26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, December 2, 2024

Catatan Pemula

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

DALAM ruangan ini penulis akan catatkan pengalaman sepanjang 24 tahun bergelar wartawan Utusan Malaysia. Mungkin catatan ini bersifat peribadi tetapi diharap ia dapat dijadikan pedoman kepada semua, atau paling tidak sebagai bacaan ringan semata-mata. Ikuti coretan bersiri ini:

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 1]

AKU bukanlah wartawan yang hebat cuma berbekal dengan sedikit bakat. Pelbagai cerita aku garap untuk dimuat dalam akhbar Pencetus Fikiran Rakyat.

24 tahun bukan sekejap. Kalau anak dara dah boleh diayat untuk dijadikan peneman hidup sepanjang hayat. Maka banyak pengalaman sudah tersurat untuk dikenang anak cucu kelak.

Dari longkang tersembut sampai kisah-kisah cukup menyayat, aku hadap setiap saat untuk ditulis sebagai maklumat. Dari memburu bigfoot sampai kisah pencegah maksiat, semuanya aku catat kerana pengalaman itu bukan semua orang dapat.

Tugasan di luar negara dah macam tak hairan, hampir setiap bulan naik kapal terbang. Untung jadi wartawan, ke sana ke mari semua dibayarkan, mencari bahan untuk disiarkan dalam koran.

Jadi wartawan bukan semuanya seronok, kadang kala dimaki hamun atau kena kutuk hanya kerana menulis perkara yang benar, bukan sorok-sorok.

Aku pernah dilabelkan anjing kerajaan hanya kerana menjadi wartawan Utusan dan mempertahankan pemimpin pemerintahan padahal itu semua suruhan atasan sedangkan aku sekadar mencari makan.

Pernah juga aku disaman hanya kerana sedikit kesilapan, kecohlah pegawai undang-undang menyelesaikan salah-faham, akhirnya tuntutan saman tidak diteruskan. Lega hati bukan kepalang, bimbang aku dituduh sebar penipuan.

Advertisements

Tapi itu semua tak masuk ingatan kerana banyak lagi cabaran di hadapan. Bak kata Zam, “api di depan duri di belakang”, itulah semangat yang kami tanamkan dalam Utusan sejak zaman berzaman.

Ketua Pengarang juga pernah berpesan, kami ini ibarat pejuang, luka sana sini sudah tidak hairan kalau tak berparut tak usah nak sembang.

Lebih 20 tahun mengabdi kepada Utusan, akhirnya aku diminta ucapkan selamat jalan kerana syarikat sudah tidak mampu menanggung hutang, pada masa sama kekurangan pendapatan.

Ada yang anggap malang Utusan kerana kerajaan terdahulu tumbang, tapi bagi aku itu bukan satu-satunya alasan banyak lagi kekurangan yang terlepas pandang.

Penulis bersama beberapa rakan setugas semasa hari penutupan syarikat Utusan Melayu, Oktober tahun lalu.

Media sosial punya pukulan antara sebab Utusan tak mampu bertahan. Pembaca lebih percaya cerita songsang di telapak tangan daripada laporan akhbar yang sampaikan kebenaran.

Tidak mengapalah itu semua sudah menjadi sejarah, tidak perlulah saling menyalah atau tuduh menuduh sampai tak sudah.

80 tahun Utusan Melayu mampu bertahan, bukan calang-calang orang boleh lawan. Walaupun ditalkinkan dengan cara kurang senang, tapi aku anggap itu kehendak Tuhan. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian.

Kini semua menunggu janji katanya Utusan Malaysia akan diterbitkan kembali, di bawah syarikat pemilik TV entah tidak entah jadi tidaklah diketahui kerana aku sendiri tidak terlibat lagi.

(Bersambung…)

Advertisements

Terkini

ATPC kembang pasaran perubatan global di Indonesia

AGAPE ATP Corporation (ATPC) mengembangkan pasaran perubatan global di Indonesia menerusi tiga memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan institusi...

Lagi Artikel Berkaitan