27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Krisis politik: Apakah PRU-15 semakin hampir?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

MAJORITI rakyat Malaysia menantikan 2020 menjadi tahun kegemilangan bagi negara ini apatah lagi dengan Wawasan 2020 yang dilaungkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak berdekad lalu.

Namun hakikatnya, tahun ini tidak seindah dari khabar dan rupanya seperti dibayangkan selama ini.Ini kerana kita bukan sahaja semua terjejas akibat penularan Covid-19 malah ditambah senaknya dengan ketidakstabilan politik tanah air yang bergolak sejak awal tahun ini.

Suka atau tidak, semua kekacauan dan kekalutan politik negara ini sebenarnya berpunca daripada ketamakan segelintir pemimpin politik tersilap dengan pecaturan permainan sendiri.

Apa yang pasti rakyat merana, ekonomi bertambah buruk, saham jatuh pada tahap terburuk dalam sejarah. Senang cerita semua jadi susah dan terbeban.

Habis huru hara satu Malaysia dibuatnya, kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tumbang dengan sendirinya sebelum menyaksikan peralihan kuasa kepada kerajaan baharu melalui pembentukan Perikatan Nasional.

Drama itu menyaksikan masing-masing mencari ‘nombor’ untuk mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen, mungkin tidak perlu diulang kerana minggu tanpa kerajaan itu memperlihatkan ahli-ahli Parlimen ibarat macam ‘katak’ terlompat sana sani. Kejap sokong sini kejap sokong sana.

Ada yang mendakwa sebab faktor ‘duit’ berterbangan sana sini, mereka ini dah macam pemain bola antarabangsa yang ingin dibeli kelab dan apa pula disebabkan sentimen ‘termakan budi’.

Yang pasti, rakyat jadi muak dengan permainan politik mereka ini. Sehinggakan ramai yang dahulu menyokong sudah beralih gara-gara ‘mual’ dengan perangai pemimpin yang mereka pilih pada PRU sebelum ini.

Kemuncaknya, Yang Dipertuan Agong terpaksa campur tangan bagi menyelamatkan negara dari terus diheret dengan permainan pening ahli politik ini.

Mandat diberikan kepada kerajaan baharu maka pada 23 Februari lalu terbentuklah Perikatan Nasional hasil gabungan UMNO, Pas dan pecahan daripada Bersatu dan PKR yang tidak sekepala dengan pemimpin tertentu mengikut kem masing-masing.

Kewujudan Perikatan Nasional pula memperlihatkan lambaian ‘bye-bye’ kepada Dr. Mahathir dan pengikut Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perpecahan ini menyaksikan Bersatu berterabur kerana ada ikut Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PKR pula mengikut Datuk Seri Azmin Ali.

Itu antara sebab tumbangnya, Pakatan Harapan tolak tepi DAP dan Amanah serta yang ‘solid’ tidak diterima Perikatan Nasional.

Bukan itu sahaja kerajaan negeri juga dilihat bertukar arah, beberapa negeri yang dahulunya di bawah pentabiran Pakatan Harapan turut tumbang dan beralih kepada kerajaan sedia ada.

Apapun tidak keterlaluan jika dikatakan selepas kabinet baharu ditubuhkan di bawah tadbir urus Tan Sri Muhyiddin Yassin, banyak perubahan dilakukan dan antaranya suara rakyat didengari, perang antara Covid-19 dikendalikan dengan baik.

Malah Malaysia berada ditangga ke-3 antara pengurusan terbaik dalam mengawal dan mengendalikan penularan wabak yang menjadi pandemik bagi seluruh dunia.

Advertisements

Pujian harus diberikan kepada kerajaan baharu ini memandangkan ia dibentuk secara mengejut malah masih mentah kerana usianya pun belum cecah empat bulan.

Majoriti rakyat sudah memberikan tanda positif dan menerima inisiatif yang digerakkan kerajaan terkini.

Tetapi apa yang pelik, dua tiga hari ini timbul lagi ada ahli politik yang mahu menjadi ‘katak’ kerana mahu melompat dan beralih semula kepada kerajaan lama.

Sabtu lalu dijadualkan ada sidang akhbar jam 5 petang bakal dilangsungkan bagi memberi laluan kepada satu pengumuman mengejutkan. Sebaliknya tidak berlaku, apa yang terjadi?.

Didakwa ada juga permainan duit berlaku, jual beli lagi. Borak borak kedai kopi mengatakan individu berkenaan makan kiri kanan. Wahh sedapnya. Tetapi dalam keadaan negara begini. wajarkah amalan sedemikian diteruskan.

Apa yang difikirkan dalam kepala ahli politik berkenaan sehingga sanggup lompat-lompat sekali gus membelakangkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Bayangkan sekali lagi negara bertukar kerajaan. Tidakkah sekali lagi hura hara tanah air ini sedangkan rakyat tengah tenggelam timbul dalam keadaan ekonomi yang makin menyempit ini.

Jika benarlah proses jual beli itu berlaku, individu yang terlibat memang layak digelar ‘bangsat’. Mana tidaknya, amanat yang diberi boleh dijual beli, mana letakknya maruah dan jati diri mereka, jika poket berisi menjadi keutamaan.

Adakah mereka ini layak digelar pemimpin? Kalau betul lah bertukar lagi kerajaan dalam masa terdekat ini, rasa-rasanya rakyat akan menerimanya?. Tepuk dada tanya selera.

Jika diteliti corak permainan yang ditunjukkan pemimpin pembangkang masih lagi tidak putus asa.

Tetapi kalau ‘pasukan’ gila majoriti kerusi parlimen ini buat lagi dan bertandang ke pagar istana. Rasanya apa keputusan Yang Dipertuan Agong?.

Sama ada tukar kerajaan atau bubar sahaja Parlimen sekali gus berikan mandat kepada rakyat untuk menentukan semula kerajaan mana yang mereka mahu untuk memerintah negara tercinta ini.

Kalau antara dua pilihan, tidak mustahil opsyennya adalah dengan mengadakan juga Pilihan Raya Umum Ke-15.

Sebab itu jangan terkejut jika PRU-15 ini bakal berlangsung tidak lama lagi. Silap-silap dalam tahun ini juga.

Apapun kita sama-sama berdoa agar Malaysia terus dilindungi dan diberikan kesejahteraan.


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan