KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merayu universiti di negara itu mempertimbangkan permohonan pelajar perubatan Malaysia agar dikecualikan daripada menduduki Exit Exam Ogos ini berikutan pandemik Covid-19.
Presidennya, Lukman Ismail berkata, pertimbangan itu wajar memandangkan wabak tersebut masih lagi merebak dan kes jangkitan di negara itu masih lagi tinggi selain tiada keperluan bagi pelajar Malaysia untuk menduduki ujian tersebut.
Beliau berkata, isu keperluan pelajar Malaysia menduduki Exit Exam ini sudah menjadi polemik berpanjangan dan ketika wabak Covid-19 sedang melanda, adalah wajar jika pelajar terbabit dikecualikan.
“PAPTI serta persatuan pelajar kita di Indonesia sudah beberapa kali mengajukan masalah ini sehingga ke peringkat menteri namun pelajar kita masih diwajibkan menduduki peperiksaan yang dikhaskan kepada pelajar Indonesia ini.
“Ia membebankan pelajar kita yang sudah tamat pengajian tetapi terpaksa menunggu lulus ujian khas tersebut sebelum memperoleh ijazah mereka. Ini akan melibatkan kos dan masa kerana ujian ini hanya diadakan beberapa kali sahaja dalam setahun,” katanya.
Beliau mengulas rayuan pelajar perubatan tahun akhir Malaysia di negara itu agar dikecualikan menduduki Ujian Kompetensi Mahasiswa Program Profesi Dokter (UKMPPD) atau Exit Exam yang dijadualkan Ogos ini.
Memetik laporan Bernama, wakil mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Anne, penuntut di sebuah universiti di Medan berkata, ini kerana wabak Covid-19 belum berakhir selain tiada keperluan bagi mereka menduduki ujian tersebut yang tidak diiktiraf oleh sistem pendidikan Malaysia.
Anne berkata, dia dan rakan-rakannya telah pulang ke tanah air sejak penghujung Mac lalu selepas diberitahu ujian tersebut yang dijadualkan pada Mei dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun katanya mereka menerima notis daripada badan yang menguruskan ujian itu iaitu Panitia Nasional UKMPPD pada awal bulan lepas, memaklumkan ujian tersebut akan berlangsung pada Ogos ini.
Sehubungan itu, Lukman berharap masalah tersebut didengari oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi terutama menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad agar mengemukakan rayuan pelajar terbabit kepada pihak kerajaan Indonesia.
“Exit Exam ini memang menjadi isu utama dalam kalangan pelajar perubatan kita di Indonesia sejak ia diperkenalkan pada 2016. Ujian ini memang diwajibkan kepada pelajar perubatan tempatan sebelum mereka keluar daripada univerisiti, tetapi pelajar asing turut terlibat.
“Walhal bagi pelajar kita ujian ini tidak diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kerana mereka akan menjalani housemenship selama dua tahun sebelum diserapkan ke jawatan pegawai perubatan,” katanya. – Edisi 9