29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Ibrahim Ali persoal pemimpin UMNO desak bubar Dewan Rakyat

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Presiden PUTRA, Datuk Dr. Ibrahim Ali hari ini mempersoalkan tindakan pemimpin UMNO yang mendesak supaya Dewan Rakyat dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), walaupun ancaman pandemik Covid-19 belum pulih sepenuhnya.

Beliau turut mempersoalkan apakah niat UMNO mahu PRU-15 disegerakan dan kenapa parti itu tidak mengambil sikap Dewan Rakyat dibubarkan dan PRU diadakan atas dasar prinsip moral.

‘’Kenapa sekarang secara tiba-tiba? Apa alasannya? Adakah kerana alasan, politik negara kusut dan hanya boleh diselesaikan melalui PRU? Apa jaminan politik stabil selepas PRU? Apakah rakyat akan membuat keputusan memberi undi kepada mana-mana parti untuk mendapat majoriti dua pertiga?

‘’Atau setidak-tidaknya ‘clear majoriti’ (120 kerusi) kepada mana-mana kumpulan atau akhirnya juga menghasilkan ‘hung government (iaitu keputusan tergantung kerana tidak ada mana-mana kumpulan dapat majoriti jelas) seperti dakwaan terhadap kerajaan sekarang,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jika itu hasilnya apa faedah diadakan PRU-15 sekarang, sedangkan PRU yang melibatkan perbelanjaan ratusan juta ringgit bertujuan memilih wakil rakyat yang akan mendapat elaun berpuluh ribu ringgit setiap bulan tetapi akhirnya bersikap sambil lewa serta berlaku pula lompat melompat jika keputusan majoriti tipis.


Bagaimanapun Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, PUTRA yakin Yang di-Pertua Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu akhirnya akan memastikan rakyat dan negara selamat.

‘’Yang di-Pertuan Agong sudah pasti dengan kebijaksanaan baginda akan membuat keputusan bukan kerana kepentingan mana-mana golongan, kumpulan atau parti tetapi berdasarkan penilaian menyeluruh berpandukan undang-undang serta Perlembagaan sedia ada.

‘’Jika berlaku Perdana Menteri hilang majoriti, maka Yang di-Pertuan Agong juga selain mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri mempunyai lain-lain pilihan yang dikira memberi kebaikan kepada negara dan rakyat.

”Mungkin inilah masa bertenang dan masa langkah pembetulan melalui Ordinan Darurat untuk tempoh dua tahun hingga tiga tahun bagi menyelelesaikan masalah rumit,’’ katanya.


Dalam kenyataan itu juga, Ibrahim mengimbas kembali bagaimana sebaik sahaja Kerajaan PH jatuh dan Tun Dr.Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri berikutan ‘Langkah Sheraton’, PUTRA dengan tegas mendesak supaya Dewan Rakyat dibubarkan dan PRU-15 diadakan segera.
‘’Desakan yang dibuat sebelum pelantikan Perdana Menteri Ke-8 itu bertunjangkan prinsip moral demokrasi dan PRU-15 bertujuan mengembalikan hak rakyat untuk memilih kerajaan,’’ katanya.

Bagaimanapun kata beliau, gesaan PUTRA tidak mendapat perhatian dan sudah menjangkakan bahawa apabila berlaku perubahan secara melompat parti, tindakan itu tidak akan membantu ke arah kestabilan politik dan mendapat keyakinan antarabangsa terutama pelabur-pelabur.

‘’Malah sokongan kepada yang direstui membentuk kerajaan menjadi polemik walaupun sah di sisi undang-undang dan sejauh mana sokongan majoriti masih menjadi tanda tanya dan belum diuji,’’ tegasnya.


Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata, isu membubarkan Parlimen tidak berbangkit buat masa ini kerajaan berfungsi dengan baik dan mempunyai seorang Perdana Menteri sebagai ketua.

Sehubungan itu beliau menjelaskan, kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam yang meminta Perdana Menteri membubarkan kerajaan kerana beranggapan negara mengalami ketidakstabilan politik adalah pandangan peribadi bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan