36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Mahathir guna modal lapuk selepas buntu mahu jatuhkan Muhyiddin

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

Sejak meletakkan jawatan Perdana Menteri sehingga menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan berkuasa, Tun Mahathir Mohamad dilihat semakin tidak keruan dalam tindakan politiknya.

Setiap hari bekas Perdana Menteri itu ke sana ke sini berusaha menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dituduh beliau tidak mempunyai majoriti ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Dalam usaha tersebut Mahathir mengadakan pelbagai pertemuan di banyak tempat bagi menyusun strategi bersama-sama pemimpin PH.
Turut menjadi tempat pertemuan beliau ialah Yayasan Al-Bukhary – salah satu yayasan yang ditubuhkan untuk menyatukan ummah termasuk menghantar umat Islam menunaikan umrah dan haji.

Tetapi malangnya Mahathir menjemput pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng, Anthony Loke dan lain-lain membuat perancangan bagi menjatuhkan pemimpin Melayu.

Bagaimanapun pertemuan terakhir di bangunan yayasan yang penuh kesenian Islam itu gagal mencapai apa-apa keputusan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghadirinya kerana dikatakan marah apabila pemimpin PH tetap mahu mencalonkan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Ia memberi isyarat awal hubungan Mahathir dan Anwar kembali bermasalah. Ia semakin ketara apabila dalam mesyuarat PH yang pertama kali menyaksikan Mahathir ‘memanjat’ Ibupejabat PKR, tiada sebarang keputusan dicapai.

Difahamkan dalam mesyuarat itu, PKR secara terbuka menolak pencalonan semula Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana beliau bertanggungjawab menumbangkan Kerajaan PH apabila meletakkan jawatan berkenaan.

Pendirian PKR itu berlaku ketika Mahathir semakin buntu bagaimana mahu menjatuhkan Muhyiddin. Oleh itu beliau harus mencari ‘peluru’ lain untuk terus menggugat Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Berikutan itulah kita dapat menyaksikan manuver terbaru beliau apabila mula memainkan sentimen dengan mengaitkan pemimpin UMNO khususnya Datuk Seri Najib Tun Razak dalam propagandanya.

Kenyataan beliau bahawa tidak mungkin Najib akan menyokong Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri jika Najib tahu akan dipenjarakan membuktikan Mahathir semakin ‘mati akal’ bagaimana mahu menyingkirkan Muhyiddin.

Mengaitkan nama UMNO dan Najib yang dituduh beliau penyangak, penyamun dan pencuri itu adalah strategi Mahathir bagi mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat, jika Najib dibebaskan daripada tuduhan di mahkamah ia adalah hasil kompromi dengan Muhyiddin.

Mahathir cuba menggunakan ‘taktik kotor’ itu sama seperti mana dilakukan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan ‘menyerang’ Najib habis-habisan. Beliau berharap modal lapuk tersebut akan mempengaruhi rakyat untuk membenci pula kerajaan Muhyiddin.

Begitu juga apabila beliau menuduh Muhyiddin akan ‘menentukan’ enam ahli Parlimen UMNO yang berdepan kes mahkamah atas tuduhan rasuah tidak disabitkan kesalahan. Ini tuduhan jahat yang membuktikan Mahathir benar-benar terdesak, celaru, buntu dan ‘mati akal’ untuk menjatuhkan Muhyiddin.

Dalam satu kenyataan, bekas Perdana Menteri berusia 95 tahun itu mendakwa, jika Ahli Parlimen UMNO tersebut didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi menjadi wakil rakyat, yang akan menyebabkan kerajaan Muhyiddin tumbang kerana kekurangan majoriti.

Mahathir cuba mengelirukan rakyat dan menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang memandangkan ada enam ahli Parlimen UMNO sedang dibicarakan dan kalau dibebaskan ia pasti ada kompromi dengan Muhyiddin.

Bagaimanapun Mahathir janganlah ingat rakyat tidak tahu proses mahkamah. Sesuatu kes itu boleh memakan masa bertahun-tahun di mahkamah dan mungkin menjelang PRU-15 pun belum tentu akan selesai.

Namun apa boleh buat, Mahathir berada dalam keadaan tidak menentu kerana impian untuk menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga tidak mungkin akan kesampaian.

Apatah lagi sebelum ini tindakan beliau menguar-uarkan bahawa Kerajaan PN dikuasai oleh UMNO tidak dipedulikan oleh rakyat. Mahathir begitu berdendam kepada UMNO sebuah parti yang meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.

Lebih meresahkan beliau seperti mana pandangan pelbagai pihak ialah apa akan jadi kepada Datuk Seri Mukhriz yang baru-baru ini tersingkir dari kerusi Menteri Besar Kedah buat kali kedua. Adakah kompromi untuk meletakkan anak kesayangan itu sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Anwar bertegas menjadi Perdana Menteri akan tercapai?

Mahathir tahu sejauh mana kemampuan Mukhriz apatah lagi apabila Anwar berkata, “Orang bagi macam-macam cadangan dan kami mesti berikan pertimbangan sewajarnya. Tapi akhirnya, ia merupakan isu tahap sokongan yang dimiliki seseorang dan daya saing.’’

Mahathir bimbang walaupun beliau disokong oleh kuat oleh DAP namun ia bukanlah bermakna anaknya juga akan mendapat sokongan yang sama. Banyak lagi yang perlu Mukhriz belajar apatah lagi jika mahu bergabung dalam PH – silap langkah Mukhriz akan menjadi bagaikan ‘kucing masuk ke dalam kandang harimau.’’

Itulah yang dikatakan membimbangkan Mahathir. Wujudnya dakwaan beliau berusaha sedaya upaya menjatuhkan Muhyiddin dan kembali menjadi Perdana Menteri bagi memastikan Mukhriz berada pada posisi yang betu-betul selamat serta mendapat sokongan padu pemimpin-pemimpin PH sebelum beliau bersara daripada arena politik.

Sama ada betul atau tidak, terserah kepada tafsiran dan pengamatan masing-masing tetapi apa yang pasti Mahathir semakin resah kerana Muhyiddin tidak tergugat dengan ‘serangan-serangan’ yang beliau lakukan.

Muhyiddin terus tenang dan sokongan rakyat kepada beliau semakin meningkat, justeru mengaitkan pemimpin UMNO dengan Perdana Menteri adalah ‘usaha terakhir’ Mahathir untuk menumbangkan Ahli Parlimen Pagoh tersebut.

Namun penulis percaya, usaha itu tidak akan ke mana kerana rakyat khususnya orang Melayu sudah muak dengan politik Mahathir yang dilihat tidak habis-habis mahu menyingkirkan Perdana Menteri selepas beliau.

Kalau Mahathir boleh menyatakan Najib tidak akan sokong Muhyiddin kalau tidak bebas daripada kesnya, apa pula jaminan bahawa Mahathir akan terus sokong Anwar jika beliau tidak dipilih sebagai Perdana Menteri atau anaknya, Mukhriz tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Kesimpulannya, Mahathir mencipta banyak sangat musuh. Beliau menjatuhkan BN dalam PRU-14 dan bertanggungjawab tumbangnya Kerajaan PH. Ketika musuh politik beliau di dalam BN sudah nyata, sentimen menolak beliau dalam PH pula semakin merebak.

Melalui musuh-musuh yang dicipta ini tidak mustahil beliau akan tersingkir dari gelanggang politik dalam keadaan keseorangan dan kesepian.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan