32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Abang portal masuk TV

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 7]

DARI Megabait, ke unit pendidikan aku dihantar untuk membangun portal pembelajaran barang sebentar. Padahal aku bukanlah seorang pakar tapi kerana tugas aku sedia ditukar.

Portal Pendidikan Utusan nama diberi, menyediakan bahan PnP setiap hari. Melalui internet pelajar boleh melayari, untuk memenuhi aplikasi Sekolah Bestari.

Berbulan juga kami siapkan, dari reka bentuk sampailah penyediaan bahan. Ramai pakar diminta turun padang untuk membantu merealisasikan impian.

Perdana Menteri diundang buat pelancaran dengan sambutan secara besar-besaran. Dalam ucapan beliau beri puji-pujian kerana menjadi media pertama hasilkan pendidikan dalam talian.

Bos pun happy bila dipuji sedemikan, mula merancang nak buat promosi berterusan. Ke sekolah-sekolah kami digerakkan, hampir seluruh negeri kami buat pelancaran. Dari Perlis, Negeri Sembilan sampailah Kelantan, Sabah dan Sarawak juga tidak ketinggalan.

Portal Pendidikan Utusan mulai dikenali, guru-guru dan pelajar menggunakannya secara free. Sampailah satu hari bos kata, “ini kena masuk TV”, maka Utusan dan RTM pun berbincanglah dari hati ke hati.

SEGMEN Abang Portal bersiaran setiap hari Isnin dalam Selamat Pagi Malaysia di TV1 sekitar tahun 2004.

Selamat Pagi Malaysia rancangan santai setiap pagi menyajikan pelbagai topik berbentuk informasi. Segmen Abang Portal ruang diberi, temu bual secara langsung dari studio Angkasapuri setiap Isnin pagi.

Teringat pula peristiwa lucu, bila segmen Abang Portal dibatalkan tapi tidak diberitahu. Aku datanglah seperti selalu, dimekapkan dahulu supaya tidak lama menunggu.

Tiba masanya aku tertunggu-tunggu, kenapa tak dipanggil seperti selalu, rupanya segmen Abang Poral dibatalkan hari itu produsernya lupa nak bagi tahu.

Pulang aku dengan mekap di muka ditanya rakan kenapa aku punya rupa, aku kata “tadi dimekap nak kasi seri naik ke muka, sekali segmen Abang Portal hari ini tiada.”

Setahun juga Abang Portal bersiaran sebelum segmen tidak diteruskan. Aku pula kembali menjelajah ke sekolah-sekolah memberi ceramah seperti yang diamanah.

Kali ini bukan lagi dalam talian punya kaedah, tetapi lebih kepada penggunaan akhbar dalam bilik darjah. Seluruh negara aku jelajah menjual surat khabar di sekolah-sekolah. Cuma tak sempat ke Sarawak dan Sabah.

Beri ceramah di sekolah banyak cabaran, kadang seronok kadang menyedihkan. Yelah aku bukan pakar motivasi macam Dr Fazilah Khamsah bila ceramah kau tidak diendah. Pulang ke pejabat terasa gundah.

Paling seronok bila ceramah untuk guru-guru, mereka semua khusyuk macam selalu. Tekun mereka nak mencari ilmu sampai habis majlis depa sanggup tunggu.

Semangat pun mula mengembang, bila ada cikgu-cikgu yang manis dipandang. Kadang ada sekolah minta kami datang, duit minyak turut disediakan padahal aku dah bilang tak usah disusahkan, semua elaun syarikat dah bayarkan.

Tapi mereka tetap berkeras, katanya “ilmu yang aku ajar tak termampu dibalas, jadi pemberian kami ini ikhlas kerana mendidik anak-anak murid kami supaya mereka cerdas.”

Kalau begitu sudah dikata, tak kan aku nak tolak pula. Anggap itu rezeki Allah yang sedia, menjadi penguat semangat untuk terus bekerja.

Lama juga aku di pendidikan sehinggalah aku minta ditukarkan. Bukan tak seronok bersama rakan-rakan cuma sengaja nak tambah pengalaman.

Bagi memenuhi aku punya permintaan, pihak atasan sudah berfikiran untuk menghantar aku jauh ke selatan, akhirnya di Biro Johor aku ditugaskan.

Gembiralah aku tidak terkira meninggalkan Jalan Lima buat kali pertama. Bertugas di biro jadi idaman semua, banyak pengalaman yang dapat ditimba, elaun tambahan pun turut tersedia.

Berangkatlah aku ke Johor Bahru tinggalkan isteri dan anak-anak aku walaupun mereka masih kecil masa itu, namun aku tetap pulang hampir setiap minggu, yelah mana tahan menanggung rindu.

Walaupun di Johor hanya setahun tapi banyak cerita yang aku kendong. Bab seterusnya aku akan ceritakan tentang bigfoot hinggalah isu jambatan. Tidak ketinggalan kisah Mawi putus tunang dan kehilangan ayah tersayang. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan