32.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 25, 2022

Berdepan dengan Bill Gates…

Mesti Baca

Lukman Ismail
Editor Edisi 9

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 5]

BEBERAPA bulan menjadi wartawan aku diminta bertugas di meja sisipan, berita teknologi aku perlu buatkan bersama seorang rakan bernama Ridzwan Iman.

Sisipan Megabait nama diberi sempena pelancaran projek MSC. Entah berita apa aku nak isi sebab tidak pernah lagi dibuat sebelum ini.

Teringat kali pertama dapat tugasan sidang akhbar sebuah syarikat pengkomputeran di sebuah hotel di tengah kota metropolitan.

Aku satu-satunya wartawan baharu sedangkan yang lainnya dah nampak macam selalu bertemu.

Bahasa Inggeris aku tidaklah lancar, maklum masa sekolah malas nak belajar. Bila berdepan dengan keadaan sebenar jantung aku langsung berdebar.

Sam Ghebranious nama diberi, pengurus jualan syarikat AST masih aku ingati. Sudahlah terma komputer aku masih asing lagi, pelat English-Australianya buatkan aku sepatah haram tak reti.

Sepanjang sidang akhbar aku tak boleh catat, sebabnya apa yang Sam cakap aku tak boleh tangkap. Rakan media lain bukan main ligat, tanya soalan itu ini bagai tak ingat.

Malunya bukan kepalang, nasib baik tiada siapa yang perhatikan. Buku catatan aku kosong tiada tulisan nak catatkan apa kalau semua aku tak faham.

SAM GHEBRANIOUS

Pulang ke pejabat kepada Ridzwan aku ceritakan yang aku memang tak boleh buat liputan sebab sepatah haram aku tak faham, macam mana aku nak siapkan tugasan.

Baca juga:   'Tragedi' di siang hari
Baca juga:   Jejak bigfoot berbekal kayu sebatang

Dia bagi aku tempoh satu minggu, kalau masih juga begitu bolehlah aku berlalu. Tapi ternyata selepas seminggu aku dah boleh tangkap satu persatu. Kira cepat juga aku belajar benda baharu.

Sebagai wartawan IT, banyak peluang menanti. Bertemu pakar-pakar komputer setiap hari, dan sering juga dihantar bertugas ke luar negeri.

Bertemu Bill Gates antara yang aku tak boleh lupa. Datang ke Malaysia, Perdana Menteri yang minta. Kerana masa itu MSC tengah membara, dapatlah peluang bertemu jutawan dunia.

Ramai juga tokoh IT dunia datang jadi Penasihat Antarabangsa, termasuk Steve Jobs pun ada dan CEO-CEO syarikat komputer terkemuka. Dapatlah aku bertemu dan bersua muka dengan manusia hebat-hebat belaka.

Teringat aku satu nama Melayu yang selama ini ramai tidak tahu, pakar kesan visual filem-filem Hollywood, Shahril Ibrahim nama disahut.

Anak jati Negeri Sembilan mencipta nama di negara orang, pakar visual filem-filem seram dan masa depan selalu juga dipanggil pulang untuk memberikan pandangan.

“Encik Shahril masih boleh cakap Melayu?” tanya aku dalam satu interview. Dia jawab “boleh” tapi selepas itu sepanjang temu bual dia bantai cakap orang putih langsung tak bunyi Melayu. Aku pun catatlah mana yang perlu.

SHAHRIL IBRAHIM

MSC atau Koridor Raya Multimedia cetusan idea pemimpin negara. Hendak melahirkan negara berteknologi katanya. Maka dibinalah bandar Cyberjaya dengan mencontohi Silicon Valley di Amerika.

Baca juga:   Hampir 'hilang darah' di San Diego

Diam tak diam 10 tahun juga aku di Megabait. Daripada kosong sedikit demi sedikit kami bangkit. Dari sisipan tidak dikenali akhirnya kami dirindui kalau tak hadiri sidang akhbar barang sehari.

Nama Megabait semakin melebar terutama dalam kalangan agensi PR sehinggalah sisipan ini dibubar setelah industri IT pun semakin hambar.

Di Megabait banyak ilmu aku belajar, bukan sekadar menulis berita tetapi juga menjadi editor. Kami jugalah yang memilih berita utama, jadi proof-reader kadang-kala iklan pun kami sedia.

Baca juga:   Erti kasih sayang ibu selepas merasai kehilangannya

Pendek kata hampir seluruh sisipan kami usahakan, dari muka depan sampai ke muka belakang. Gambar-gambar kami juga yang carikan, sampai artis grafik boleh duduk goyang.

Pengalaman itu tak boleh dilupakan sebab itu kami rasa sayang bila Megabait ditiadakan. Penat lelah kami julang sehingga meraih pelbagai gelaran tapi akhirnya tinggal satu ruang di dalam sisipan pelbagai macam kandungan. – Edisi 9

Antara filem-filem yang mendapat sentuhan Shahril Ibrahim ialah Desperate
Measures,Turbulence, Multiplicity, Species, Outbreak, Air Force One, True
Lies dan Fantastic Four: Rise of The Silver Surfer.

Terkini

Hapus kuasa veto: Netizen puji kenyataan berani PM

KENYATAAN berani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke -77...

Lagi Artikel Berkaitan