34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tindakan Mahathir mampu cetus krisis politik fasa II

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

“JANGAN mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat pendemik Covid-19.”

Demikianlah titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Sebagai raja yang prihatin kepada nasib rakyat akibat serangan wabak berkenaan, Seri Paduka memahami bahawa negara tidak boleh dan tidak mampu lagi diseret ke dalam krisis politik seperti mana Februari lalu berikutan peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam titah tersebut juga Seri Paduka telah memaparkan secara terperinci bagaimana Seri Paduka membuat keputusan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, selepas usaha memujuk Mahathir gagal.

Bagaimanapun tidak sampai empat bulan, Seri Paduka menyampaikan titah tersebut, kini negara bakal berhadapan sekali lagi dengan krisis politik, berikutan tindak tanduk Mahathir yang berusaha keras untuk menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin.

Akibat sudah dikuasai oleh kemarahan politik yang ketara terhadap Muhyiddin, bekas Perdana Menteri itu melakukan manuver politik terbaru dengan menyatakan beliau mempunyai cukup sokongan Ahli Parlimen bagi membolehkan PH kembali memerintah.

Tidak cukup dengan itu, Mahathir yang diberikan surat pemecatan daripada Bersatu bersama empat ahli Parlimen parti itu bertindak balas dengan hadir ke ibupejabat Bersatu – motif mudah – mencabar beliau dipecat secara bersemuka.

Melihat gambar Mahathir di bilik Pengerusi Bersatu, ia bagaikan “orang tua menanti anaknya datang menjemput.”

Tetapi Mahathir lupa, Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Bersatu menghormati beliau sebagai orang tua dan ahli politik veteran.

Penghantaran surat pemecatan adalah kaitan terbaik bagi menjaga tata susila sebagai orang Melayu, bukannya mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan pemecatan beliau.

kononnya untuk membuktikan beliau ‘akan semakin kuat’ setiap kali ditekan, ahli politik berusia 95 tahun itu datang ke ibu pejabat Bersatu.

Mahathir mungkin berasa puas hati berbuat demikian. Tetapi Muhyiddin tidak akan mengikut tindakan politik gelojoh bekas Perdana Menteri tersebut.

Bak kata seorang pemerhati politik kepada penulis, “tak kan Mahathir mahu pemimpin Bersatu datang dan tampal surat pemecatan kat dahi beliau. Kita ada adab.”

Soalnya, kenapa Mahathir tidak beri tumpuan menjawab surat tersebut berdasarkan kepada peruntukan undang-undang?

Kenapa perlu datang ke ibu pejabat Bersatu dan beri bayangan akan memecat Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu?

Atas kapasiti apa Mahathir mahu memecat Muhyiddin? Janganlah memperbodoh-bodohkan rakyat dalam soal ini.

Sepatutnya Mahathir lawan kembali kenapa beliau tidak boleh dipecat bukannya buat gerakan untuk menjatuhkan Muhyiddin. Itu masalah dalaman Bersatu, kenapa mahu seret rakyat dan negara?

Persoalannya, apakah Mahathir benar-benar mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menumbangkan Muhyiddin?

Kalau betul ada, tindakan yang perlu beliau lakukan ialah mengemukakan akuan bersumpah kesemua ahli Parlimen tersebut.

Akuan bersumpah itu harus dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong yang pastinya akan menggunakan kebijaksanaan Seri Paduka untuk membuat keputusan.

Mahathir tidak boleh memperbodoh-bodoh sesiapa dengan dakwaan cukup sokongan.

Al-Sultan Abdullah amat cukup bijaksana dalam menangani krisis seumpama ini dan ia sudah dibuktikan pada Februari lalu.

Walaupun pilihan terbaik ialah membubarkan Parlimen dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat memandangkan tiada sesiapapun dapat memberi jaminan bahawa selepas ini tidak akan berlaku lagi senario ahli Parlimen berubah hati, tetapi soalnya apakah ia adil kepada rakyat?

Rakyat sedang susah, rakyat sedang sengsara, rakyat sedang menderita akibat kehilangan atau kekurangan pendapatan akibat serangan Covid-19! Dan Kerajaan pula sudah dan sedang mengatur pelbagai agenda bagi membantu mereka serta memulihkan ekonomi negara.

Tetapi Mahathir pula sedang bertungkus lumus untuk kembali berkuasa! Kenapa Mahathir begitu tergamak sekali mahu memuaskan kehendak politiknya tanpa mempertimbangkan nasib rakyat?

Apa lagi Mahathir mahu? Diberi kesihatan sehingga umur mencecah 95 tahun, dia beri peluang menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali, apakah itu belum mencukupi?

Kenapa mahu melakukan satu lagi tindakan yang bertujuan menjatuhkan seorang lagi Perdana Menteri dan seterusnya menghumban negara dalam krisis politik! Sampai bila mahu dilihat sebagai pencatur politik negara?

Cukuplah…


Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan