24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Jangan jadi ‘penderhaka’ kepada perjuangan Melayu!

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KIRA-kira seminggu lalu, portal akhbar Asia Sentinel menyiarkan artikel bertajuk Malaysia: Permanent Ethnic Malay polity yang ditulis oleh Murray Hunter.

Dalam artikel yang memperkatakan mengenai situasi politik terkini di Malaysia itu, Hunter berhujah:

“Apa yang sangat Melayu mengenai rampasan kuasa yang berlaku di Parlimen adalah pertukaran kerajaan yang bukan hasil pilihan raya tetapi berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah.”

Beliau juga mengkritik bahawa semua di Malaysia adalah ‘Melayu’ dan Malaysia sedang menuju dari sebuah negara berbilang kaum kepada sebuah negara khusus Melayu. Tidak cukup dengan itu Hunter juga menggambarkan seolah-olah orang Melayu lemah, tidak berdaya saing dan gila kuasa.

Wartawan kulit putih tersebut berani menghasilkan tulisan seumpama itu kerana beliau mencontohi telatah orang kita khususnya pembangkang yang terus mencanangkan kerajaan sekarang adalah kerajaan ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’ sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Mac lalu.

Mereka mendakwa, Muhyiddin tidak ada majoriti sokongan ahli Parlimen sedangkan proses pelantikan Perdana Menteri telah diperjelaskan secara terperinci oleh Yang di-Pertuan Agong dalam titah Seri Paduka di Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu.

Namun pembangkang terus ‘menyerang’ kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan gelaran ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’. Kebiadaban berterusan itu menyebabkan terhakisnya perasaan hormat orang luar terhadap kerajaan dan paling malang apabila ada artikel seperti Hunter yang mengaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad di hadapan media asing menegaskan, ketika Muhyiddin mengangkat sumpah, Ahli Parlimen Pagoh itu tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Kenyataan itu sudah tentu akan menyebabkan terhasilnya hujah seperti mana ditulis oleh Hunter bahawa ‘’pertukaran kerajaan bukan hasil pilihan raya tetapi berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Raja Melayu…’’

Malangnya kelompok paling lantang mengkritik dan menentang pelantikan Muhyiddin ialah pemimpin-pemimpin Melayu. Mereka kecewa apabila sebuah kerajaan yang turut dianggotai oleh DAP tumbang, walaupun apa yang berlaku adalah angkara Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kritikan Hunter yang menyatakan Malaysia sedang menuju dari sebuah negara berbilang kaum kepada sebuah negara khusus Melayu juga berpunca daripada tindakan pemimpin Melayu yang menggelarkan kerajaan sedia ada sebagai ‘ Kerajaan Islam Melayu’.

Kalaupun betul ‘Kerajaan Islam Melayu’ apa masalahnya? Jijik atau buruk sangatkah kerajaan Islam Melayu ini? Apakah sejak merdeka orang Melayu menjadi tonggak pemerintahan, kaum-kaum lain teraniaya? Sedangkan dalam tempoh 22 bulan, PH memerintah, kita boleh melihat bagaimana orang Melayu berasa banyak perkara berkaitan kepentingan mereka tergugat dan ada puak ‘semakin naik tocang’.

Muhyiddin menyedari keresahan orang Melayu tersebut, sehubungan itu beliau bertindak membawa Bersatu keluar daripada PH kerana tidak boleh lagi bekerjasama dengan DAP, tetapi Muhyiddin dikecam sebagai pengkhianat dan Mahathir pula tampil membela DAP dengan mempersoalkan apakah orang Melayu kini sudah bacul kerana takut kepada parti tersebut.

Advertisements

Mahathir dan pemimpin Melayu lain boleh berkata apa sahaja , tetapi tidak boleh menafikan bahawa majoriti orang Melayu menyokong tindakan Muhyiddin kerana mereka benci kepada DAP.

Mereka melihat DAP dominan dalam kerajaan manakala Mahathir pula walaupun menjadi Perdana Menteri tetapi dilihat tidak boleh bertindak sebarangan kerana beliau tidak memiliki kerusi majoriti .

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara dengan sebuah portal berita mengakui PH tersilap langkah apabila berusaha memenuhi janji untuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ‘’terlalu awal’ terutama ketika sokongan orang Melayu semakin terhakis. UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina

Lebih melukakan perasaan orang Melayu apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum Cina Dong Zong dan Dong Jiao Zong memprotes habis-habisan pembelajaran tulisan khat dan Jawi di sekolah-sekolah.

Begitu juga apabila Murray menggambarkan seolah-olah orang Melayu lemah, tidak berdaya saing dan gila kuasa, siapakah yang bertanggungjawab memungkinkan persepsi itu bukankah ada pemimpin Melayu yang ‘begitu seronok’ mengatakan orang Melayu malas?

Bukankah ada pemimpin Melayu yang tidak habis-habis memperkecilkan bangsa sendiri kononnya demi ‘’ mempertahan dan memajukan Melayu untuk masa akan datang.’’

Persoalannya adakah pemimpin kaum lain menggunakan pendekatan sama bagi memajukan bangsanya? Pernahkah mereka mengecam dan memperlekeh bangsa sendiri di khalayak umum?

Hanya pemimpin Melayu yang seorang itu sahaja sanggup berbuat demikian termasuklah terbaru menyindir mahu menubuhkan parti bagi membolehkan orang Melayu mendapat habuan – tidakkah itu memperlekeh maruah orang Melayu?

Ketika kuasa politik Melayu semakin lemah berikutan apa yang berlaku dalam PRU-14, ada pemimpin Melayu bagaikan ‘cacing kepanasan’ apabila dua parti terbesar orang Melayu, UMNO dan Pas membentuk Muafakat Nasional.

Pelbagai kecaman dilemparkan sehingga ada pemimpin DAP turut mengambil kesempatan dengan menyatakan ‘’Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kerjasama UMNO dan Pas berjaya membentuk kerajaan.’’

Kenapa mereka berani biadab? Sebab ada pemimpin Melayu tidak tahu bagaimana mahu menjaga martabat dan maruah bangsa sendiri.

Kesimpulannya, kebiadaban Murray atau mana-mana pihak memperlekehkan orang Melayu ada disebabkan oleh pemimpin Melayu sendiri, justeru kepada pemimpin-pemimpin berkenaan janganlah terlalu jahil disebabkan perbezaan politik atau hilang kuasa, bangsa sendiri mahu dihina dan dikecam.

Tidak mengapa mahu mengkritik, tidak apa jika tidak mahu menyokong perpaduan ummah tetapi janganlah melakukan tindakan yang satu ketika nanti kita dianggap menjadi ‘penderhaka’ kepada perjuangan Melayu.


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya merupakan pandangan Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan