HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah pegangan seorang jurugambar profesional bebas yang terpaksa beralih kerjaya lantaran bidang yang beliau ceburi sebelum ini semakin suram sejak wabak COVID-19 menular.
Sedar permintaan untuk kerja-kerja fotografi semakin nazak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak lebih dua bulan lalu, Ahmad Zahrul Kamaruzzaman, 48, tidak berfikir panjang selain mencari peluang kerjaya lain.
Berbekalkan pengalaman mempelajari kemahiran asas semasa belajar di sekolah vokasional dahulu, Ahmad Zahrul kini menukar kerjaya daripada seorang jurugambar menjadi pencuci tangki air.

“Selain kerja-kerja mencuci tangki air, saya juga membuat kerja pertukangan paip selain pendawaian elektrik rumah,” katanya ketika ditemui Edisi 9 di Desa Coalfields, Sungai Buloh, semalam.
Menurut Ahmad Zarul, buat masa sekarang dia hanya menerima pelanggan di sekitar taman perumahannya sahaja tetapi sedia melakukan kerja-kerja di luar kawasan itu jika ada permintaan.
Bagi yang ingin mendapatkan khidmat Ahmad Zahrul boleh menghubungi di talian 012-2851323 . – Edisi 9




