JURUFOTO perkahwinan kini menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan sektor industri itu beroperasi semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian pandemik Covid-19 di Putrajaya berkata, sektor itu dibenarkan tetapi perlu mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ismail Sabri turut menambah penggambaran hanya boleh dilakukan di luar sahaja seperti di taman tasik ataupun tempat yang bersesuaian bagi lokasi penggambaran yang hanya melibatkan pengantin dan jurufoto serta tidak dibenarkan berhimpun beramai-ramai.

Bagaimanapun, ia hanya terhad kepada sesi penggambaran pra-perkahwinan dan akad nikah sahaja tanpa majlis keraian yang melibatkan jumlah perhimpunan yang ramai.
Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menetapkan pengoperasian semula industri ini selepas mengambil kira ribuan jurufoto perkahwinan yang hilang job sejak PKP dilaksanakan.
Dalam pada itu jurufoto perkahwinan sepenuh masa, Amir Hafiz Abd Rahman bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan mereka beroperasi semula selepas kebanyakan pengantin dibenar mengadakan majlis pernikahan secara dalam talian. – Edisi 9


