24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Rentas negeri: Jadilah kelompok bertamadun

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEMEMANGNYA pelik dan aneh apabila masih ada lagi orang ramai yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri walaupun tidak dibenarkan.

Semalam sahaja polis mengarahkan 1,175 kenderaan berpatah balik, pada Sabtu 1,248 dikenakan tindakan yang sama,sekali ganda berbanding hari ini.

Soalnya kenapa degil sangat mahu menyambut Aidilfitri di kampung, walaupun kerajaan tidak membenarkannya bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19? Arahan atau perintah itu dikeluarkan bukan untuk suka-suka?

Rasanya selepas berpuluh-puluh tahun, ini kali pertama kerajaan tidak membenarkan orang balik kampung sambut raya. Tak kanlah untuk kali ini, kita tidak boleh mematuhinya.

Memanglah sambut Aidilfitri seronok apatah lagi bersama ibu bapa tercinta, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Wabak Covid-19 masih menular walaupun ada penurunan kes jangkitan yang ketara.

Malah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini turut melahirkan kebimbangan kementerian itu bahawa tindakan sesetengah rakyat berdegil malah cuba merentas negeri boleh membawa kepada peningkatan kluster wabak tersebut.

Kalau menteri cakap mungkin orang ramai kata, “itu orang politik tidak boleh nak percaya”, tetapi kalaulah Dr. Noor Hisham yang berbulan-bulan bertungkus lumus bersama pasukannya memerangi wabak ini tidak juga dipercayai, memang mereka yang masih berdegil mahu rentas negeri ini ‘ada masalah’.

Begitu juga bila ada hujah dangkal sesetengah individu mempersoalkan kenapakah masjid masih tidak boleh dibuka untuk jemaah yang ramai sedangkan pasar boleh dibenarkan beroperasi.

Advertisements

Fahamilah, para mufti dan alim ulama membuat keputusan bukannya seperti membaca komen-komen dalam media sosial.

https://youtu.be/xk1nknHTqzE

Penulis bukannya menentang orang yang meminta masjid dibuka semula tetapi hormati keputusan kerajaan.

Janganlah kerana berbeza fahaman politik, penutupan masjid bagi membendung penularan Covid-19 dijadikan isu. Agak-agaklah kalau nak berpolitik pun.

Kesimpulannya, adalah wajar jika larangan rentas negeri dipatuhi. Tak matipun kalau tak berhari raya di kampung tetapi kita mungkin mendedahkan insan kesayangan di kampung dengan maut kalau kita tidak berhati-hati.

Oleh itu penulis menyokong ketegasan pihak polis mengarahkan, mereka yang degil mahu merentas negeri berpatah balik dan rasanya sudah sampai masanya, golongan ini dikenakan tindakan kompaun, nanti kalau ditahan bising pulak puak-puak yang kononnya memperjuangkan hak asasi.

Dan kepada yang sudah terlepas sampai ke kampung, mereka juga sepatutnya dikenakan tindakan kompaun apabila Aidilfitri selesai.

Semua ini sebagai pengajaran supaya belajarlah menjadi manusia bertamadun dengan menghormati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan