31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Dari UMNO Muhyiddin datang, (tidak mustahil) kepada UMNO beliau kembali

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

DALAM politik tiada istilah mustahil. Musuh menjadi kawan, kawan menjadi musuh adalah normal kehidupan khalayak politik apatah lagi dalam senario politik tanah air. Segalanya sukar diramal.

Lihatlah bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpuluh tahun bermusuh dengan pemimpin DAP terutama Lim Kit Siang, tetapi akhirnya mereka berganding bahu melawan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Gandingan bekas dua musuh ini berjaya menumbangkan pemerintahan 60 tahun BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan Dr Mahathir dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri, selepas 30 tahun.

Begitu juga dengan UMNO dan Pas, dua parti Melayu dan Islam terbesar yang berseteru dan bercakaran bagai anjing dengan kucing berdekad lamanya, lantaran perbezaan fahaman politik.

Hari ini mereka berjaya duduk semeja bersepakat atas nama Muafakat Nasional (MN). Inilah politik.

Lalu, apabila Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempelawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai semula UMNO dan membubarkan Bersatu, ia bukan suatu perkara yang pelik.

Penulis pernah membayangkan perkara itu berlaku sejurus Muhyiddin memilih untuk bekerjasama dengan MN bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), meninggalkan Dr Mahathir dan para penyokong beliau untuk terus bersama Pakatan Harapan (PH). (Rujuk: Bersatu bubar menjelang PRU-15?)

Tindakan Muhyiddin itu menyebabkan Bersatu, sebuah parti yang berusia setahun jagung — yang penubuhannya kerana ketidakpuasan hati terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak — berpecah kepada dua kumpulan.

Satu kumpulan bersama-sama Muhyiddin bekerjasama dengan UMNO dan Pas di bawah PN manakala kumpulan diketuai Dr Mahathir kekal bersama PH kerana enggan bersekongkol dengan parti didakwa “korup dan pencuri”.

Lalu bagaimana nasib Bersatu dalam PRU-15 akan datang? Ini senarionya…

PARTI-PARTI politik Melayu dan Islam boleh bersatu jika ketamakan dan kesombongan dibuang jauh-jauh. – Gambar Hiasan

Jika Parlimen dibubarkan dan PRU-15 dilaksanakan, Bersatu akan seperti kucing kehilangan anak untuk mencari kerusi yang selamat ditandingi sebagai sebuah parti tunggal ketika MN sudah tentu telah menyusun gerak kerja dan pembahagian kerusi masing-masing.

Tambahan pula seperti ditegaskan oleh pucuk pimpinan UMNO, kerjasama parti itu dalam PN hanyalah untuk menyelamatkan negara, bukannya satu muafakat bersama ke arah PRU-15, tidak.

Muafakat UMNO untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang hanya dengan Pas sepertimana termaktub dalam piagam yang ditandatangani pada 14 September 2019 lalu.

Semua ketahui apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh (PM-7) pada Februari lalu, kerajaan PH tidak boleh memilih seorang Perdana Menteri yang baharu sebagai pengganti selepas PH turut kehilangan majoriti di Parlimen.

Hal ini ekoran tindakan Bersatu (Muhyiddin) meninggalkan PH manakala sekumpulan Ahli Parlimen PKR diketuai oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula meninggalkan parti mereka untuk menjadi anggota bebas (yang kemudian menganggotai Bersatu).

Maka, penulis percaya jika Bersatu bertanding sebagai parti tunggal sepertimana dilakukan oleh Pas pada PRU-14 lalu, Bersatu bukan sahaja tidak mampu memenangi kerusi, malah lebih parah menyebabkan pertembungan tiga penjuru yang akhirnya tidak memberi manfaat sama sekali kepada Bersatu.

Malahan tidak mustahil PH akan merebut peluang daripada perpecahan undi terutama kalangan pengundi Melayu, sekali gus mengulangi senario sama semasa PRU-14 lalu.

Justeru, penulis melihat jalan terbaik bagi Muhyiddin untuk kekal sebagai Perdana Menteri dan yang lebih penting untuk mengekalkan kerajaan Melayu-Islam hari ini ialah dengan membubarkan Bersatu dan beliau sendiri kembali ke pangkuan UMNO.

Ahli-ahli Bersatu akan menyertai semula UMNO atau Pas, atau lain-lain parti bukan pro-PH dan mereka akan bertanding atas tiket MN bagi menentang PH.

Bagi mereka yang tidak boleh menerima kenyataan tersebut, mereka boleh memilih untuk kekal bersama PH, dengan menyertai mana-mana parti di bawah pakatan tersebut sama ada DAP, PKR atau Amanah.

Jika senario ini berlaku, maka peluang MN untuk memenangi PRU-15 adalah lebih cerah berbanding PH, memandangkan PH mempunyai rekod yang buruk ketika rakyat memberi peluang kepada mereka memerintah negara selama 22 bulan.

Lagi pula pembubaran Bersatu adalah jalan terbaik demi penyatuan orang Melayu yang kini sudah semakin berpecah-belah angkara politik sehingga wujud pelbagai parti politik yang mewakili orang Melayu.

Harus diingat, Muhyiddin bertindak menubuhkan Bersatu selepas beliau antara pemimpin tertinggi UMNO yang dipecat oleh Najib lantaran memberikan kritikan terbuka terhadap bekas Presiden parti itu berhubung isu 1MDB.

Muhyiddin bukan meninggalkan UMNO kerana tidak sehaluan dengan parti itu, malah penulis percaya semangat UMNO masih menebal di dalam sanubarinya. Lantaran itulah Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu dipilih sebagai nama parti.

Muhyiddin sendiri pernah menyebut bahawa beliau akan memastikan Bersatu menjadi “UMNO” di dalam PH, namun hakikatnya (seperti yang penulis sudah jangkakan) DAP tidak akan sesekali membenarkan Bersatu menjadi parti dominan dalam pakatan tersebut.

Lalu, andai Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO apakah nasib Presiden UMNO sekarang iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi?

Apakah mungkin seorang Perdana Menteri hanyalah seorang “ahli biasa” dalam UMNO? Apa salahnya.

Dalam Perlembagaan negara pun tidak dinyatakan seorang Perdana Menteri itu mestilah seorang pemimpin tertinggi parti politik.

Harus diingat, keadaan ini hanya bersifat sementara sehingga Parlimen dibubarkan dan penulis percaya selepas PRU-15 nanti sudah tentu Perdana Menteri akan dilantik daripada kalangan pemimpin tertinggi parti politik yang memenangi pilihan raya berkenaan.

Lagi pun buat apa difikirkan terlalu jauh. Kalau mahu melihat negara terus diperintah oleh parti-parti Melayu dan Islam, buanglah segala kecurigaan dan besarkanlah hati masing-masing.

Jika Semangat 46 boleh membubarkan parti demi perpaduan Melayu dan Islam, kenapa Bersatu tidak? Marilah sama-sama buang yang keroh, ambillah yang jernih sebelum nasi menjadi bubur.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan