32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Ops maksiat, jambatan bengkok

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

[SIRI CERITERA SANG PENCERITA – BAHAGIAN 8]

JOHOR antara biro terbesar, dari Johor Bahru, Mersing hinggalah ke Muar. Di selatan pula ada Singapore. Kalau ikutkan memang tak terkejar tapi melihat pasukan semangat jadi berkobar.

Apak, Fairuz, Kamil dan abang Jaafar, kami semua di bawah bos Zahar. Tidak ketinggalan Bob dan Farizwan selaku jurugambar. Mereka antara tulang belakang biro Utusan di Johor.

Ada seorang jurugambar sambilan, namanya Bazlan orangnya sopan. Punyai hubungan dengan pegawai atasan baik dalam PDRM, JPJ mahupun jabatan agama Islam.

Melalui dia aku selalu ikut operasi, serbu hotel di sana sini mencari pasangan buat maksiat di dini hari. Pengalaman itu tak aku perolehi sepanjang jadi wartawan selama ini.

Ikut operasi jabatan agama memang seronok, serbu hotel setiap pintu bilik diketuk. Bila kantoi tak cukup tanah mereka nak menyorok, kadang tak sempat hanya tutup dengan selimut.

Bila dah kantoi pegawai akan soal setiap pasangan sama ada mereka ini mahram atau bukan. Biasa mereka mengaku sudah bertunang, datang dari KL tak sempat pulang.

“Jadi kami bermalam di sini dan tunang saya temankan, kami tak buat apa-apa cuma berbual dari siang,” itulah antara alasan yang diberikan.

Ada juga mengaku sudah berkahwin, tapi bila ditanya bila tarikh nikah mulalah si lelaki kata lain, si perempuan kata lain. Bila dah kantoi masing-masing buat muka sardin.

Malam Hari Kekasih kami serbu kerana percaya banyak pasangan akan bercumbu, maklum masing-masing terbuai dengan pujuk rayu dan bisikan “I love you”.

Sekali itu kami rasa amat lucu bila sebuah bilik kami serbu, rupa-rupanya ada pasangan ini punyalah malu kerana mereka pekak dan bisu.

Walaupun dalam hati macam tak percaya, ada pasangan sedemikian rupa memadu kasih dan asmara di bilik hotel hanya berdua.

“Bagaimana mereka saling berbicara? Agaknya pakai bahasa isyarat sahaja,” para penguatkuasa agama pun saling tertanya-tanya.

Bukan serbuan jabatan agama sahaja kami ikut, JPJ dan polis trafik pun kami turut. Operasi lumba haram dan pemandu mabuk, nampak road block semua pakat kecut.

Sekali tu operasi lumba haram kami diminta datang, sebab katanya nak buat serbuan besar-besaran termasuk gunakan bas untuk halang laluan. Bila nampak anggota dari kejauhanan, apa lagi semua pakat lari lintang-pukang.

“Maaf encik kami tidak tahu, kami cuma lalu di situ, saya tak buat benda-benda macam tu,” seorang remaja cuba merayu tapi pihak polis buat tak tahu.

Sebenarnya pihak berkuasa bukan main serbu tetapi dah intip berminggu-minggu sebab itu mereka tahu apa yang perlu dan lokasi mana yang mereka nak tuju.

Di Linkedua lagi dahsyat, lumba haram guna kereta hebat-hebat. Ada yang guna negara jiran punya plat, taruhan pun bukan main lebat, siapa menang dialah yang dapat.

Tapi polis dah lama dapat hidu, sampai satu malam diadakan operasi bersepadu. Banyaklah pemandu sangkut malam itu, mereka didakwa satu persatu atas kesalahan memandu berbahaya dan melulu.


Sumber: Google

SEMASA di Johor, isu jambatan bengkok sedang havoc, masakan tidak sekejap mahu dihentikan sekejap kata tidak. Kami wartawan yang jadi benak, bila keputusan kerajaan yang asyik flip-flop.

Ikut perancangan jambatan dibina menggantikan tambak, yang sudah uzur dan semakin sesak tapi di pihak Singapura mereka menolak itu sebabnya dibuat bengkok.

Ketika pembinaan sedang rancak tiba-tiba Pak Lah mahu hentikan projek, menyebabkan ramai yang mula terpekik sebab tahu projek itu amat baik terutama bagi warga Johor yang berulang-alik.

Akhirnya jambatan bengkok tidak diteruskan, maka projek pembangunannya terhenti di tengah jalan. Pembinaan CIQ masih dilaksanakan, cuma tidak bersambung dengan jambatan.

Maka kekallah Tambak Johor sehingga sekarang, walau pun sesak bukan kepalang. Apakan daya tiada siapa menghalang, keputusan Pak Lah yang “cemerlang, gemilang dan terbilang”. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan