Wednesday, July 22, 2026

Khutbah Jumaat: Jauhi maksiat, pelihara maruah

Allah SWT melarang keras segala bentuk perbuatan yang mencemarkan kesucian maruah dan keturunan.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Jemaah yang dirahmati Ilahi

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan Nya.

Sesungguhnya dengan takwa, hidup kita mendapat pimpinan, keluarga kita memperoleh keberkatan dan negeri kita dianugerahi keselamatan serta kesejahteraan.

Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Jauhi Maksiat, Pelihara Maruah.”

Maksiat (المعصية) bermaksud melanggar, menderhaka, menyalahi perintah atau menentang.

Menurut istilah syarak, maksiat bermaksud segala perbuatan atau tingkah laku yang melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya, sama ada secara zahir atau batin.

Khatib pada hari ini akan memberi tumpuan kepada maksiat berkaitan maruah.

Islam agama yang mementingkan maruah manusia. Allah SWT melarang keras segala bentuk perbuatan yang mencemarkan kesucian maruah dan keturunan.

Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’ ayat 32)

Menurut Ibnu Kathir, ayat ini bermaksud Allah SWT melarang zina, dan menegah semua perkara yang boleh membawa seseorang mendekati zina seperti berkhalwat, pergaulan bebas dan pakaian mencolok mata.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Negeri Perak Darul Ridzuan mempunyai undang-undang untuk mencegah dan menangani maksiat berkaitan maruah.

Enakmen Jenayah Syariah 1992 memperuntukkan beberapa kesalahan antaranya perbuatan tidak sopan, khalwat, persetubuhan haram, bersekedudukan, pelacuran, hamil tanpa nikah, mendedahkan tubuh di tempat awam serta apa-apa perbuatan yang menggalakkan maksiat.

Kesalahan-kesalahan ini, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000, atau penjara sehingga tiga tahun, juga sebatan.

Peruntukan undang-undang ini bukan bertujuan menghukum semata-mata. Undang-undang ini juga sebahagian usaha pencegahan demi memelihara maqasid syariah, yakni menjaga keturunan (hifz al-nasl) dan menjaga maruah (hifz al-‘ird).

Maksiat kebiasaannya tidak bermula dengan perbuatan besar; sering kali perbuatan maksiat bermula dengan perkara kecil, seperti pandangan mata, gurauan, bersentuhan, bermesej, berdua-duaan, dan penggunaan media sosial tanpa kawalan.

Apabila pintu maksiat dibuka, syaitan akan mengambil peluang membuka langkah seterusnya sehingga seseorang terjerumus melakukan dosa besar.

Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: “Jangan sekali-kali seorang lelaki bersunyian dengan seorang perempuan (yang bukan mahram), melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga antara mereka berdua.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)

Fitnah maksiat pada zaman ini semakin lama semakin berat kerana fitnah semakin dekat dan mudah dilakukan.

Perbuatan maksiat kini sudah berada di hujung jari. Aplikasi tidak bermoral, kandungan lucah, hiburan melampau dan budaya bebas telah meningkatkan gejala maksiat yang membimbangkan.

Data estimate terbaharu yang dilaporkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, bahawa antara tahun 2020 hingga 2024, seramai 16,951 remaja hamil luar nikah, dan separuh daripadanya Melayu Islam.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Benteng memelihara diri daripada maksiat ialah iman dan perasaan malu. Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malu ialah sifat mulia yang akan memelihara diri daripada melakukan maksiat. Apabila sifat malu hilang dari hati, manusia tidak lagi segan melakukan maksiat, bahkan ada yang mempromosikannya melalui media sosial.

Ada yang tanpa rasa takut mempamerkan hubungan bebas, rakaman tidak bermoral, kata-kata lucah, malah berbangga dengan perlakuan maksiat.

Benteng seterusnya ialah rasa takut kepada Allah SWT. Perasaan takut ini dibina dengan ilmu dan kesedaran bahawa Allah SWT Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Takutlah hukum Allah yang akan menimpa pelaku maksiat. Terlalu banyak peringatan Allah dalam al-Quran yang boleh menjadi pedoman.

Penguatkuasaan undang-undang juga dapat menjadi benteng kepada orang yang sentiasa mendahulukan akal sebelum bertindak.

Beringatlah! kerana ramai orang yang terjebak dengan maksiat telah didakwa dan dihukum, menyebabkan ada yang hilang pekerjaan, dibuang sekolah atau universiti.

Pepatah Melayu ada menyebut “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.

Fikirlah semasaknya sebelum ‘membuka langkah’ melakukan maksiat’. Orang yang bijak bukan sahaja meninggalkan maksiat, bahkan menjauhi semua jalan yang membawa kepadanya.

Kata hukama’ (para bijaksana): “Siapa yang menutup pintu maksiat pada awalnya, dia telah menyelamatkan dirinya dari seribu kesusahan pada akhirnya.”

Keluarga ialah benteng pertama daripada gejala maksiat. Ketua keluarga, ibu dan bapa wajib memelihara rumah tangga daripada unsur maksiat. Firman Allah SWT:

Bermaksud: “Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka…” (Surah al-Tahrim ayat 6)

Kehebatan sesebuah keluarga terletak pada kasih sayang yang membawa ke syurga. Kasih sayang dengan memelihara ahli keluarga daripada bakaran api neraka.

Oleh itu wahai ibu dan bapa, jagalah batas pergaulan anak-anak, kawal penggunaan telefon dan internet, berusaha bersungguh-sungguh mendidik akhlak dan ilmu agama untuk dijadikan benteng anak-anak, di samping ibu bapa menjadi contoh terbaik kepada mereka.

Mencegah dengan pendidikan dan kawalan lebih baik daripada hukuman dan penyesalan.

Jemaah Rahimakumullah,

Khatib memperingatkan;

Pertama: Takutlah balasan dan seksaan Allah di dunia dan di akhirat kerana maksiat yang kita lakukan. Balasan di dunia sudah terasa begitu berat, apatah lagi jika ditimpa azab di akhirat.

Kedua: Jauhi semua perkara yang boleh mendorong kita melakukan maksiat, kerana maksiat merosakkan jiwa, menghilangkan berkat dan mencemar agama Islam yang mulia.

Ketiga: Semangat amar makruf nahi mungkar hendaklah diteruskan. Kerjasama masyarakat membanteras maksiat amatlah penting dengan melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak.


Sumber: Jabatan Agama Islam Perak, 5 Disember 2025.

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan