29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kenapa Mahathir ‘kemaruk’ nak jadi PM walaupun mungkin hanya 130 hari?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SERONOK juga melihat gelagat pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dan Amanah yang begitu bersungguh-sungguh mahukan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri jika pakatan itu kembali berkuasa.

Terbaru mereka memberi jaminan bahawa Mahathir akan memegang jawatan itu selama enam bulan sebelum diserahkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dan mungkin tidak yakin dengan Mahathir dan mahu menyakinkan Anwar, mereka menyatakan serahan jawatan Perdana Menteri itu akan didokumenkan secara bertulis, ditandatangani semua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka.

Kenapakah kedua-dua parti itu khususnya DAP begitu beria-ia mahu mencalonkan Mahathir? Kenapakah DAP pula yang sibuk mahu menentukan hala tuju siapa jadi Perdana Menteri dan bagaimana peralihan kuasa akan berlaku?

Sepatutnya, hormatilah keputusan PKR dan Anwar yang tetap menolak Mahathir, lagipun kalau berbanding dengan Mahathir, DAP dan PKR sudah berkawan sejak lebih 20 tahun sedangkan mereka baru bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri sekitar dua tahun sahaja.

Adakah PKR sekali lagi akan menggadaikan maruahnya dengan akur terhadap perjanjian peralihan kuasa yang penulis percaya belum tentu akan ditunaikan oleh Mahathir?

Di manakah maruah PKR, apabila DAP pula yang ‘menolak’ pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri sedangkan mereka terlebih dahulu susah senang bersama sebelum Mahathir menyertai PH?

Tertanya-tanya juga kita kenapa DAP begitu teruja menyokong Mahathir? Apa muslihatnya? Adakah terdapat ‘perjanjian’ antara kedua-dua pihak itu yang akan menguntungkan DAP jika PH kembali berkuasa?

Kalau tidak ada, kenapakah DAP tidak menghormati pendirian PKR? Kenapakah Amanah tidak faham bahawa PKR tidak mahu lagi Mahathir? Kalau mahu bercakap Mahathir boleh menarik sokongan parti lain, sampai ke hari ini, tidak ada pun mana-mana ahli Parlimen berpaling tadah menyokong PH.

‘’PKR sudah kata tidak mahu Mahathir tetapi DAP tetap juga mahu mencalonkan Mahathir. Adakah PH didominasi oleh DAP yang mempunyai 42 kerusi Parlimen?,’’ tanya seorang pemerhati politik kepada penulis.

Justeru kata pemerhati politik tersebut, jika PKR dan Anwar mempunyai maruah mereka perlu menolak cadangan DAP dan Amanah yang disokong oleh Warisan.

‘’Cukuplah sebelum ini Mahathir sudah memperkotak-katikkan maruah PKR dan kini apabila PKR tegas mahu mempertahankan maruahnya dengan menolak pencalonan Mahathir, DAP pula dengan dibantu Amanah nmahu ‘tunjuk belang’ dengan membuat perancangan supaya Mahathir tetap jadi Perdana Menteri.

‘’Kalau PKR terima cadangan DAP, Amanah dan Warisan , lebih baik MPT PKR dibubarkan sahaja dan jangan membuat apa-apa keputusan kalau akhirnya mereka akan ‘tunduk’ dengan apa yang orang lain putuskan,’’ kata pemerhati politik tersebut.

Advertisements

Seperkara lagi kenapa enam bulan? Apa yang Mahathir boleh buat dalam tempoh enam bulan? Kalau dihitung secara kasar tempoh enam bulan itu ia sekitar 184 hari.

Selepas ditolak cuti hujung minggu, hanya tinggal sekitar 130 hari sahaja untuk menguruskan negara dan menjaga kawasan Parlimennya? Mungkin kita boleh kata hujung minggu beliau balik kawasan, tetapi ia tetap juga menimbulkan apa yang beliau boleh lakukan dalam tempoh 130 hari?

Itu belum lagi mengambil kira cuti umum? dan lawatan ke luar negara yang perlu dilakukan sebagai Ketua Negara. Kenapa Mahathir ‘kemaruk’ sangat tetap mahu menjadi Perdana Menteri walaupun tahu beliau hanya ada 130 hari sahaja untuk memegang jawatan itu?

Atau sememangnya Mahathir tidak mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dan apabila cukup enam bulan pelbagai alasan beliau akan berikan?

Betulkah DAP sanggup mendesak bubarkan Parlimen jika Mahathir tidak tepati janji? Bagaimana kalau mereka sendiri sudah berada di kedudukan selesa dalam kerajaan seperti diberi portfolio menjaga Kementerian Kewangan?

Ramai pihak bimbang, jika dalam tempoh memegang jawatan itu Mahathir hanya akan mengikut telunjuk DAP kerana ‘nyawa’ politik beliau bagaikan bergantung kepada parti tersebut

‘’Memang betul, Amanah dan Warisan juga menyokong Mahathir tetapi dari segi kerusi, DAP paling banyak, Amanah hanya ada 11 kerusi manakala Warisan (9 kerusi). Mahathir tahu DAP mempunyai kekuatan untuk mempertahankannya termasuk bila genap enam bulan tempoh peralihan kuasa perlu dilakukan.

‘’Selain itu, saya melihat Mahathir sekarang berada dalam kedudukan ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’, sepatutnya jagalah sikit maruah sebagai pemimpin Melayu.

”Kalau orang dah tak nak, cukup-cukuplah, tak kan sanggup biarkan DAP pula tentukan siapa dan berapa lama seseorang itu menjadi Perdana Menteri dengan sokongan Amanah dan Warisan.

‘’Saya sedih sampai ke tahap itu Mahathir merendahkan martabatnya semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri sedangkan dulu beliau seorang negarawan yang dihormati satu ketika dahulu,’’ kata pemerhati politik berkenaan.

Sememangnya, dalam percaturan siapa harus menjadi Perdana Menteri daripada PH menyaksikan bagaimana besarnya pengaruh DAP. Amanah hanya mengikut, begitu juga Warisan yang sememangnya konsisten bersama dengan Mahathir.

Namun PKR tidak perlu lagi membiarkan maruah mereka diperkotak-katikkan kerana percayalah sehebat manapun perjanjian yang dibuat, persoalan tetap timbul sejauh manakah Mahathir akan menepatinya.

Kalaulah Pengerusi Bersatu pun beliau pertahan bak kata orang ‘ bagai nak rak’ walaupun sudah digugurkan sebagai ahli parti itu, apatah lagi jawatan Perdana Menteri yang sudah ada dalam genggaman. Fikirkanlah!

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan