30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tun, tak payahlah pening-pening, sudah tiba masanya sertai DAP

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

DALAM keadaan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke kiri pun tidak, ke kanan pun tidak , disebabkan gugur keahlian daripada Bersatu, penulis rasa tiada parti lain lebih sesuai dan tepat untuk bekas Perdana Menteri itu sertai selain daripada DAP.

Mahathir pasti tidak diterima dalam PKR dan tidak sesuai berada dalam Amanah kerana ia bukan parti berbilang kaum, Warisan pula parti untuk orang Sabah, oleh itu DAP paling sesuai dengan beliau kerana ia sudah diiktiraf oleh Mahathir, parti berbilang kaum.

Sebelum ini Ketua UMNO Kuala Selangor, Dato’ Jahaya Ibrahim pun sudah membuat cadangan itu selepas melihat ‘kesungguhan’ bekas Perdana Menteri tersebut mempertahankan DAP sehingga sanggup memperlekehkan orang Melayu.

Dalam wawancara terbaru dengan Sinchew Daily, Mahathir yang pernah menjadi musuh ketat parti tersebut menyatakan, DAP sudah banyak berubah berbanding era semasa beliau menjadi Perdana Menteri keempat dan Presiden UMNO.

Kalau begitulah pujian dan ‘pengesahan’ Mahathir, sudah pasti parti tersebut akan menerima beliau dengan tangan terbuka.

Dengan membawa rekod sebagai individu yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali, bekas Presiden UMNO dan bekas Pengerusi Bersatu, kehadiran Ahli Parlimen Langkawi itu sudah tentu menggembirakan DAP.

Mahathir akan menjadi idola atau ‘duta’ kepada DAP untuk berkempen bagi mengajak lebih ramai orang Melayu menyertai parti berkenaan. Lagipun sekarang sudah ramai orang Melayu menyertai DAP sehingga mereka diberi peluang menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Dengan kehadiran beliau bersama empat lagi ahli Parlimen Bersatu akan menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DAP di Parlimen ialah 47 kerusi – sekaligus menjadikan DAP, parti yang mempunyai kerusi terbanyak manakala Mahathir boleh menjadi calon Perdana Menteri.

Oleh itu Mahathir tidak payah fikir panjang lagi, buat apa pening-pening kepala ‘nak berperang’ dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali ke dalam Bersatu, sertai sahaja DAP dan jadilah ‘musuh sebenar’ kepada Perikatan Nasional (PN).

Kalau sudah masuk DAP, Mahathir mahu terus memperlekehkan orang Melayu, silakan sahaja, mungkin orang Melayu pun sudah tidak ambil pusing lagi sebab beliau bukan berada dalam parti Melayu.

Apabila pilihan raya, Mahathir bertandinglah atas tiket DAP di Langkawi, sebab pemimpin-pemimpin PH yakin Mahathir akan mampu menarik sokongan orang Melayu.

Atas faktor inilah mereka tetap memilih beliau sebagai calon Perdana Menteri untuk pakatan itu sehingga sanggup mengenepikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mereka sudah kawan lebih 20 tahun.

Lagipun Mahathir juga sudah kata, ‘’DAP kini mampu memenangi kerusi walaupun meletakkan orang Melayu sebagai calon.’’ Dan kata beliau lagi, DAP sedar mereka tidak akan maju ke depan dan hanya dapat menjadi pembangkang sekiranya gagal mendapat sokongan orang Melayu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mahathir sudah berjaya membantu DAP menjadi kerajaan buat pertama kalinya dalam sejarah, mana tahu kali ini beliau boleh membantu DAP mencatatkan sejarah melahirkan seorang Perdana Menteri berusia 95 tahun.

Sama ada beliau masih mempunyai kemampuan menarik sokongan orang Melayu atau tidak, sama-samalah kita tengok bila pilihan raya nanti.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan