[UTUSAN DALAM KENANGAN]
HAKIKATNYA aku tidak tahu bagaimana mahu memulakan coretan bagi mengenang berakhirnya perjuangan Utusan Malaysia di bawah panji-panji Utusan Melayu (M) Berhad.
Kalau mahu dicoretkan kesemuanya mungkin ia terlalu panjang.
Apa yang boleh aku katakan, tanda-tanda awal riwayat akhbar itu akan berakhir sudah kelihatan pada penghujung tahun 2018, ‘semakin tenat’ pada September 2019, sebelum ‘ditalkinkan’ pada awal Oktober 2019.
Dua hari sebelum Utusan Malaysia menamatkan operasi, aku antara salah seorang daripada pengarang yang menghadiri majlis sembah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Perak, Kuala Lumpur.
Pada hari itulah, Tuanku Sultan menjadi individu pertama dimaklumkan bahawa Utusan Melayu (M) Berhad akan menutup operasinya.
Masih aku ingat bagaimana riak wajah Tuanku Sultan apabila dimaklumkan perkara tersebut oleh Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.
Hubungan Tuanku Sultan dengan Utusan Malaysia amat rapat sekali, sebab itulah baginda kelihatan sebak apabila menerima perkhabaran tersebut.
Selepas majlis berkenaan, aku pulang ke pejabat bersama Datuk Zulkefli Hamzah dan Haji Rozaman Ismail.
Macam-macam bermain dalam fikiran. Terbayang satu persatu wajah kawan-kawan yang ketika itu sudah berkorban hampir dua bulan bekerja tanpa menerima gaji.
Entah bagaimana perasaan mereka apabila mengetahui perjuangan mereka akan berakhir dalam minggu itu juga.
Dari kaca bilik aku di Aras 5, aku melihat gelagat kawan-kawan dan ruang-ruang editorial di Aras 4.
Sebak aku melihat kawan-kawan di meja-meja berita yang terus tekun bekerja biarpun aku tahu ada antara mereka poketnya kosong.
Sedih aku merenung rakan-rakan di meja prosesan dan grafik yang gigih menyiapkan page, biarpun gaji entah bila akan dibayar.
Ketika mata aku melihat pantry, teringat aku bagaimana tempat itu saban tahun kami makan bersama-sama termasuk pada hari raya kedua setiap tahun.
Super Desk’ yang menjadi medan kami bergelut setiap malam bagi menyiapkan surat khabar, set sofa yang merupakan lokasi terakhir Allahyarham Haji Mohd. Kamil Yusuff berbaring sebelum dijemput illahi akibat serangan jantung.
Meja-meja kawan yang sentiasa menjadi sudut bergurau, berbincang dan ‘bertengkar’ serta laluan-laluan di aras 4 yang ada ketikanya menjadi ‘taman permainan’ anak-anak staff apabila ibu bapa mereka bekerja pada hujung minggu.Tanpa aku sedar air mata aku mula mengalir.
Bangunan dan ruang yang mencatatkan seribu satu sejarah itu akan kami tinggalkan. Ruang yang mengajar kami erti perjuangan, persahabatan dan persaudaraan pasti akan dibaluti kesunyian buat selama-lamanya.
Tiada lagi suara dan gelak ketawa para sahabat manakala lagu Utusan, ‘Suara Keramat Bangsa’ tidak akan berkumandang lagi di situ.
Beberapa hari sebelum Utusan menutup operasi, aku tidak dapat melelapkan mata. Aku terfikir tentang kakitangan Utusan yang akan kehilangan pekerjaan dan mata pencarian.
Institusi yang sebelum ini menjadi medan perjuangan dan suara kepada pihak-pihak tertentu bagaikan ‘dibiarkan mati sendirian’ manakala kakitangannya pula bagaikan ‘dibiarkan menangis sesama sendiri’ untuk menempuh perjalanan seterusnya yang tidak pasti.
Pada saat-saat begitu aku bertanya, apakah ini balasannya terhadap sebuah institusi yang berjuang selama 80 tahun untuk tanah air yang pernah bernama Tanah Melayu?
Apakah ini yang harus ditempuh oleh kawan-kawan yang ada antara mereka tetap datang bekerja biarpun susu anak di rumah sudah kehabisan?
Apakah begini caranya kami dipisahkan setelah bertahun-tahun berjuang bersama?
Aku tidak mahu menyalahkan atau menuding jari kepada sesiapa, tetapi apa yang boleh aku katakan, terlalu banyak yang boleh aku pelajari dan jadikan iktibar untuk meneruskan perjuangan ‘sepanjang Utusan dalam krisis’.
Apa yang paling penting dalam apa keadaan sekalipun jangan sesekali bergantung kepada manusia tetapi berserahlah kepada Allah SWT.
Apatah lagi kalau ada manusia yang sangat ‘dahaga’ mahu melihat perjuangan Utusan berakhir kerana ‘dendam politik’, walaupun satu ketika orang itu juga pernah berada dalam kedudukan tinggi dalam dunia kewartawanan.
Hari terakhir ialah saat paling sedih untuk aku. Kami diberi tempoh hanya beberapa jam untuk mengemaskan barang, sebelum ibu pejabat Utusan bersama sejarah dan kesan-kesan perjuangannya ‘akan disita’ buat selama-lamanya.
Melihat seorang demi seorang kawan-kawan mengemas dan mengangkat barang mereka ke kenderaan masing-masing, ia cukup memilukan.
Bayangkan, selepas bertahun-tahun bekerja, keesokan harinya mereka dipaksa menjadi ‘penganggur’.
Sebelum aku meninggalkan Ibupejabat Utusan buat kali terakhir, aku berbisik di dalam hati:
Terima kasih Utusan kerana hampir 29 tahun menjadi ‘periuk nasi’ kepada aku, isteri dan anak-anak.
Terima kasih Utusan kerana memberi rezeki kepada sahabat-sahabat aku menyara kehidupan keluarga dan ibu bapa mereka di kampung.
Terima kasih Utusan kerana membenarkan aku berjuang di institusi keramat ini biarpun tanpa segulung ijazah mahupun diploma.
Terima kasih Utusan kerana menyatukan hati kami melalui ikatan persahabatan dan perjuangan.
Sesungguhnya obor perjuanganmu tidak pernah dan tidak akan padam di hati aku dan kawan-kawan.Insya-Allah.
Penulis adalah bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia dan bertugas selama 27 tahun bersama Utusan.