modal yang mereka ada.

‘Kekanda’ Mujahid boleh bersorak apa sahaja dan ‘Abang Sam’ (Shamsul Iskandar Mat Akin) bolehlah makan ‘Super Ring’ banyak-banyak tetapi ia tidak akan mengubah fakta bahawa orang Melayu sudah serik dengan PH.

Mujahid ‘pasti seronok’ dengan perkembangan dalam PN, apa Bersatu dijangka menyertai UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional – maka semakin kukuh perpaduan orang Melayu.

Ini kerana Mujahid menulis dalam artikelnya itu, ‘’Siapa kata Melayu berpecah? Saya yakin perpaduan orang Melayu lebih kuat hari ini dengan pensabitan Najib.’’

Betul kata beliau, ‘’perpaduan Melayu lebih kuat….’’ – kerana selepas kes itu, tiga parti Melayu, kini bersatu dalam MUAFAKAT NASIONAL dan tidak menjadi ‘pak turut’ kepada parti lain. ‘’ – ‘’Terimakasih Kekanda Mujahid atas doa.’’

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan