24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Kecelaruan fikiran seorang tua bernama Mahathir

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TUN Mahathir Mohamad terus berusaha memburuk-burukkan pemimpin Bersatu dengan ‘serangan terbaru’ menyindir beberapa pemimpin dan ahli parti itu yang bersekongkol bersama pemimpin yang pernah digelar sebagai kleptokrat dan pencuri.

Kata ahli politik berusia 95 tahun itu, “Apa kata pemimpin lain dalam Bersatu. Apakah mereka sanggup menerima pencuri sebagai pemimpin? Okaylah – asal dapat nikmat.”

‘Serangan’ terbaru bekas Perdana Menteri itu menampakkan beliau kini semakin buntu bagaimana mahu menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malang sekali sebagai seorang dianggap hebat, fikiran Mahathir kini semakin bercelaru dalam usaha beliau mencari modal untuk memburuk-burukkan Perdana Menteri.

Misi Mahathir ialah untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa Muhyiddin dan pemimpin Bersatu kini bersekongkol dengan ‘pencuri’ dan kleptokrat – modal yang sebelum ini memberi keuntungan besar kepada Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mahathir perlu ingat modal itu sudah basi dan tidak relevan lagi. Sebagai orang sudah lanjut usia, Mahathir sepatutnya mengelakkan daripada mengumpul ‘dosa-dosa kering’ dengan membuat tuduhan dan dakwaan terhadap satu kes yang ketika ini sedang dibicarakan di mahkamah.

Kalaupun sudah ketandusan modal politik, tidak payahlah membuat tuduhan yang hanya menampakkan ‘kecelaruan’ fikiran beliau dalam membuat pertimbangan.

Soalnya, adakah Mahathir terpaksa menggunakan taktik ini apabila pemecatan beliau bersama empat yang lain daripada Bersatu tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Bersatu.

Kalau adapun hanya sekelompok kecil sahaja yang sama sekali tidak akan memberi apa-apa kesan, apatah lagi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sudah menyenaraikan kenapa Mahathir dan konco-konconya gugur sebagai ahli Bersatu.

Atau apakah Mahathir semakin tidak keruan apabila mendapati dalam PH juga semakin tidak stabil dan berada di ambang pergolakan apabila soal siapa harus menjadi Perdana Menteri jika pakatan itu kembali berkuasa masih belum ada kata putus?

Atau Mahathir cuba mengalihkan isu apabila beberapa PH sendiri menyatakan mereka masih belum cukup sokongan ahli Parlimen untuk kembali menjadi kerajaan?

Atau Mahathir semakin tidak selesa apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi pilihan untuk menjadi Perdana Menteri atau bakal menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri?

Walaupun nampak tenang, tetapi semua situasi ini memberi tekanan mendalam kepada Mahathir yang mula dilihat semakin menjadi liabliti kepada PH.

Advertisements

Justeru Mahathir cuba membangkitkan modal lama yang tidak lakukan dengan cuba memburuk-burukkan Najib apabila menggunakan istilah ‘kleptokrat’ dan pencuri.

Pelik dan aneh kerana Najib terus menjadi sasaran Mahathir walaupun bekas Perdana Menteri hanya bermain fb dan twitter sahaja setiap hari serta tidak lagi memegang apa-apa jawatan penting dalam kerajaan dan parti.

Apakah Mahathir tidak dapat menerima hakikat bahawa selepas berusaha menjatuhkan Najib dengan melemparkan pelbagai tuduhan Ahli Parlimen Pekan itu terus popular dalam kalangan rakyat sedangkan beliau semakin dibenci oleh mereka?

Mahathir mungkin terpaksa menjadikan ‘serangan’ ke atas Najib sebagai modal kerana beliau tidak tahu apa lagi ‘peluru’ atau isu yang boleh beliau digunakan untuk menyerang bagi menjatuhkan Perdana Menteri.

Apatah lagi Muhyiddin kini semakin popular dan menunjukkan kemampuan memimpin negara.

Lebih mengganggu fikiran Mahathir ialah apabila hari ini sahaja bahagian-bahagian Bersatu di dua buah negeri telah menyatakan sokongan padu kepada Muhyiddin sebagai Presiden parti tersebut. Sudah pasti sokongan seumpama itu akan meningkat dari semasa ke semasa.

Sepatutnya Mahathir menerima hakikat bahawa karier politiknya kini sudah berada di penghujung.

Jika beliau betul-betul hebat sudah pasti lebih ramai ahli Parlimen menyertainya tetapi apa yang berlaku hanya empat orang sahaja bersama beliau, itupun termasuk anaknya Datuk Seri Mukhriz dan Syed Saddiq Syed Abd. Rahman yang kalau bertanding Ketua Armada pun belum tentu menang.

Majoriti ahli Parlimen dan ahli-ahli Bersatu tidak lagi bersama Mahathir kerana mereka melihat tidak ada salahnya tindakan Muhyiddin meninggalkan kerjasama dengan PH yang didominasikan oleh DAP.

Malah beberapa pemimpin termasuk Muhyiddin sendiri sudah mendakwa Mahathir yang mahu mereka mencari jalan meninggalkan pakatan tersebut.

Pada masa sama dalam kalangan pemimpin PH majoritinya dikhabarkan sudah kehilangan keyakinan untuk bergantung kepada ahli politik veteran tersebut.

Mereka mula merasakan kehadiran Mahathir yang sebelum dilihat mendatangkan ‘keuntungan besar’ kini sudahpun menjemput ‘petaka’ politik kepada mereka.

Tindakan beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri tanpa berbincang dengan pemimpin-pemimpin PH sehingga tumbang Kerajaan PH pada Februari lalu dianggap satu tindakan yang tidak boleh diterima.

Oleh itu Mahathir tidak perlulah lagi mahu ‘menghuru-harakan’ suasana politik negara dengan tindakannya yang kadang kala sudah dilihat semakin ‘tidak keruan’.

Terimalah hakikat masanya sudah tiba untuk beliau berundur dan berehat secara terhormat sebelum ‘disingkirkan’ atau ‘terbuang’ bagaikan ‘kain buruk’.


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan