28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kenapa Mahathir gigih mahu jatuhkan Muhyiddin?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TUN Mahathir Mohamad yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-95 pada 10 Julai nanti terus gigih mengatur strategi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semalam, beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin DAP dan Warisan di Yayasan Al-Bukhary – yayasan yang ditubuhkan oleh Tokoh Korporat terkemuka, Tan Sri Mokhtar Al-Bukhary pada 1996.

Satu yayasan yang begitu banyak jasa kepada umat Islam termasuklah penyatuan ummah, terutamanya berhubung dengan biasiswa Islam dan ibadah haji.

Pertemuan di yayasan berkenaan dihadiri oleh bekas Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahaya, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bagaimanapun tiada wakil PKR hadir kerana kata Setiausaha Agung parti, “Pertemuan petang tadi tidak rasmi. Jadi, PKR tidak ambil bahagian kerana kami sibuk dengan tugas masing-masing.

“Kami kekal kukuh. Mereka (pemimpin PH) berhak berjumpa sesiapa sahaja demi kepentingan bersama PH. Kami hormat dan mengambil kira pandangan semua orang.”

Keghairahan Mahathir untuk menjatuhkan Muhyiddin menimbulkan pelbagai persoalan apakah motif sebenar beliau berbuat demikian selain mahu memastikan PH kembali berkuasa selepas kerajaan pakatan itu tumbang berikutan tindakan beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Berikut penulis paparkan antara persoalan yang tercetus berikutan keghairahan Mahathir melakukan pelbagai manuver politik untuk memastikan Muhyiddin tersingkir;

• Tidakkah Mahathir berasa bersalah mengadakan pertemuan seumpama itu di sebuah bangunan milik orang Melayu bagi membincangkan tindakan yang boleh melemahkan kuasa politik orang Melayu?

• Adakah Mahathir mahu singkirkan Muhyiddin kerana ingin memastikan janji beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaksanakan?

• Adakah Mahathir belum puas menjadi Perdana Menteri walaupun sudah dua kali dengan tempoh 22 tahun dan 22 bulan – yang pasti tidak akan mampu diatas oleh sesiapa?

• Adakah Mahathir berasa sedih kerana tiada lagi pemimpin DAP dalam Kabinet seperti Lim Guan Eng, Anthony Loke dan beberapa pemimpin parti itu sehingga menyebabkab beliau bersungguh-sungguh mahu PH kembali berkuasa?

• Adakah Mahathir terlalu ‘sayang’ DAP sehingga sanggup bersedia menyingkirkan Muhyiddin kerana Perdana Menteri tidak mahu lagi bekerjasama dengan parti tersebut demi kepentingan orang Melayu?

• Adakah Mahathir bersungguh-sungguh dengan sokongan DAP mahu menjatuhkan Muhyiddin kerana mahu ‘menebus dosa’ pernah menuduh parti itu adalah ‘parti rasis’ sehingga dipandang serong oleh orang Melayu?

• Adakah Mahathir mahu membalas jasa DAP yang telah membantu beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua tetapi melupakan pengorbanan besar Muhyiddin yang sebelum ini sanggup kehilangan jawatan dalam parti dan kerajaan semata-mata untuk bersama beliau?

• Kalau Mahathir boleh memaafkan pemimpin-pemimpin DAP, apakah Mahathir tidak boleh memaafkan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PN terutamanya Muhyiddin?

• Apakah dendam politik yang mendalam terhadap Muhyiddin, UMNO dan Pas menyebabkan Mahathir tidak mampu lagi memikirkan kesan tindakannya ketika rakyat sedang susah berikutan serangan Covid-19?

• Apakah Mahathir mahu menjadikan kejayaan menyingkirkan seorang lagi Perdana Menteri sebagai hadiah hari jadi ke-95 pada 10 Julai ini?

Hakikatnya, banyak persoalan yang bergentayangan apabila melihat kegigihan dan ketekunan Mahathir berusaha menjatuhkan Muhyiddin sehingga menyebabkan Bersatu kini berpecah dan tidak mustahil PH juga akan berpecah seperti mana pernah berlaku kepada UMNO sehingga terlahirnya Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan PKR. – Inilah salah satu ‘kepakaran politik’ Mahathir.

Apapun yang pasti Mahathir tetap memerlukan sokongan DAP memandangkan parti itu mempunyai kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat tanpa sokongan parti berkenaan, Mahathir sudah pasti akan gagal menjatuhkan Muhyiddin.

Untuk rekod, DAP mempunyai (42 kerusi), Bersatu bersama Mahathir (5 kerusi), PKR (39 kerusi), Amanah (11 kerusi) dan Parti Warisan (9 kerusi).

Dengan fakta ini, adakah mampu Mahathir menolak kemahuan DAP jika mereka membentuk kerajaan semula, walaupun Mahathir menegaskan, beliau tidak akan membenarkan parti berkenaan menguasai PH?

Mahathir boleh berhujah apa sahaja bagi ‘menghalalkan’ matlamat untuk menjatuhkan Muhyiddin tetapi memetik kata seorang pemerhati politik yang juga seorang ahli perniagaan kepada penulis:

“Mahathir yang kita kenali sekarang, bukan Mahathir dahulu, yang ada kudrat fizikal, ketajaman fikiran dan mempunyai kekuatan politik, sebaliknya Mahathir kini adalah Mahathir yang terpaksa bergantung kepada orang lain bagi melunaskan dendam dan perjuangan politiknya.”


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan