KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM12.16 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac lalu, semasa cabaran pandemik global COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias menjelaskan, pandemik tersebut memberi kesan besar terhadap dunia yang tidak bersedia menghadapinya.
Menurut beliau, situasi tersebut telah mengakibatkan perubahan mendalam terhadap kehidupan seharian serta menyebabkan kemelesetan ekonomi yang luar jangkaan.
Lebih-lebih lagi, jelasnya, kerana ia berlaku dalam persekitaran global yang sememangnya lemah akibat kejatuhan harga minyak dan ketidaktentuan pasaran yang didorong oleh isu geopolitik yang masih berterusan sejak 2019.
“Semua pasaran domestik dan global terjejas teruk, terutamanya pasaran ekuiti yang mengalami penurunan yang ketara, dengan kejatuhan pasaran global sehingga 32 peratus, manakala prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI telah jatuh 15 peratus sehingga 31 Mac 2020.
“Selain itu, kebanyakan bank-bank pusat sedunia memperkenalkan pelbagai dasar monetari bagi membantu isi rumah dan peniaga, mengakibatkan penurunan kadar faedah yang mengurangkan hasil daripada pelaburan dalam aset pendapatan tetap.
“Prestasi pelaburan KWSP juga tidak terkecuali daripada impak COVID-19 dan mencatatkan penurunan pendapatan pada masa yang sama,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Instrumen pendapatan tetap telah menyumbang RM4.87 bilion kepada pendapatan kasar.
Sektor hartanah dan infrastruktur, dan instrumen pasaran wang pula masing-masing telah menyumbang RM0.43 bilion dan RM0.54 bilion, manakala ekuiti pula mencatatkan RM6.32 bilion, yang mewakili 52 peratus daripada jumlah pendapatan kasar.
Pendapatan pelaburan bersih yang dicatatkan adalah sebanyak RM7.50 bilion setelah mengambil kira penghapusan ke atas nilai ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.
“Walaupun ketidaktentuan pasaran dijangka akan berterusan, KWSP telah melihat beberapa pemulihan dalam pelbagai pasaran dunia sejak bulan April.
Berikutan pelaksanaan rancangan yang agresif oleh ekonomi-ekonomi besar untuk menangani impak virus tersebut dan memulakan langkah pemulihan ekonomi selepas COVID-19, kami berharap sentimen pasaran akan terus beransur pulih,” jelas Tunku Alizakri. – EDISI 9