29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Penyertaan dalam PN selaras dengan matlamat Bersatu

Mesti Baca

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan bahawa pendirian menyertai dan memimpin Perikatan Nasional (PN) adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti.

Ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Kuala Lumpur malam tadi.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin:

Mesyuarat MPT Bersatu pada 4 Jun 2020 telah dipengerusikan oleh Presiden merangkap Pemangku Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) itu berjalan dengan lancar dan penuh tertib.

Dalam mesyuarat tersebut, MPT mengiktiraf tugas yang digalas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi yang sah selaras dengan Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU, setelah peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu pada 24 Februari 2020.

MPT menyokong dan memberikan mandat penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan setelah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berlandaskan Perlembagaan negara.

Advertisements

Selain daripada itu, mesyuarat MPT juga mengesahkan bahawa keputusan untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Februari 2020 dan pengumuman rasmi yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari adalah sah dan teratur.

Berkenaan status pelantikan Setiausaha Agung Bersatu, MPT mengesahkan bahawa Senator Datuk Wira Marzuki Yahya telah diberhentikan sebagai Setiausaha Agung melalui surat pemberhentian bertarikh 18 Mac 2020 dan pelantikan saya sebagai Setiausaha Agung yang baharu pada 26 Mac 2020 adalah sah dan teratur mengikut Perlembagaan parti.

Mesyuarat MPT juga mengesahkan bahawa keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik terhenti secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu dan tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad.

MPT turut mengesahkan bahawa Kepten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah sekian lama Setiausaha Kerja Bersatu yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja adalah terpakai secara rasmi.

Akhir sekali, MPT juga mengesahkan bahawa keputusan memuktamadkan penyertaan Bersatu dalam gabungan parti politik baharu yang membentuk kerajaan PN yang dipimpin Bersatu adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti.

Pada kesempatan ini, MPT merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; mantan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; mantan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan semua ahli MPT yang telah meninggalkan parti atas segala sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada parti.

Dengan pengesahan dan ketetapan yang telah diambil pada mesyuarat MPT semalam, saya menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan