25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Apa ‘selera’ 36 ADUN di Kedah?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KUALA LUMPUR – Nasib Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah akan ditentukan hari ini apabila kesemua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Secara tidak rasminya, Perikatan Nasional (PN) dijangka mengambil alih tampuk kepemimpinan kerajaan negeri apabila 19 ADUN menyatakan sudah hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Mukhriz. Mereka terdiri daripada 15 ADUN Pas, dua ADUN UMNO dan dua bekas ADUN PKR.

Jumlah itu tidak termasuk empat lagi ADUN Bersatu yang dikatakan akan turut berada dalam ‘kapal’ yang sama.

Semalam Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, 23 akuan bersumpah daripada ADUN Kedah telah diserahkan kepada Sultan Kedah oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas  Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Kuala Lumpur.

Walaupun tanpa sokongan empat ADUN Bersatu tersebut, PN masih boleh menubuhkan kerajaan berdasarkan majoriti mudah iaitu 19-17, sekali gus akan memungkinkan Mukhriz tersingkir buat kali kedua sebagai MB Kedah dan tempat beliau dikatakan akan diambil alih oleh Pengarah Pilihan Raya Pas yang juga ADUN Jeneri Muhammad Sanusi Md.Noor.

Namun begitu keputusan muktamad akan diketahui apabila Sultan Kedah selesai menerima menghadap kesemua ADUN berkenaan dan sekali gus menamatkan ketidaktentuan politik di negeri Jelapang Padi berkenaan.

Apapun keputusan, ia diharapkan akan diterima secara terbuka oleh semua pihak sama ada daripada PN mahupun PH.

Jangan pula nanti kalau keputusan memihak kepada PN, akan ada pemimpin-pemimpin tertentu membuat kenyataan Kerajaan Negeri Kedah tidak sah.

Advertisements

Terimalah sahaja hasil pertemuan Sultan Kedah dengan kesemua 36 ADUN tersebut. Tidak perlu lagi mempolemikkan perubahan kerajaan negeri jika ia berlaku.

Sama ada Mukhriz mahupun mana-mana pemimpin PH perlu faham bahawa politik Kedah tidak akan bergolak jika PKR tidak memecat ADUN Sidam, Dr. Robert Lin Kui Ee.

Pemecatan itu telah memungkinkan Kui Ee dan seorang lagi ADUN PKR, Azman Nasrudin (Lunas) mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sepatutnya PKR perlu berhati-hati kerana mereka pasti mengetahui betapa rapuhnya kedudukan Mukhriz tetapi kepemimpinan parti tersebut tidak menghitung perkara berkenaan apatah lagi kedua-dua ADUN mereka itu dikatakan penyokong kuat bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menyertai Bersatu.

Oleh itu seandainya Mukhriz tersingkir berikutan sokongan dua ADUN tersebut kepada Kerajaan PN maka yang harus dipersalahkan ialah PKR.

Mukhriz juga perlu menerima fakta ini dan bukannya menuding jari menyalahkan orang lain termasuk empat ADUN Bersatu yang mungkin akan menyokong Kerajaan PN.

Lagipun bapa Mukhriz dalam pertemuan dengan ADUN Kuah, Mohd.Firdaus Ahmad semalam telah berpesan, ‘tepuk dada, pilih selera’.

Oleh itu janganlah marah jika 23 ADUN termasuk empat ADUN Bersatu menukar ‘selera’ kerana merasakan ‘lauk yang sedia ada’ tidak lagi mengikut arus perubahan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan