24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Malam ini malam terakhir

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

[UTUSAN DALAM KENANGAN]

MENGIKUT jadual, hari ini aku masuk kerja pukul 5 petang. Aku sampai di pejabat kira-kira 5.30 petang, agak lambat sedikit kerana menyiapkan dekorasi di studio yang akan aku sewakan di Cyberjaya.

Aku tengok Datuk Zul berbincang sesuatu dengan Zul Bakar dan beberapa editor kanan lain termasuk Ridzwan dan Rosni di ruangan Super Desk.

“Ah, biasalah sebelah petang para editor berkumpul dan berbincang,” detak hati aku tanpa mengesyaki apa-apa. Aku terus ke meja, hidupkan komputer dan semak jadual tugasan harian aku.

Seperti biasa petugas yang masuk pukul 5 petang diberi tanggungjawab ‘menjaga’ muka surat empat, lima dan enam serta muka surat lain, selain menyiapkan jadual tugasan untuk esoknya.

Begitulah rutin harian aku sejak beberapa tahun ini di meja Prosesan, sebagai penyunting akhbar Utusan Malaysia.

Di satu sudut, di kawasan meja wartawan aku tengok Datuk Zul berbual sesuatu dengan beberapa wartawan muda. Aku tidak pasti apa yang dibualkan tetapi pemandangan sedemikian agak pelik di mata aku.

Jarang para wartawan mengerumuni Pengarang Utusan Malaysia sedemikian rupa. Nak dikatakan bermesyuarat, tidak mungkin dibuat secara berdiri, di meja wartawan.

Sesekali gelak tawa Datuk Zul memecah suasana manakala wajah-wajah wartawan yang ada di situ nampak lebih serius.

Aku tidak pedulikan keadaan tersebut kerana aku lebih berminat untuk memberi fokus kepada kerja-kerja aku.

“Tizz… tizz” mesej dalam WhatsApp group Meja Berita berbunyi. Aku tengok mesej dari Rosni:

Assalamualaikum. Esok (9/10/19), pukul 12 tengah hari, ada pertemuan editorial Utusan Malaysia bersama Datuk Zulkefli Hamzah di Pusat Latihan, tingkat 6.

Demikian mesej WhatsApp yang dihantar. Dalam fikiran aku tertanya-tanya untuk apa perjumpaan ini diadakan? Apakah untuk menyampaikan khabar gembira atau sebaliknya?

Sungguh tidak terlintas sedikit pun dalam benak fikiran kejadian buruk bakal menimpa Utusan apatah lagi kami para kakitangan yang masih setia menjalankan tanggungjawab selepas menolak tawaran VSS setahun lalu.

Lalu aku juga teringat kata-kata azimat Pengerusi Utusan; “Saya akan pastikan Utusan tidak ditalkinkan.” Jadi untuk apa perjumpaan esok?

“Esok hari terakhir Utusan terbit…” tiba-tiba suara Ridzwan dari belakang sedikit menyentak aku.

“Malam ini last kita kerja, esok Utusan tutup,” katanya sambil ketawa kecil tapi penuh pahit.

Aku agak tergamam dengan kata-kata rakan seangkatan aku yang masuk Utusan itu. Antara percaya dengan tidak.

PENULIS berswafoto pada malam terakhir sebelum penutupan Utusan pada 9 Oktober tahun lalu.

“Dah confirm ke?” balas Ismail Daud yang duduk di sebelah kiri meja aku menyampuk. Ridzwan melabuhkan punggung di meja Ismail.

“Esok surat akan keluar. Datuk Zul dah dimaklumkan tadi,” Ridzwan menyampaikannya nada ceria seolah-olah satu gurauan.

Kemudian baru aku teringat tentang berita yang tersebar siang tadi, mengenai pengambil alihan saham Utusan oleh sebuah syarikat milik konglomerat Melayu tersohot tetapi aku sekadar baca dan tidak terlintas di fikiran tentang hal-hal yang lebih buruk.

Cepat-cepat aku tala semula mesej dalam WhatsApp, mencari berita yang dikongsi oleh seorang rakan petang tadi.

Utusan Melayu lepaskan 70% kepentingan kepada Aurora Mulia

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) akan melepaskan 70 peratus pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn.Bhd. kepada Aurora Mulia Sdn. Bhd.,

Utusan dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, Dilof merupakan anak syarikat 100 peratus miliknya yang kini merupakan pemegang permit menerbitkan dua akhbar berbahasa Melayu berpengaruh iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo.

“So, malam ini dah boleh kemas barang masing-masing sebab mulai esok, pejabat akan ditutup dan syarikat liquidator akan ambil alih,” jelas Ridzwan.

Aku bingkas dari tempat duduk menuju ke bilik air, membuka pili lalu menyapu air di muka. Aku memandang cermin di hadapan aku yang turut membias cermin di bahagian belakang sehingga wajah tampak infiniti di cermin.

“Betul ke apa yang berlaku ni? Takkanlah secepat ini?” aku tertanya-tanya sendirian.

Advertisements

“Ah, tidak mungkin. Ini semua gurauan. Kata-kata Ridzwan bukan boleh pakai. Selalu sangat teorinya ke laut,” bisik hati.

Dalam keadaan hati aku dibiarkan tertanya-tanya, aku terserempak dengan Rizal mengusung kotak sejurus aku keluar dari bilik air.

“Eh, kau pun dah nak pack barang malam ni ke?” sapa aku kepada Ketua Unit Grafik Utusan Malaysia itu.

“Esok aku takut tak sempat. Barang aku banyak,” balas Rizal sambil di hujung sana terlihat beberapa pereka grafik wanita turut menyusun barang di dalam kotak.

Sedang aku hanya mundar-mandir dan sesekali mendekati beberapa lagi rakan yang sibuk mengosongkan meja masing-masing. Jadi betullah apa yang disampaikan oleh Ridzwan tadi.

Patutkah aku kemaskan meja aku malam ini atau menunggu sehingga menerima surat daripada syarikat?

Akhirnya aku buat keputusan untuk membiarkan sahaja beberapa rakan mengosongkan meja mereka dan aku terus dengan tugasan aku.

PENULIS semasa menjadi host segmen Sembang Online untuk portal Utusan Online tahun 2010.

Kira-kira pukul 9.45 malam semua kerja aku selesai. Aku lihat Ridzwan dan Khalid terbongkok-bongkok memasukkan barang-barang dari mejanya ke dalam beg. Sayu…

Aku mencapai kunci kereta, menutup suis komputer dan terus ke pintu keluar pejabat dan kemudian ke tempat letak kereta di aras empat.

Aku menghidupkan enjin kereta, cepat-cepat menolak gear dan memecut menuruni ruang letak kereta. Begitu lama rasanya kereta aku menuruni bangunan tempat letak kereta menuju pintu keluar.

Aku menghidupkan radio Kool.FM, radio kegemaran aku setiap kali aku memandu. Di hadapan pintu keluar kelihatan Warung E di kaki lima Jalan Lima itu terang benderang.

Niat di hati untuk berhenti makan aku batalkan. Selera aku untuk makan malam itu hilang dan aku terus memecut kereta menuju Besraya untuk pulang ke rumah.

Sepanjang di atas jalan raya fikiran aku kosong. Seolah-olah tiada apa yang mahu difikirkan.

Lagu-lagu yang berkumandang di corong radio kereta aku seolah-olah tidak aku dengari apatah lagi untuk menghiburkan hati.

Dalam sedar tak sedar, kereta sudah berada tepat di muka pintu pagar rumah. Aku matikan enjin sambil merebahkan badan di tempat duduk kereta, merenung jauh di hujung jalan rumah aku.

“Kalau Utusan tutup, apa aku nak buat selepas ini?” Itulah antara kata-kata yang berlegar dalam benak fikiran aku sekarang.

Aku percaya persoalan sama yang muncul dalam hampir semua rakan-rakan sekerja. Lama aku termenung sebelum aku dikejutkan dengan panggilan telefon dari isteri.

“Dah balik ke belum?” bunyi suara isteri di hujung talian.

“Dah, dah depan rumah ni hah,” aku membalas panggilan tanpa memaklumkan yang aku sudah lebih 15 minit di depan rumah.

Serentak itu juga otak ligat memikirkan ayat-ayat yang perlu aku susun untuk memaklumkan keadaan aku sekarang mulai esok.

Isteri membuka pintu dan aku merasakan begitu malas untuk melangkah masuk ke rumah. Aku capai tuala, masuk ke bilik air.

Selesai mandi, solat aku rebahkan badan di katil di sebelah isteri. Mata memandang ke siling. Lama aku memikirkan bagaimana aku harus maklumkan kepada isteri aku.

“Malam ini malam terakhir abang bekerja,” dengan suara bergetar aku cuba untuk menyusun kata.

“Dah confirm ke bang?” isteri membalas tanpa ada rasa terkejut. Memang masalah yang dihadapi syarikat sudah diketahuinya. Masakan tidak kalau sudah tiga bulan aku tidak menerima gaji.

“Ya, esok surat dikeluarkan,” lemah suara aku sambil membaringkan badan ke sisi lain, membelakangi isteri.

“Tak apalah bang. Rezeki ada di mana-mana. Tentu ada hikmat di sebalik semua ini,” lembut suaranya berbisik sambil memeluk aku. Aku memejamkan mata dan tanpa sedar air mata menitis jatuh ke tilam.

Isteri mengeratkan pelukannya dan aku semakin hanyut sehingga terlena.


Tulisan ini adalah petikan dari buku ‘Jalan Ini Aku Pilih’ yang mengisahkan perjalanan kerjaya penulis sepanjang di Utusan. Buku ini sedang disusun dan tidak pasti bila dapat diterbitkan.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan