25.4 C
Kuala Lumpur
Monday, December 4, 2023

Mahathir memang tak mahu Anwar jadi Perdana Menteri

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

ARTIKEL ini penulis hasilkan selepas hampir sejam meneliti rakaman video di saluran Youtube ketika tercetusnya gelombang reformasi pada September 1998 apabila Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalannya atas dakwaan salah laku moral.

Melihat bagaimana tabahnya penyokong-penyokong Anwar berhadapan dengan polis dalam demonstrasi jalanan yang mencetuskan huru-hara di ibu negara selama lebih bulan, penulis tertanya-tanya apakah perasaan mereka sekarang apabila melihat kedua-dua pemimpin itu bergandingan dalam arena politik.

Demi untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN), Mahathir buat pertama kalinya berjumpa Anwar di mahkamah pada 5 September 2016 – genap 18 tahun Anwar dipecat oleh bekas Perdana Menteri itu daripada kerajaan.

Selepas itu pertemuan demi pertemuan diadakan sehinggalah termeterai persefahaman pada 2018 bahawa jika Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mahathir yang menjadi Pengerusi Bersatu ketika itu akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri manakala Anwar akan mengambil alih jawatan tersebut selepas dua tahun.

Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan apabila Kerajaan PH tumbang berikutan tindakan Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri selepas 22 bulan PH memerintah.

Ia sekaligus melenyapkan impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin memperolehi sokongan majoriti ahli Parlimen selepas PH membuat keputusan pada saat-saat akhir mencalonkan semula Mahathir untuk jawatan itu biarpun sebelum itu sudah sepakat mencalonkan Anwar.

Situasi itu membuktikan Mahathir sebenarnya dulu, kini dan mungkin selama-lamanya tidak akan mengizinkan Anwar menjadi Perdana Menteri sekaligus dilihat mengekalkan pendiriannya yang pernah dinyatakan dahulu bahawa beliau tidak rela Anwar menjadi Perdana Menteri.

Hakikatnya, kerjasama politik yang beliau lakukan dengan Presiden PKR itu semata-mata bagi mencapai dendam politiknya untuk menjatuhkan Najib dan BN, itu sahaja, bukannya mahu menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, walaupun ada perjanjian dibuat dalam PH.

Dalam wawancara dengan akhbar Sinar Harian pada Mac lalu, Mahathir mendakwa, populariti Anwar berkurangan dalam kalangan orang yang dahulunya ‘bermati-matian’ menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu dan lebih menarik Mahathir berkata ada ramai penyokong kuat Anwar datang jumpa beliau dengan berkata, ‘’janganlah bagi Anwar take over.’

Mahathir menyatakan dalam satu sidang akhbar Anwar ‘gila-gila’ mahu menjadi Perdana Menteri walaupun kekurangan sokongan.

‘’Tiada siapapun boleh pertikaikan, kalau melihat sikap Mahathir, beliau memang tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri?, Tiada siapapun boleh pertikaikan bahawa sebenarnya Mahathir tidak jujur dengan Anwar? Tiada siapapun boleh pertikaikan bahawa tidak mustahil Anwar akan terus menjadi ‘mangsa’ politik Mahathir,’’ kata seorang pemerhati politik kepada penulis.

Kenyataan ini ada benarnya, jika kita melihat kenyataan Mahathir selepas Muhyiddin dilantik apabila beliau berkata;

“Saya amat sedih kerana saya kalah dalam pemilihan ini kerana dia minta pada PH supaya namakan dia sebagai calon (PM) PH. Kalau tak, saya dah dapat 90 undi dan tambah 60 undi, saya boleh dapat majoriti jadi (PM) kerana dia tuntut untuk jadi calon, walaupun dia sepatutnya tak boleh dapat, tetapi dia tuntut.”

Ketika mengulas percaturan politik antara dua pemimpin tersebut, Penganalisis politik, Dr.Chandra Muszaffar dalam wawancara bersama Sinar Harian pada 7 Mac lalu menegaskan;

‘’Saya anggap masalah antara Anwar dan Dr Mahathir adalah masalah kurang percaya. Walaupun mereka bergabung, bekerjasama untuk menyingkirkan Najib tetapi kerjasama itu tidak dapat mengetepikan syak-wasangka itu. Itulah yang menjadi punca masalah dua individu ini.

‘’Bagi Dr Mahathir, Anwar pernah melakukan sesuatu yang tidak boleh diterima oleh mana-mana pemimpin. Bagi Anwar pula kerana dia dimasukkan ke dalam penjara dan tuduhan-tuduhan terhadap beliau, sehingga keluarganya sendiri menderita.

” Penderitaan itu luar biasa, satu keluarga dan beberapa saudara mereka yang terlibat. Keyakinan begitu rendah, itulah punca krisis,’’ katanya.

Namun begitu penyokong PKR melihat Anwar sudah banyak bersabar dengan Mahathir, beliau sentiasa dilihat berada dalam situasi mengalah demi untuk menjaga keharmonian dalam PH dan paling penting hubungan dengan Mahathir.

Justeru itulah untuk ‘pertarungan pusingan kali ini’ ramai penyokong-penyokong PKR mula mendesak supaya Mahathir secara jujur membuat pengisytiharan terbuka menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri dan bukannya membuat kenyataan mahu menduduki jawatan itu buat kali ketiga biarpun untuk beberapa bulan.

Desakan itu tidak ada salah kerana Mahathir tidak boleh selama-lamanya bersandiwara berbaik-baik dengan Anwar. Kalaulah dengan DAP, Mahathir boleh memaafkan, mempertahankan dan menyanjung parti itu, tak kanlah beliau tidak mahu ‘menebus dosa’ dengan memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri?

Walaupun sekarang situasi semakin sukar memandang senario sudah berubah apabila PN berkuasa tetapi Mahathir tetap boleh menunjukkan komitmen dan keikhlasan dengan membuat pengisytiharan menyokong Anwar. – Mahukah Mahathir? – Kalau tidak, tiada faedahnya PKR terus berkawan dengan individu yang menjadi punca terlahirnya parti tersebut pada 1999.

Bagaimanapun dari sudut lain ada pula berpendapat cukup-cukuplah sejak awal 1980-an politik negara didominasi dua individu ini, lebih baik kedua-dua mereka berundur.

Namun pada usia sudah umur 95 tahun pun mahu menjadi Perdana Menteri lagi, apa yang boleh kita harapkan, walaupun orang itu mengamalkan petua ‘berhenti makan masa sedap’.

Oleh itu biarkan sahaja mereka bertarung dan sama-sama kita tengok kesudahannya ‘siapa yang kena’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Lantik Raja Affandi sebagai Ahli Dewan Negara – Shabery

KERAJAAN diminta mempertimbangkan cadangan melantik calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri...

Lagi Artikel Berkaitan