25.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Drama pecat memecat Bersatu jadi bahan jenaka

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

TIADA yang lawak melainkan lawak belaka. Masakan tidak apabila drama pecat memecat dalam Bersatu menjadi bahan jenaka bukan sahaja dalam kalangan orang luar yang memerhati tetapi juga oleh ahli-ahli parti peringkat akar umbi.

Kisahnya semalam Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad bersama anaknya, Mukhriz serta tiga yang lain iaitu Ketua Armadanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah menerima surat “pemecatan” sebagai ahli daripada Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Pemecatan itu susulan tindakan kelima-lima Ahli Parlimen itu duduk di blok pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lepas, sekali gus dianggap “melawan” Presiden parti yang kini Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ekoran itu Setiausaha Agung parti, Marzuki Yahya bertindak mengeluarkan pula surat pemecatan terhadap Suhaimi kerana mengeluarkan surat pemecatan terhad Dr Mahathir yang juga pengasas parti yang ditubuhkan tahun 2016 itu.

Marzuki menganggap Suhaimi tidak layak untuk mengeluarkan surat pemecatan tersebut kerana ia sepatutnya di bawah bidang kuasa Setiausaha Agung, bukannya seorang pegawai lantikan yang “makan gaji” dengan parti, apatah lagi terhadap pemimpin tertinggi parti.

Tup-tup semalam juga beredar surat pemecatan Marzuki sebagai Setiausaha Agung parti yang ditandatangani sendiri oleh Muhyiddin. Surat yang beredar dalam alam maya yang turut diterima penulis itu bertarikh 18 Mac, bermakna ketika Marzuki memecat Suhaimi semalam, dia tidak lagi mempunyai kuasa seorang Setiausaha Agung.

Kemelut yang melanda dalam Bersatu membabitkan pucuk pimpinan tertinggi itu sudah dijangka ekoran perseteruan antara Mahathir dan Muhyiddin selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ekoran peletakan jawatan Ahli Parlimen Langkawi itu pada penghujung Februari.

Mahathir telah bersama-sama parti-parti dalam PH iaitu DAP, PKR dan Amanah dibantu oleh Warisan dari Sabah berusaha untuk menumbangkan kerajaan PN diketuai oleh Muhyiddin, yang dianggap “merampas” Putrajaya melalui pintu belakang.

Bak seorang yang mabuk kuasa, Mahathir yang melepaskan jawatan Perdana Menteri Ketujuh (PM-7) secara mengejut, kini berusaha gigih untuk mendapatkan semula jawatan tersebut dan mengembalikan semula pemerintahan PH selepas dua bulan melepaskannya secara suka rela.

Advertisements

Tindakan Mahathir yang terus menerus “bermain politik” untuk mendapatkan semula jawatan Perdana Menteri tidak disenangi oleh rakan-rakan seperjuangan beliau sendiri, termasuk Rais Yatim.

Rais dalam Twitternya dua hari lalu menyuarakan rasa kecewa terhadap Mahathir, walaupun sebelum ini dia dipercayai melompat dari UMNO ke Bersatu kerana pengaruh Mahathir.

Manakala rakan-rakan lain yang sebelum ini sentiasa berdiri di belakangnya seperti Daim Zainuddin, Syed Hamid Albar dan Rafidah Aziz seolah-olah menghilang dan tiada kedengaran suara-suara yang menyatakan sokongan seperti sebelum peletakan jawatan Mahathir sebagai PM-7.

Lalu akan berakhirkah drama dalam Bersatu? Penulis percaya akan berlarutan kerana Mahathir, semua orang tahu yang dia adalah seorang pemimpin keras kepala, tidak akan sesekali tunduk terhadap Muhyiddin.

Malah sudah kedengaran bahawa isu pemecatan beliau dan rakan-rakan daripada Bersatu akan dibawa ke mahkamah dan menyerahkan kepada undang-undang untuk menentukan kedudukannya.

Jika ini terjadi sudah tentu kes tersebut akan berlarutan sehinggalah orang mula bosan mengenainya dan lama kelamaan ia semakin dilupakan sebelum hilang lenyap dari ingatan.

Justeru, penulis amat berharap agar Allah melembutkan hati Mahathir untuk memaafkan Muhyiddin, sepertimana dia memaafkan musuh-musuhnya yang lain – Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang sebelum dia menutup matanya buat selama-lamanya.

Ini kerana bagi penulis, jika dosa Anwar dan Kit Siang yang memaki-hamun, memfitnah, menabur nista bahkan menggerakkan gerakan untuk menjatuhkannya selamanya bertahun-tahun dia boleh maafkan, apalah sangat dosa Muhyiddin terhadap Mahathir.

Bak kata Rais… berdamailah Mahathir!

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan