24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bubar Parlimen mampu hentikan strategi ‘bodoh’ PH

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KRISIS politik yang tercetus berikutan tindakan Tun Dr.Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sehingga tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari masih terus membahang, walaupun Perikatan Nasional (PN) kini sudah mengambil alih pemerintahan negara.

Ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang mengatur strategi untuk membolehkan Malaysia bangkin semula daripada segala aspek yang terjejas khususnya ekonomi dan pengangguran, kelompok dalam PH dengan dibantu oleh Mahathir terus ‘meroyan’ untuk kembali berkuasa.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini mereka melancarkan ‘perang saraf’ dengan menyatakan PH sudah cukup majoriti sokongan ahli Parlimen bagi membolehkan mereka kembali meraih kuasa yang terlepas dari tangan akibat salah strategi Mahathir.

Mungkin mereka menganggap dengan menyebarkan berita seumpama itu, ia ada satu strategi politik dan akan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan, tetapi sebenarnya ia adalah strategi ‘bodoh’ dan boleh dianggap usaha mensabotaj ketenteraman dan ekonomi negara.

Keterujaan pemimpin-pemimpin PH yang ‘semakin menggila’ mahu berkuasa semula membuktikan tiada perhitungan untuk meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Apa yang pemimpin pakatan itu dan konco-konco mereka fikirkan ialah hanya kepentingan politik sahaja.

Kalau benar mereka memikirkan soal rakyat dan kononnya mahu mengembalikan mandat rakyat, bukannya melalui cara `politik bodoh’ seumpama itu.

Sebaliknya, jika mereka ada keyakinan dan keberanian bahawa rakyat masih bersama PH, maka desak sahaja kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tetapi tiada seorangpun pemimpin PH berani membuat cabaran berkenaan kerana mereka tahu, jika itu dilakukan ia ibarat tindakan ‘membunuh diri’.

Populariti PH kini berada pada tahap cukup rendah, walaupun kaji selidik dangkal menyatakan pakatan itu masih mendapat sokongan majoriti.

Selain daripada kegagalan mereka ketika diberi peluang mentadbir negara selama 22 bulan, tindak tanduk politik Mahathir telah menyebabkan rakyat semakin ‘menyampah’ kepada pakatan tersebut.

Rakyat khususnya orang Melayu menanti masa sahaja PRU-15 diadakan bagi membolehkan mereka menghumban parti-parti dalam PH ke lembah kekalahan.

Pemimpin-pemimpin PH memahami hakikat ini sebab itulah mereka lebih teruja berusaha untuk kembali berkuasa tanpa melalui pilihan raya.

Mereka tahu kemenangan dalam PRU-14 bukannya tulen tetapi ia hasil menipu rakyat dengan pembentangan manifesto yang dibuat atas perkiraan ‘tidak sangka boleh menang’.

Kebijaksanaan mereka memanipulasikan sentimen rakyat untuk membenci Kerajaan BN melalui tohmahan dan fitnah turut membantu mereka mencapai kemenangan.

Advertisements

Dan kini apabila wajah sebenar mereka sudah terdedah, mereka takut untuk bertarung dalam pilihan raya, apatah lagi dalam lima pilihan raya kecil sebelum ini, kesemuanya mereka ‘bungkus’. Ia adalah isyarat awal bahawa peluang mereka untuk menang besar dalam PRU memang tipis.

Sebab itulah mereka beria-ia benar mahu menawan kembali tampuk pemerintahan negara dengan alasan mahu mengembalikan mandat rakyat.

Kalau betul mahu mempertahankan mandat rakyat serahlah kembali kepada rakyat untuk mendapat mandat baru. Tetapi pemimpin-pemimpin PH tidak akan berani berbuat demikian.

Oleh itu mereka mahu mengulangi tindakan naik bas beramai-ramai ke Istana Negara bagi membuktikan mereka majoriti. Namun percayalah senario itu tidak akan berulang.

Pakatan Harapan cuma ada dua pilihan iaitu terus menjadi pembangkang atau bersedia menghadapi pembubaran Parlimen!

Sememangnya pembubaran Parlimen adalah langkah terbaik memandangkan di peringkat negeri pun seperti Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Johor dan Kedah boleh dianggap tidak stabil.

Tidak payah berhujah kononnya pembubaran Parlimen akan menguntungkan UMNO dan Pas, semua itu hanya strategi untuk memecah belahkan PN. Siapa yang akan untung biar rakyat tentukan.

Apa yang PH takutkan kalau yakin rakyat masih menyokong mereka? Bukankah pemimpin-pemimpin PH melaungkan mereka hilang kuasa kerana dikhianati?

Siapa khianati siapa? Yang letak jawatan Perdana Menteri siapa? Yang nak tubuhkan Kabinet Perpaduan siapa?

Apakah cadangan penubuhan Kabinet seumpama itu membuktikan Mahathir tidak yakin dengan barisan Kabinet PH sebelum ini?

Atau adakah Mahathir sengaja meletakkan jawatan bagi membolehkan beliau ‘menyingkirkan’ menteri-menteri PH secara terhormat tanpa menduga ia akhirnya mengakibatkan mereka hilang kuasa?

Pemimpin-pemimpin PH perlu berhenti menyalahkan Muhyiddin mahupun PN terhadap apa yang berlaku ke atas mereka. Individu yang bertanggungjawab ‘meragut’ kuasa di tangan mereka ialah Mahathir bukan orang lain.

Oleh itu bagi menghentikan ‘kegilaan’ PH untuk kembali berkuasa sehingga menggugat kestabilan politik negara, bubar sahaja Parlimen dan kembalikan mandat kepada rakyat, kita sama-sama tengok siapa yang kena.


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan