KETIKA rakyat lega kerana usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19 mencapai kejayaan dan mereka boleh balik kampung mulai esok, nampaknya ‘kluster’ mahu kembali berkuasa dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) masih belum ‘kebah’.
Jumlah kes kebolehan jangkitan nampaknya semakin serius sehingga diadakan mesyuarat PH Plus di Ibupejabat PKR, Petaling Jaya semalam. Seperti biasa sebelum mesyuarat semua media dibenarkan merakamkan gambar.
Gambar itu tentulah bersejarah kerana buat pertama kali kita dapat menyaksikan Tun Dr.Mahathir Mohamad hadir ke premis tersebut dan seronok juga bila tengok buat pertama kalinya juga bekas Perdana Menteri itu hanya duduk di sebelah kiri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mesyuarat dipengerusikan oleh Presiden PKR tersebut.
Secara moral, Anwar menang kerana Mahathir terpaksa datang ke ibu pejabat PKR, sebelum ini ketika Mahathir mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PH di Yayasan Al-Bukhary, Anwar dilaporkan tidak sudi datang.
Kalau diteliti satu persatu wajah pemimpin-pemimpin PH termasuk Mahathir, orang kata ‘kelat’, kalau senyumpun macam ‘ada masalah kat bibir’, tetapi nak buat macam mana ‘sandiwara’ terus harus dilakukan untuk menyakinkan rakyat kononnya mereka sepakat dan sudah sedia untuk merampas kembali kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN).
Bila mesyuarat tamat, maka keluarlah kenyataan media bersama antara lain berbunyi, “semua parti mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai pendirian masing-masing dan menampakkan kemajuan yang amat positif. Proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam seminggu.”
Kalau sudah ‘amat positif’, ‘apa hal’ harus tunggu seminggu untuk dimuktamadkan, apatah lagi dikatakan perbincangan demi perbincangan terus dijalankan sejak Kerajaan PH jatuh akibat tindakan Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri.
Paling seronok psywar terbaru dilancarkan termasuk PH plus sudah bersedia kembali menjadi kerajaan, sama seperti mana sebelum ini mereka menguar-uarkan sudah ada 129 anggota Parlimen bersama pakatan tersebut, tetapi akhirnya semua itu hanya ‘kelentong politik’ PH.
Mereka bukan sahaja tidak ada jumlah tersebut malah dikhabarkan semakin berkurangan dan paling ketara siapa yang akan dilantik menjadi Perdana Menteri pun dok kelam kabut lagi. Begitulah juga mesyuarat di ibu pejabat PKR tersebut.
Kalau betul mereka sudah ada jumlah majoriti dan sudah ada calon Perdana Menteri, sudah tentu, pemimpin-pemimpin dengan penuh keghairahan akan mengadakan sidang media selepas mesyuarat berkenaan, maklumlah ‘amat positif’.
Tidak kiralah sama ada Mahathir atau Anwar yang akan memberikan sidang media tersebut yang pasti, beramai-ramailah pemimpin mereka beratur tersengih-sengih di belakang Mahathir atau Anwar, tetapi senario itu tidak berlaku.
Selepas mesyuarat semua bertebaran ke destinasi, senyuman kelat Mahathir berterusan dan Anwar seperti biasa dengan senyuman sinisnya.
Seronoknya juga bila dengan jawapan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya yang menjawab ‘YA’ bila ditanya wartawan adakah PH plus sudah mencapai persetujuan bersama berhubung calon Perdana Menteri.
Logiknya tak kan nak jawab ‘TIDAK’, ia sudah tentulah akan menimbulkan spekulasi atau mungkin juga mendedahkan mesyuarat itu tidak mencapai apa-apappun sebab itulah kena tunggu seminggu untuk dimuktamadkan.
Cukup-cukuplah nak melakukan ‘kelentong’ politik. Rakyat dah ‘cemuih’ dah dan tak peduli pun apa juga mereka nak buat.
Sudah lama sangat rakyat dok dengar ‘kelentong’ dan menyaksikan sandiwara politik pemimpin PH termasuk Mahathir yang tak puas-puas mahu menjadi Perdana Menteri lagi. – Orang Perak kata, ‘udoh-udoh la tu’.
Dalam tempoh seminggu ini, ‘lantak la’ PH, nak buat apapun, yang penting rakyat mahu melepaskan geram pergi bercuti dan mahu melepaskan rindu untuk balik kampung. Tidak ada masa nak layan politik kelentang-kelentong’ pakatan ‘caca mamba’ tersebut, ‘kambingpun’ rimas!
Janganlah dok bermimpi sangat mahu menawan semula Putrajaya, kalau nak juga boleh sahaja tetapi tunggu sahaja pilihan raya, itupun kalau rakyat ‘termakan’ kelentong mereka.
Tetapi rakyat sudah bijak, yang ‘tidak bijaknya’ ialah penyokong-penyokong PH ‘sedia dikelentong’ dengan ‘psywar bodoh’ cybertrooper pakatan tersebut…
Kasihannn!