25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

‘Tragedi’ di siang hari

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 4]

SELEPAS seminggu melaporkan diri, atasan minta aku ke tugasan sendiri. Katanya, kenalah jadi seperti anak ayam, kecil-kecil dah pandai cari makan.

Teringat aku tugasan diberikan membuat liputan sidang akhbar Majlis AIDS kebangsaan tak pernah aku lupakan. Masa itu aku tinggal di Sungai Besi, pagi-pagi dah naik bas mini nak ke Sentul nama tempat diberi.

Sampai di Sentul dah hampir 10 pagi, tempat nak dituju tidak diketahui. Ke balai polis aku taji, untuk mengetahui lokasi alamat diberi. Aku diberi tahu stesen TV pun ada datang tadi, bertanyakan tentang lokasi dicari. Maklum masa itu tiada aplikasi GPS seperti hari ini.

Aku diminta patah balik ke belakang, lebih kurang 500 meter aku perlu masuk ke kanan, nanti jumpalah tempat yang aku carikan kata anggota polis di meja hadapan.

Masalahnya aku bukan datang naik kenderaan, sebaliknya kena menapak berseorangan. Perut pun mula bergendang, maklum pagi tadi tak sempat sarapan bimbang nanti aku ketinggalan.

Aku makin putus harapan ke sana ke mari tiada ketahuan, Telefon ke pejabat minta bantuan, sekali OC bertugas berikan jawapan: “Aku sendiri pun tidak ingat, di mana lokasi yang kau cakap. Cuba tanya orang yang dekat, mana tahu mereka boleh diharap.”

Aku dah naik cuak bila tempat yang dituju aku tak dapat. Badan mula berkeringat bila nampak kenderaan TV keluar dari satu simpang empat, rupanya di situ rumah Majlis AIDS ditempat.

Kecewa sebab sudah terlambat, tugasan yang diberikan aku tak dapat buat, balik pejabat macam mana aku nak cakap, alamat yang diberikan tidak lengkap, lenguh kaki aku menapak.

Sebelum pulang aku ingat nak bersarapan, maklum badan dah menggeletar tak cukup bekalan sekali buka dompet tinggal lima kupang hanya cukup untuk membayar tambang.

Bas mini pula penuh penumpang, terpaksalah aku bergayut macam siamang. Entah bila aku naik pitam, tahu-tahu aku dah rebah terlentang. Ramai pula berikan pertolongan, malunya aku bukan kepalang menjadi kenangan sepanjang zaman.

Advertisements

Bukan sekali itu aku sesat di tengah kota mencari tempat beberapa kali juga sepanjang bekerja. Bagi aku itu semua asam garam belaka, demi tugas berhujan berpanas pun tidak mengapa.

Untung jadi wartawan zaman sekarang, tak perlu bersusah mencari jalan, GPS semua sudah di tangan tinggal tala sahaja ke mana tujuan.


SETIAP kali memandang menara berkembang tertinggi di dunia ini pasti akan terkenang ‘tragedi’ yang berlaku. – Foto: Freepik

PERISTIWA aku terperangkap di Menara Kembar Petronas jadi bualan gara-gara tersalah masuk lif sedang dalam penyelenggaraan. Terpaksa aku menapak 40 tingkat mencari jalan agar dapat keluar dari bangunan.

Kisahnya aku dapat arahan untuk tugasan di tingkat 48 bangunan tertinggi mencecah awan, masa itu baharu sahaja digunakan.

Pada mulanya semuanya lancar, lif pertama ke aras jambatan penghubung aku dihantar. Untuk ke tingkat lebih tinggi lif aku kena tukar kebetulan masa itu tiada siapa di sekitar. Nampak lif terbuka aku langsung mara, tak fikir panjang kalau lif sedang diselenggara.

Bila pintu lif ditutup suasana gelap gelita, setitik cahaya pun tak nampak di mata. Dalam gelap aku meraba mencari butang penggera untuk memberitahu kepada sesiapa sahaja yang aku terperangkap dalam lif di siang buta.

Aku diminta turun ke tingkat empat menggunakan anak tangga yang sudah siap. Semua pintu tidak boleh dibukak sehinggalah ke aras yang dicakap.

Maka turunlah aku setapak demi setapak dari tingkat 44 ke tingkat empat. Berpeluh juga aku dibuat dengan laluan tangga yang berbau hapak.

Pulang ke pejabat aku cerita kepada sahabat, mereka pakat gelak sampai tak ingat. “Itulah kau main redah sahaja bukannya beringat, dah macam ni kan sendiri yang penat.”

Selang seminggu aku diberitahu oleh sepupu yang bekerja di situ kalau kejadian itu sudah menjadi cerita lucu: “seorang lelaki terperangkap di sebalik pintu”.

Walaupun siapa gerangan tidak mereka ketahui tetapi SOP dibuat pastikan kejadian tidak berulang lagi.


Cerita ini memang lucu tapi sakit hati aku tiada siapa yang tahu turun tangga sehingga berbatu sampai kaki aku naik kematu.

Kejadian itu cukup berbekas, setiap kali pandang Menara Petronas, kenangan itu pasti akan melintas. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan