30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jawatan PM bukan milik mutlak sesiapa pun

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

LUCU membaca ciapan Maszlee Malek dan Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung siapa yang lebih mutlak menjadi Perdana Menteri (PM) apabila kedua-duanya saling mempertahankan bos masing-masing.

Maszlee yang merupakan salah seorang daripada lima Ahli Parlimen Bersatu yang digugurkan keahlian menyatakan jawatan PM bukan mutlak milik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ekoran itu, Nik Nazmi membalas ciapan Maszlee dengan menyatakan jawatan itu juga bukan milik mutlak Tun Dr Mahathir Mohamad.

Melihat ciapan kedua-dua pemimpin dari parti berbeza tetapi sama-sama menyokong Pakatan Harapan itu ramai yang tersenyum sinis.

Malah tidak kurang juga yang mengecam kerana mereka menganggap seolah-olah negara ini milik Anwar dan Mahathir sahaja.

Perebutan jawatan Perdana Menteri antara Anwar dan Mahathir sebenarnya sudah berlarutan sejak 30 tahun lalu, ketika kedua-duanya berada di dalam UMNO sehinggalah Anwar dihumban ke dalam penjara oleh Mahathir.

Daripada kejadian itu maka terbentuklah Parti Keadilan Nasional (yang kemudian dinamakan sebagai Parti Keadilan Rakyat – PKR) yang notabene penubuhannya untuk membela Anwar dan membebaskannya daripada penjara akibat kes liwat pertama.

Mahathir pula yang entah berapa kali keluar masuk UMNO sehinggalah kali terakhir ketika UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahathir bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat daripada UMNO oleh Najib telah bergabung dan membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bersatu yang kemudian menyertai PH bersama DAP, PKR dan Amanah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) untuk buat kali pertama.

Mahathir kemudian dilantik sebagai PM Ketujuh dengan diletakkan syarat agar membebaskan Anwar daripada penjara (kes liwat kedua) dan perlu melepaskan jawatan itu kepada pemimpin PKR tersebut dalam tempoh tertentu.

Anwar kemudian dibebaskan dengan pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan kemudian bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang sengaja dikosongkan bagi membuka laluan kepada beliau menjadi Ahli Parlimen.

Sejak itu Mahathir terus didesak agar melepaskan jawatan PM kepada Anwar seperti yang dijanjikan namun Ahli Parlimen Langkawi itu dilihat cuba melengah-lengahkan proses peralihan kuasa tersebut.

Mungkin tidak tahan dengan desakan demi desakan yang diterima daripada para penyokong Anwar serta parti-parti dalam PH, Mahathir membuat keputusan meletakkan jawatan PM.

Walaupun Mahathir telah melepaskan jawatannya namun Anwar tidak boleh dilantik sebagai pengganti kerana pada masa yang sama PH kehilangan majoriti di Parlimen ekoran tindakan Bersatu meninggalkan pakatan tersebut.

Pada masa yang sama 10 Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti untuk menjadi anggota bebas.

Muhyiddin, dengan sokongan Ahli-ahli Parlimen pembangkang dari UMNO dan Pas serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula yang dilantik sebagai PM Kelapan dan kemudian membentuk kerajaan baharu atas nama Perikatan Nasional (PN).

Perebutan jawatan PM antara Anwar dan Mahathir tidak berakhir di situ apabila PH yang kehilangan kuasa mula menyerang Muhyiddin dan kerajaan PN dengan harapan dapat kembali menjadi kerajaan dengan menarik sokongan Ahli Parlimen PN.

ANWAR dan Mahathir sudah berseteru sejak tahun 1990-an ketika kedua-duanya berada dalam UMNO.

Dalam keadaan sukar ekoran sokongan yang diterima Muhyiddin dilihat semakin kukuh termasuk daripada kalangan rakyat, kedua-dua pemimpin tersebut berterusan mengakui masing-masing bersedia untuk menjadi PM, jika PH kembali berkuasa.

Malah dalam mesyuarat PH Plus selama tiga jam membabitkan semua pemimpin PH – PKR, DAP dan Amanah serta disertai oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Mahathir gagal memuktamadkan siapa yang akan menjadi PM jika PN ditumbangkan.

Mahathir dengan sokongan Shafie Apdal mendakwa beliau telah bersedia untuk kembali menjadi PM buat kali ketiga jika PH berjaya merampas kembali kerajaan daripada PN dengan memujuk dan memancing beberapa ahli Parlimen pro-PN untuk menyokong PH.

Bagaimanapun, beberapa hari lepas Anwar mengesahkan PH hanya mempunyai 107 kerusi berbanding 112 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Ini sekali gus menafikan dakwaan Mahathir bahawa PH sudah mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih semula kerajaan.

Ketika Anwar dan Mahathir terus menerus ‘berebut jawatan PM’ bagi pihak PH, Muhyiddin terus melangkah dengan bergaya walaupun PN dianggap sebagai kerajaan pintu belakang atau tebuk atap.

Rakyat semakin yakin dengan corak pemerintahan Muhyiddin yang bersahaja tetapi tidak mengabaikan rakyat sehinggakan beliau digelar sebagai ‘Tok Abah’, suatu panggilan manja yang membuatkan PH panas telinga.

Malah tidak kurang juga yang memanjat kesyukuran tumbangnya PH ketika wabak COVID-19 baru bermula, dan hikmah di sebalik pelantikan Muhyiddin, anak seorang pendakwah dan pendiri pondok agama sebagai PM pada masa itu.

Pun begitu, ia bukan jaminan bahawa Muhyiddin akan kekal sebagai PM walaupun UMNO dan Pas sudah mengesahkan akan menyokong Ahli Parlimen Pagoh sebagai PM selepas PRU-15.

Ini kerana jawatan PM bukan milik mutlak sesiapa pun, bukan milik Anwar, bukan milik Mahathir bahkan bukan juga milik Muhyiddin.

Jawatan PM adalah milik mutlak Allah SWT, Tuhan yang maha berkuasa. Dialah yang menentukan siapa yang boleh menjadi PM dan siapa yang tidak boleh, sementelah kita hanya mampu merancangnya.

Jadi, jika Anwar dan Mahathir terus menerus saling mendakwa mereka akan menjadi PM seterusnya, dipersilakan kerana ia tidak mengubah aturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Esa.

Manakala rakyat pula memerhati gelagat kedua-duanya dan menunggu masa untuk menghumban mereka dalam PRU-15 nanti.

Tunggu sahajalah…

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan