34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Jejak bigfoot berbekal kayu sebatang

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 9]

CERITA bigfoot dah lama jadi bualan katanya di hutan Johor pernah ditemukan, namun begitu sukar nak dibuktikan sama ada bigfoot ini kisah nyata atau rekaan.

Kisah bigfoot atau orang mawas memang was-was, entah iya entah tidak sentiasa dibahas. Pelbagai kajian sudah dikupas namun sehingga kini kewujudannya tak pernah jelas.

Sampailah suatu ketika MB Johor sendiri membuka cerita, di hutan Johor bigfoot ini memang ada, cuma sehingga kini tiada siapa pernah bersemuka.

“Di hutan Johor memang tak dinafikan, ada bigfoot yang masih berkeliaran,” kata Abdul Ghani Othman ketika pelancaran Kosmo! diadakan.

Maka larislah berita di akhbar, kisah bigfoot semakin tersebar kami semua mula mencari sumber untuk memburu bigfoot di hutan belantara.

Aku sendiri pernah masuk hutan, menjejak bigfoot khabarnya pernah kelihatan. Kali pertama pada waktu siang, tapi pulang dengan kehampaan.

Tapi aku tak boleh berputus asa, ramai pembaca menanti dengan setia kisah-kisah bigfoot yang aku bawa, entah ada entahkan tiada.

Kali kedua beberapa minggu kemudian, wakil Utusan di Kota Tinggi ada maklumkan. Kelibat bigfoot ada kelihatan di pinggir hutan disaksikan oleh tiga pekerja ladang.

“Bos, pekerja ladang ada terjumpa lembaga hitam bigfoot diduga, badannya tinggi berbulu pula, ketika mandi di waktu senja.”

Bergegaslah aku ke Kota Tinggi, bersama jurugambar Farizwan di sisi, masuk ke hutan laluan bigfoot kami ekori. Bersama pemilik ladang dan tiga lagi padahal waktu itu sudah malam hari.

KERATAN Utusan Malaysia bertarikh 18 Februari 2006.

Hanya berbekal kayu sebatang, merendah hutan di tengah malam, menjejak bigfoot punya pukulan sampai dah tak peduli aku punya keselamatan.

Nasib baik pemilik ladang membawa parang, bolehlah menebas ranting-ranting yang menghalang, sambil menyuluh di tanah kontang, manalah tahu ada jejak bigfoot yang kelihatan.

Takut aku tolak ke tepi, demi menjejak bigfoot yang diingini, ke utara selatan kami pergi, tanpa sedar hari sudah pagi.

Aku cerita kepada kawan, kisah aku memburu bigfoot di hutan dengan berbekal kayu sebatang. Nasib baik tiada berlaku sebarang kejadian, kalau tidak aku sendiri tak tahu nasib badan.

Kawan aku kata: “Engkau ini memang gila, kalau aku sumpah tak berani punya. Malam-malam masuk hutan di sana memburu bigfoot yang belum tentu ada.”

Walaupun jejak bigfoot aku tak temui, tapi kisah aku memburu itu diminati. Sampaikan bos di KL pun turut menasihati “teruslah pemburuan jangan berhenti.”

KERATAN Utusan Malaysia 8 November 2006.

Pelbagai laporan telah dikeluarkan mengenai pergerakan bigfoot di hutan. Ada yang kata dari utara turun ke selatan, di Kota Tinggi dijadikan mereka penempatan.

Cerita bigfoot di Johor tidak pernah berkubur. Ada sahaja berita penemuan tapak bigfoot yang dilapor, akan tetapi sehingga sekarang tiada bukti lain yang dapat dihulur. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan