[UTUSAN DALAM KENANGAN]
SAYA mengenali Utusan Melayu sejak berusia 7 tahun. Ketika itu saya bersekolah dalam darjah satu dan baru tahu membaca.
Abah saya memang selalu membeli Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Pada tahun 1982, selain radio dan televisyen, hanya akhbar yang menjadi sumber maklumat yang utama.
Tragedi pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila pun berlaku pada tahun yang sama.
Ketika itu, Utusan Malaysia memberi liputan meluas tentang pembunuhan kejam tersebut dan saya mengikutinya dengan penuh minat setiap hari.
Boleh dikatakan laporan-laporan Utusan Malaysia tentang tragedi Sabra dan Shatila telah mencetuskan sentimen anti-Zionis dalam diri saya yang berkekalan sehingga kini.
Hubungan saya dengan Utusan Melayu semakin rapat apabila saya diterima untuk berkhidmat wartawan sambilan di Seremban pada Februari 2008.
Sukar digambarkan betapa terharunya perasaan saya kerana dapat menulis untuk akhbar yang saya minati sejak kecil.
Persahabatan itu renggang seketika apabila saya menerima tawaran bekerja sebagai wartawan sepenuh masa dengan Sinar Harian pada November 2009.
Kalau sudah jodoh memang tak ke mana. Pada Februari 2012, saya kembali ke pangkuan Utusan Melayu.
Semasa ditemuduga beberapa bulan sebelumnya, Datuk Zulkefli Hamzah yang ketika itu merupakan Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia bertanya satu soalan yang saya tidak mampu menjawabnya.
Beliau mahu tahu mengapa saya membawa diri ke Sinar Harian sedangkan saya sudah pun dianggap sebagai ahli keluarga Utusan.
Sejujurnya, pada masa itu saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan ‘keluarga Utusan’.
Saya menganggap Utusan Melayu hanya tempat mencari makan, sama seperti 12 syarikat lain yang saya pernah bekerja selepas menamatkan pengajian pada 1997.
Setelah berkhidmat selama beberapa bulan, saya menyedari tanggapan awal saya terhadap Utusan Melayu adalah tersasar sama sekali.
Saya dapat menyaksikan dan mengalami sendiri semangat kekeluargaan yang disulami kemesraan dalam kalangan pekerja Utusan Melayu.
Setiap kali Ramadan menjelma, kami duduk bersama di bawah khemah yang didirikan di pekarangan bangunan Utusan untuk berbuka puasa.
Malah, ramai pekerja yang sanggup mengeluarkan duit dari poket sendiri untuk membiayai kos penyediaan makanan berbuka puasa ketika syarikat tidak lagi mempunyai kemampuan kewangan bagi meneruskan tradisi itu pada Ramadan 2018.
Tak mengapalah berkorban sedikit asalkan suasana kekeluargaan semasa Ramadan dapat dihidupkan walaupun majlis berbuka puasa dianjurkan secara sederhana.
Nama kelab kebajikan kakitangan iaitu Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) pun melambangkan semangat kekeluargaan.
Setiap Ramadan, BKUM dan jawatankuasa surau Utusan menganjurkan acara memasak bubur lambuk yang disertai oleh pekerja-pekerja.
Saya sendiri tidak pernah mengacau bubur lambuk tetapi sering menyumbang perut untuk memakannya bila berbuka puasa.
Selain aktiviti makan-makan, hubungan kekeluargaan dalam Utusan Melayu turut dieratkan melalui program sukan dan riadah termasuk penganjuran Hari Keluarga.
Begitu juga dengan suasana bekerja di mana kami saling bertegur sapa dan bertanya khabar.
Amalan ini diteruskan walaupun selepas Utusan Melayu hanya tinggal kenangan dalam sanubari bekas-bekas kakitangannya.
Ahli-ahli keluarga besar Utusan Melayu yang pernah berkhidmat sepanjang 80 tahun kewujudannya masih berhubung antara satu sama lain menerusi cara masing-masing.
Ada yang selalu berjumpa sambil mengeteh dan yang berjauhan pula berbual melalui telefon atau bersembang menggunakan WhatsApp.
Ramai juga yang rajin mengemas kini status Facebook dan Instagram untuk memaklumkan perkembangan terkini dalam kehidupan mereka.
Sebilangan kecil memilih untuk menyepikan diri namun itu tidak bermakna mereka dilupakan oleh ahli-ahli keluarga Utusan yang lain.
Kami sentiasa mengambil berat antara satu sama lain dan jika ada yang ditimpa kesusahan, kami sedaya upaya menghulurkan bantuan.
Bukan sesuatu yang menghairankan apabila ada di antara kami yang berkongsi rahsia peribadi yang hanya diketahui oleh keluarga sedarah dan sedaging.
Begitu tinggi tahap kepercayaan dalam kalangan keluarga Utusan dan mereka yang diamanahkan menyimpan rahsia tidak membocorkannya sehingga ke akhir hayat.
Secara peribadi, saya sentiasa menaruh harapan untuk kembali ke Utusan Melayu selepas menerima tawaran skim pemisahan sukarela (VSS) sejak Disember 2018, sekiranya keadaan kewangan Utusan kembali stabil.
Namun, harapan itu tidak kesampaian setelah Utusan Melayu yang menaungi keluarga saya berakhir hayatnya pada 9 Oktober 2019.
Saya hanya mampu menziarahi Utusan Melayu dan waris-warisnya dalam mimpi yang hadir menggamit memori ketika tidur.
Selepas pemergian Utusan Melayu, waris-warisnya bertebaran di seluruh negara membawa haluan untuk meneruskan kehidupan masing-masing.
Walau di mana pun kami berada, semangat kekeluargaan yang terjalin sewaktu kami masih bekerja di bawah naungan Utusan Melayu tetap subur.
Semoga semangat itu berkekalan selagi ada ahli-ahli keluarga besar Utusan Melayu yang masih bernyawa di dunia yang fana ini. – EDISI 9
Penulis ialah bekas Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.