31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Persaraan Dr Rohaizat yang ditangisi, dirindui

Mesti Baca

SEMALAM adalah hari terakhir Datuk Dr Rohaizat Yon bertugas, sebelum meninggalkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk bersara wajid dalam usia 60 tahun.

Persaraan Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) itu bukan sahaja menyebabkan Ketua Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebak ketika mengumumkannya semasa sidang akhbar harian COVID-19, tetapi turut dirasai oleh warga kementerian.

Masakan tidak. Beliau antara individu penting yang membantu negara berdepan wabak COVID-19 sejak kes pertama dilaporkan pada 25 Januari 2020 sehingga kita berada di fasa pemulihan.

Dr Rohaizat juga individu penting membantu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyiapkan data-data untuk dibentangkan dalam mesyuarat harian menteri itu mengenai COVID-19.

DR NOOR HISHAM ABDULLAH bersama sebahagian warga Kementerian Kesihatan mengucapkan selamat bersara kepada Dr Rohaizat Yon, semalam. – Gambar: FB KKM

Tidak hairan beliau digelar ‘panglima KKM’ dalam kalangan warga kementerian.

“Sikapnya yang mudah mesra dan suka berjenaka, membuatkan Dr Rohaizat amat disenangi kakitangan KKM. Pastinya beliau akan dirindui,” memetik kenyataan dari Facebook Kementerian Kesihatan berhubung persaraan Dr Rohaizat.

Bagi Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Sungai Buloh, Dr Shahabuddin Ibrahim, Dr Rohaizatlah yang telah banyak membantu mengubah kehidupan beliau dan keluarganya.

“Saya mengimbau kembali pengalaman saya bekerjasama bersama beliau sewaktu (bertugas) di ibu pejabat KKM, saya mengendalikan pindaan Akta Perubatan di saat akhir sebelum ke Parlimen.

Advertisements

“Beliau memanggil saya kerana terdapat satu pindaan penting yg terlepas pandang dan perlu dimasukkan yang kemudiannya saya (terpaksa) memanjat pejabat Peguam Negara untuk berunding bagi memasukkan klausa-klausa tersebut,” katanya dalam Facebook beliau.

DR SHAHABUDIN IBRAHIM

Selepas peristiwa itu, Dr Shahabuddin berkata, suatu petang Dr Rohaizat memanggil dan menasihatkannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Perubatan di London walaupun pada masa itu program itu telah dibekukan.

Menceritakan pengalamannya, Dr Shahabuddin berkata, kekuatan utama ketuanya itu adalah aspek perancangan perkembangan disiplin, kepakaran klinikal dan pengurusan kesihatan.

“Melalui idea, pemikiran dan penulisan kertas kerjanya menyaksikan perkembangan banyak jenis kepakaran kesihatan di Malaysia,” katanya.

Dr Rohaizat memulakan kerjaya sebagai Pegawai Perubatan pada 1985 dan tiga tahun kemudian dilantik sebagai Pengarah Hospital Kluang 1988 hingga 1990.

Beliau kemudian berpindah ke ibu pejabat KKM dan memegang beberapa jawatan sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) pada 25 Mac 2019.

Beliau bertanggungjawab bagi program perubatan di KKM iaitu Bahagian Perkembangan Perubatan, Bahagian Amalan Perubatan, Bahagian Kejururawatan dan Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu.

Terima kasih atas jasa-jasamu Dr Rohaizat dan selamat bersara. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan